in ,

Dokumentari HIDRO Tinjau Empangan Hidro Elektrik

Empangan hidro elektrik berfungsi membekalkan tenaga elektrik yang besar di sesebuah kawasan. Namun pembinaannya secara tak langsung turut memperkasakan pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut. Ikuti paparan tentang latar belakang empangan hidro elektrik di Malaysia dan juga kesan pembinaannya dalam dokumentari bertajuk “Hidro” bersiaran setiap Sabtu, mulai 3 Mac, pukul 2.00 petang, di TV1.

Pengambaran Dokumentari Hidro di TV1

Dokumentari “Hidro” Tinjau Empangan Hidro Elektrik di TV1

Episod pengenalan mengimbas kembali sejarah di sebalik pembinaan Empangan Temenggor di Gerik, Perak. Dibina pada tahun 1974 untuk menjana kuasa hidro elektrik dan disambung ke grid nasional. Tempat empangan ini dipilih untuk memutuskan jaringan perhubungan dan bekalan pihak komunis yang masih bergiat di kawasan itu. Hutan simpan serta tasik berkeluasan tiga kali ganda Singapura ini telah mewujudkkan pelbagai aktiviti air yang bercorak ‘Eco-Tourism’. Pusat Kajian Pulau Banding membantu pelbagai pihak termasuk pelajar universiti untuk membuat kajian mengenai sistem ekologi haiwan seperti gajah, harimau dan tumbuh-tumbuhan hutan lain yang dianggap antara yang tertua di dunia. Orang asli yang menetap di kawasan itu juga turut terkesan dengan arus pemodenan yang dibawa oleh pembinaan empangan itu.

Seterusnya dikongsikan tentang pembangunan ekonomi yang dibawa oleh Empangan Tasik Kenyir atau pun Empangan Sultan Mahmud, siap dibina pada tahun 1985. Dibina merentasi Sungai Terengganu lebih kurang 50 km ke barat laut Kuala Terengganu. Empangan Tasik kenyir ini telah menjadi pemangkin ekonomi kepada pengusaha kecil di sekitar Kuala Berang dan kampung-kampung di sekitarnya. Antaranya adalah Fauzi Abdul Rahman, seorang pengusaha sebuah rumah bot dan Zalani Bin Anwar, seorang pemaju Pulau Orkid. Pulau Herba Tasik Kenyir juga sangat popular kepada para pengunjung yang mencari ramuan herba untuk membuat ubat-ubatan semula jadi.

Kru-kru bergambar di salah satu empangan yang dipaparkan dalam Dokumentari Hidro

Saksikan juga paparan tentang Stesen Jana Kuasa Elektrik Sultan Ismail Petra, di Pergau, Kelantan yang siap dibina pada tahun 1996. Stesen jana kuasa yang terkecil ini mampu menjana 600 MW kuasa elektrik. Pembinaan jana kuasa ini telah dapat mencegah banjir di lima buah kampung yang terpencil. Jalan ke kampung-kampung itu juga diperbaiki dengan pembinaan stesen itu. Che Zaaba Mat Lazim, Pengurus Tasik Pergau Resort, memberitahu bahawa kawasan empangan termasuk pekan Jeli membangun dengan pesat selepas pembinaan stesen jana kuasa itu. Kini empangan Pergau menjadi tarikan pelancong luar negara dan orang tempatan.

Dalam episod berikutnya memaparkan sejarah pembinaan Empangan Bakun, Sarawak. Bagi memberi laluan kepada pembinaan empangan ini, penduduk asal kawasan itu dipindahkan ke penempatan baharu di Pekan Belaga dan Kampung Asap. Pembinaan empangan ini memangkin peningkatan taraf hidup dan pembangunan di kawasan itu. Mereka dapat menikmati fasiliti-fasiliti baharu seperti sekolah, klinik kesihatan dan juga peluang pekerjaan. Jana Kuasa Hidro Bakun berkapasiti 2400MW, dibina dengan perbelanjaan sebanyak 1.8 bilion ringgit pada tahun 2009. Saiz tadahan empangan ini sebesar negeri Kelantan. Di tasik Bakun terdapat rumah-rumah terapung yang menjadi rumah penginapan berkonsepkan ‘Homestay’. Ternakan ikan dalam sangkar juga menjadi salah satu kegiatan untuk menjana ekonomi penduduk setempat.

Ikuti juga perkongsian mengenai Empangan Puah di Kenyir. Empangan ini telah melahirkan sebuah pulau buatan manusia di mana terletaknya Gua Bewah yang wujud sejak zaman Paleolitik lagi. Penemuan rangka pra-sejarah dan barang-barang peninggalan sejarah oleh ahli arkeologi menguatkan lagi teori itu. Kerajaan juga telah mendirikan sebuah santuari pembiakan Ikan Kelah di Sungai Petang, Terengganu. Empangan Sungai Tembat dan Puah yang siap dibina dengan kos 2.3 bilion ringgit pada tahun 2015 menghasilkan 265 MW elektrik tambahan kepada kapasiti penjanaan Stesen Tenaga Hidro Elektrik Kenyir. Kenyir Water Park pula merupakan tempat rekreasi air kepada pengunjung Tasik Kenyir.

Dokumentari 13 episod ini turut berkongsi maklumat tentang Empangan Murum, Empangan Tembat, Empangan Sultan Azlan Shah, Empangan Batang Ai dan Empangan Kenering.

Kru-Kru yang menjayakan Dokumentari Hidro

Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Realiti Di Sebalik Populariti Dalam Rockstar di TV2

Dokumentari KERINGAT Kongsi Kerjaya Unik di TV1