in ,

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Didapati Bersalah Kes Rasuah RM2 Juta

MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur mendapati Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersalah, di atas tuduhan kes rasuah membabitkan RM2 juta, pada Isnin.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan tersebut terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah kini berehat seketika sebelum mitigasi dilakukan.

Hakim Zaini pada awalnya menetapkan 17 November untuk membuat keputusan, tetapi ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Didapati Bersalah Kes Rasuah RM2 Juta

Tengku Adnan dituduh melakukan kesalahan tersebut di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Beliau berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, sekiranya disabitkan bersalah.

Kes perbicaraan Ahli Parlimen Putrajaya itu bermula pada 2 Julai tahun lalu dengan pihak pendakwaan memanggil 23 saksi untuk memberi keterangan.

Saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan termasuk dua bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Pengarah AKSB, Tan Sri Chai Kin Kong.

Pada 14 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dalam kes tertuduh.

Tengku Adnan memberi keterangan bersumpah dari tempat saksi dan prosiding pembelaannya berlangsung selama dua hari iaitu pada 17 Januari dan 5 Mac lalu.

Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Kin Kong.

Kin Kong, memberikan wang itu melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja rasminya.

*Sumber: mStar Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Media Prima Lancar Kempen CNY 2021 dengan Tagline Money Money Home

Ryan Kaji, YouTuber Pendapatan Tertinggi Tahun 2020 Dianggar Sekitar RM119.5 Juta