in

Dokumentari Masyarakat Penan Sarawak di TV1

KENALI MASYARAKAT PENAN SARAWAK MENERUSI DOKUMENTARI KHAS : PENAN TRIBE IN SARAWAK PADA 1 NOVEMBER 2009 DI TV1

Siapakah masyarakat Penan? Bagaimanakah kelompok minoriti yang tinggal di Sarawak ini menjalani kehidupan seharian mereka dengan masih mengekalkan gaya hidup secara tradisional hingga kini? Justeru Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil inisiatif menyiarkan dokumentari khas yang bertajuk Penan Tribe In Sarawak akan bersiaran pada 1 November 2009 (Ahad) jam 9.00 malam menerusi Saluran Informasi, TV1.

Sepanjang setengah jam siarannya, dokumentari khas Penan Tribe In Sarawak ini memaparkan kehidupan masyarakat Penan di Sarawak yang mengikut transisi kehidupan masyarakat secara tradisional. Malah dokumentari ini juga memaparkan kehidupan kanak-kanak Penan yang berhadapan dengan kesusahan keluarga mereka dan begitu terpinggir dari segi pendidikan selain memaparkan kepada penonton kepentingan dalam membantu masyarakat Penan demi meningkatkan kehidupan hidup, sejajar dengan dunia moden, namun dalam masa yang sama tetap mengamalkan budaya mereka sendiri.

Menurut sejarahnya, lebih kurang 2.5 juta orang yang tinggal di Sarawak dan 70 peratus daripadanya adalah golongan bumiputera termasuklah Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan Melayu-Melanau. Penan sebagai salah satu dari golongan Orang Ulu yang tinggal di Sarawak terutamanya di bahagian Baram dan Belaga.

Walaupun populasi mereka yang tinggal hanya sekitar 1500 orang sahaja selepas perang, namun populasi ini meningkat kepada 16,000 orang dengan pembangunan perubatan kerajaan dan program kesihatan selain dibangunkan lebih banyak sekolah-sekolah untuk mendidik generasi muda golongan Penan.

Jika 30 tahun yang lalu, ianya begitu sukar untuk 400 anak-anak Penan ke sekolah, namun kini jumlahnya meningkat dan hampir 3000 pelajar yang bersekolah. Pada hari ini, anak-anak Penan telah bersekolah di lebih 50 sekolah rendah dan menengah terutamanya di daerah Baram, Bintulu dan Niah. Seramai 650 pelajar Penan telah bersekolah di sekolah rendah, dan lebih 20 graduan menamatkan pengajian pada tahun lepas, selain 40 pelajar Penan melanjutkan pelajaran di kolej, institusi pengajian tinggi, dan universiti seperti di Kolej Segi Kuching dan Yayasan Sabah di Kota Kinabalu.

Dua daripada graduan Penan, Mariah Datuk Hasan dan Eza Uda telah berjaya dan kini bekerja sebagai Timbalan Pengarah Pembangunan di pejabat Timbalan Menteri di Kuching. Selain mereka, seorang lagi graduan Penan yang berjaya dalam pendidikan dan kini bekerja sebagai geologi di Petronas sementara yang lain bekerja di sektor swasta dan melanjutkan pengajian dalam bidang kejururawatan, perguruan dan menjalani latihan teknikal dalam pengkhususan seperti pertukangan dan kejuruteraan elektrik di sekolah vokasional. Selain itu, terdapat seorang anak Penan yang telah merakam album lagu-lagu karaoke Orang Ulu dan ada juga yang menjadi tentera dan bekerja di sektor awam.

Kini,sesuai dengan peredaran zaman, ada di antara masyarakat Penan yang berasal dari Belaga dan Baram telah berhijrah dan berpindah ke kawasan bandar di Niah-Suai-Bintulu iaitu di Limbang dan Miri.

Untuk berkenalan dengan lebih dekat lagi sejarah dan latar belakang kaum ini, usah ketinggalan menyaksikan dokumentari menarik Penan Tribe In Sarawak pada 1 November 2009 (Ahad) jam 9.00 malam menerusi Saluran Informasi, TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Koleksi Video Reality TV Project Alpha Budiey

Ujibakat Tiger Futbol Starz Astro