in , ,

Dilema Pilih CALON ISTERI, Slot Panggung Ahad di TV1

Buntu mencari calon isteri membuatkan Haris terus bersetuju untuk dijodohkan dengan gadis bernama Odah. Namun Odah juga tidak memenuhi kriteria yang dimahukan oleh Haris. Bolehkah Haris menerima Odah dengan seadanya?

Menggandingkan pelakon utama Zahiril Adzim dan Reen Rahim, selain dibantu oleh Liza Abdullah, Delimawati, Fathil Dani, Hamdan Senario dan Fezrul Khan, usah ketinggalan menyaksikan babak-babak menarik dalam telemovie bertajuk “Calon Isteri” pada 17 September ini, pukul 10.05 pagi mengisi slot Panggung Ahad di TV1.

Haris terdesak untuk berkahwin. Dia meminta ibunya, Mak Kiah mencarikan calon isteri untuknya. Mak Kiah jadi buntu kerana tiada seorangpun calon isteri yang dicadangnya dipersetujui oleh Haris. 

Akhirnya Mak Kiah mendapat kata sepakat dengan Haris. Sesiapa saja gadis yang datang ke gerainya pada hari itu, akan dijadikan calon isteri Haris. Akhirnya Odah, seorang gadis yang lurus bendul dan bermulut becok pula yang muncul. 

Setelah pertunangan antara Haris dan Odah terikat, Haris berubah hati. Haris berpura-pura menjadi gila dan akhirnya tali pertunangan mereka diputuskan oleh bapa Odah. Haris gembira. Odah kecewa. 

Namun kedatangan kru drama ke kampung itu merubah kehidupan Odah. Odah yang terlibat sebagai pelakon tambahan disolek sehingga Odah tampak cantik dan menarik. Odah juga ditawarkan watak yang lebih mencabar. 

Haris terkejut apabila mendapat tahu Odah menjadi seorang pelakon drama. Dia berusaha untuk mendapatkan semula Odah. Berbagai-bagai usaha dilakukan oleh Haris. 

Dalam waktu yang sama, Odah mulai bosan dengan cara hidup sebagai pelakon tambahan. Akhirnya Odah pulang semula ke kampung dan kembali seperti kehidupan asalnya – seorang gadis bermulut becok dan lurus bendul. Adakah Haris menerima Odah seadanya?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.    

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

KL2017: Siaran Langsung & Laporan Harian Di RTM

Pengajaran Dalam Telemovie MADUKU TELEFON BIMBIT di TV2