in ,

Penyanyi Anggun Bakal Nyanyi Lagu Dato’ Siti Nurhaliza

Penyanyi nombor satu negara, Dato Siti Nurhaliza, 37, teruja kerana penyanyi antarabangsa, Anggun Cipta Sasmi bakal mendendangkan salah satu daripada lagunya pada konsert yang diberi nama, ‘Konsert Dato Siti Nurhaliza and Friends’ yang akan berlangsung di Stadium Negara, 2 April depan.

Siti yang ditemui pada sidang media semalam berkata, beliau sangat gembira dan tidak menyangka penyanyi kelahiran Indonesia itu sudi menjayakan konsertnya sempena 20 tahun penglibatannya sebagai anak seni tanah air itu.

Pic 2

“Sebenarnya apabila pihak Yonder Music melahirkan hasrat mahu mengadakan konsert saya, saya seperti percaya tidak percaya. Selepas itu pihak saya dan pihak berkenaan mengadakan perbincangan dan apabila saya dapat senarai artis yang akan turut serta, saya bertambah gembira kerana ada antara mereka adalah teman artis yang rapat dengan saya

“Paling saya tidak sangka apabila saya diberitahu yang Anggun menyatakan kesudiannya menerima pelawaan menjayakan konsert saya ini. Malah dia memilih mahu menyanyikan lagu Bukan Cinta Biasa.

“Dia juga meminta saya menyanyikan lagunya. Saya akan menyanyikan lagu Snow on The Sahara. Saya anggap permintaannya itu sebagai satu penghormatan,” tuturnya sambil menyatakan tidak sabar menantikan hari konsert.

Tambah Siti lagi, beliau sedikit sebanyak ada mengikuti perkembangan perjalanan karier penyanyi tersebut sekaligus sangat mengagumi wanita berusia 42 tahun itu yang masih kuat berpengang pada budaya asal usulnya meskipun sudah berjaya mencipta nama di persada muzik antarabangsa.

“Anggun seorang penyanyi antarabangsa yang banyak memberi inspirasi kepada penyanyi-penyanyi Asia. Saya ada mengikuti perkembangan karier dan kehidupannya di Perancis. Malah saya kagum dengan semangatnya hingga dia berjaya mencapai impiannya sekaligus membanggakan persada muzik Indonesia.

“Walaupun sudah berjaya di luar negara, namun dia tidak lupa asal usulnya dan masih berpengang kuat pada budaya negaranya. Malah dia masih bertutur dalam bahasa Indonesia,” katanya.

Tidak hanya Anggun, konsert eksklusif itu juga bakal juga menampilkan penyanyi hebat lain iaitu Faizal Tahir, Hafiz Suip juga dua penyanyi lelaki dari Seberang iaitu Afgan dan Cakra Khan.

Kata Siti, seperkara lain yang membuatkan dia tambah teruja untuk konsert kali ini kerana lagu-lagu yang bakal dipersembahkan digubah semula oleh pengarah muzik berasal dari Amerika Syarikat dikenali sebagai, JKey.

Pada konsert yang dijangka menarik perhatian lebih 6,000 peminat itu, Siti bakal diiringi lima pemuzik yang juga diterbangkan khas dari Amerika Syarikat.

“Selalunya saya menggunakan khidmat penerbit dan komposer Aubrey Suwito tetapi kali ini Jkey akan menjadi pengarah muzik untuk konsert ini. Beliau mengubah susunan bagi semua lagu yang akan saya nyanyikan. Ini kali pertama saya bekerja dengan beliau dan saya teruja kerana pastinya hasil kerjasama kami memberikan sesuatu yang berbeza dan istimewa untuk penonton.

“Konsert kali ini juga akan menampilkan pentas gah bersama rekaan yang mengagumkan. Selain itu saya juga akan mendendangkan sebuah lagu nyanyian mendiang Whitney Houston tetapi saya tak boleh beritahu lagi lagu apa kerana mahu beri kejutan pada penonton,” katanya yang sanggup menangguhkan perancangan mahu berehat panjang untuk seketika sebaliknya bersemangat mahu menjayakan konsert ini.

‘Konsert Dato Siti Nurhaliza and Friends’ dikhususkan untuk pelanggan Celcom Xpax. Bukan pelanggan Celcom, mereka masih boleh mendapatkan tiket dengan memiliki pek Celcom Xpax berharga serendah RM30 dan menjadi pelanggan Yonder Music.

Sumber: malaysian digest

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kes Awie Pukul Isteri, Doktor Ceritakan Rozana Sembunyi Kecederaan

Uqasha Senrose Bawa Watak Izzah Dalam TEATER OMBAK RINDU