in ,

Dakwa Kerajaan TSMY Jatuh, Anwar Ibrahim Yakin Terima Sokongan 120 Ahli Parlimen

Hari yang penuh dengan kontroversi buat rakyat Malaysia serta ahli politik apabila Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim selaku ahli politik daripada pihak pembangkang menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menunjukkan jumlah serta sokongan ahli parlimen terhadap beliau.

Menerusi sidang media yang dijalankan sebentar tadi, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah mengumumkan beliau telah menerima sokongan lebih daripada 120 ahli parlimen. Dalam pada itu, beliau memaklumkan senarai ahli parlimen yang menyokong beliau bakal diumumkan kemudian.

Difahamkan, beberapa individu mewakili ketua parti politik di Malaysia bakal menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat untuk perbincangan lanjut.

Mengulas mengenai kerajaan sedia ada iaitu Perikatan Nasional, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim mengagap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah jatuh. Beliau juga memohon semua pihak berikan ruang kepada YDPA menjalankan tanggungjawab mengikut lunas Perlembagaan dan budi bicara untuk menelaah dokumen.

Sesi menghadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ditunggu-tunggu hari ini masih tidak dapat merungkai ‘mainan’ angka yang kekal menjadi tanda tanya.

Teka-teki Belum Terungkai, Siapa Dalam Senarai 120 Sokong Anwar?

Kehadirannya di Istana Negara pagi tadi ditambah sidang media ‘pengumuman penting’ tidak berjaya memberi apa-apa bayangan kukuh mengenai sebarang perubahan kepada kerajaan Persekutuan.

Malah persoalan mengenai senarai nama lebih 120 Ahli Parlimen yang didakwa Anwar memberi sokongan kepadanya turut tidak terjawab, selepas ia tidak didedahkan beliau dalam sidang media khasnya beberapa jam selepas sesi menghadap Seri Paduka.

Lebih menimbulkan tanda tanya, Istana Negara pula kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan hanya mengemukakan jumlah, tanpa senarai nama.

Presiden PKR itu dalam sidang media turut mendakwa bahawa Al-Sultan Abdullah memerlukan masa untuk memanggil semua ketua parti untuk mengesahkan dokumen ‘sahih’ sokongan terhadapnya.

Walaupun tiada kenyataan rasmi dari pihak Istana Negara mengenainya namun tengah hari tadi dilaporkan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilihat keluar dari Pintu Dua Istana Negara pada jam 2.40 petang. 

Di sebalik episod politik yang berlaku hari ini, kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun dilihat berfungsi seperti biasa dengan beliau menganjurkan sidang media maya khas bersama wartawan jam 5 petang.

Dalam pada itu, sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan sidang media mengenai perkembangan COVID-19 oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berjalan seperti biasa.

Angka ‘120’ ini mula menjadi perhatian rakyat Malaysia terutama pemerhati politik selepas Anwar dalam satu sidang media 23 September lalu mendakwa mendapat sokongan yang ‘kukuh dan meyakinkan’ untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan PN.

Pada hari sama, Muhyiddin menegaskan bahawa kerajaan PN masih teguh dan beliau masih Perdana Menteri yang sah, menambah bahawa Anwar perlu membuktikan dakwaan berhubung sokongan majoriti diperolehinya mengikut proses dan kaedah ditentukan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Muhyiddin dalam sesi bersama media hari ini menyatakan beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah untuk membuat keputusan, berhubung dakwaan Anwar itu. – BERNAMA

“Ketika beliau di Istana Negara, saya bincang isu COVID-19” – Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk memutuskan situasi pentadbiran negara ketika ini.

Ia susulan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyerahkan sokongan yang didakwanya daripada lebih 120 Ahli Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

Perdana Menteri menegaskan beliau yakin dengan kebijaksanaan baginda untuk membuat segala keputusan, selaras undang-undang yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya serahkan pada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong. Baginda ada cara dan kaedah tersendiri untuk memutuskan perkara ini selaras peruntukan Perlembagaan. Kita perlu beri kepercayaan kepada baginda untuk membuat keputusan.

“Keutamaan saya bukan di Istana Negara. Ketika beliau (Anwar) di Istana Negara, saya berada di sini mengadakan sidang maya bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk berbincang mengenai isu COVID-19.

“Fokus utama saya adalah soal menguruskan negara. Saya masih berada di sini sebagai Perdana Menteri, justeru tugas dan amanah ini perlu terus saya laksanakan. Keutamaan saya adalah menguruskan masalah COVID-19 dan ekonomi,” katanya pada sidang media secara maya yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Terdahulu, Anwar mendakwa sudah menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dokumen kukuh, terdiri daripada akuan bersumpah (SD) dan surat oleh ketua parti mewakili lebih 120 Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan padanya.

Bagaimanapun, Istana Negara dalam satu kenyataan menyatakan, dalam pertemuan sekitar 25 minit itu, Anwar hanya mengemukakan jumlah sokongan Ahli Parlimen yang didakwa dimilikinya, namun tidak menyertakan senarai nama untuk mengukuhkan dakwaan berkenaan.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Verifikasi Agong tentukan pelucutan, lantikan PM – Pakar Perlembagaan

Pelucutan dan lantikan Perdana Menteri (PM) perlu melalui peringkat tertentu berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan memerlukan satu proses verifikasi oleh Yang di-Pertuan Agong. 

Pakar Perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata antara perkara akan dipertimbangkan adalah sama ada wujud bukti kuat bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah hilang majoriti dalam Dewan Rakyat.

“Kita perlu melihat secara keseluruhan kerana proses ini bukan mudah, walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong sambil menyatakan jumlah yang menyokongnya, ia tidak semestinya diterima baginda. 

“Baginda yang akan memutuskan sama ada orang yang mendakwa mendapat sokongan majoriti dilantik sebagai PM atau orang lain yang mungkin juga menjadi pilihan,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Nik Ahmad Kamal berkata, proses ini tidak dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan, tetapi sudah menjadi sebahagian adat resam Perlembagaan yang diterima pakai di negara Komanwel. 

Mengulas nasihat Al-Sultan Abdullah supaya Anwar akur dan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, beliau berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri juga berhak menerangkan kedudukan beliau. 

“Perdana Menteri masih ada hak, pertama untuk memohon supaya baginda membubarkan Parlimen, hak ini ada dalam Perlembagaan. 

“Maka, mesti wujud keadaan pada hemat baginda, Perdana Menteri hilang majoriti, yang kedua sama ada baginda memanggil menghadap atau Perdana Menteri berjumpa Yang di-Pertuan Agong untuk memohon membubarkan Parlimen atau sama ada memilih untuk meletakkan jawatan,” katanya. 

Beliau juga tidak menolak ada kemungkinan titah Seri Paduka itu berbentuk ‘teguran’ supaya ahli politik tidak menimbulkan spekulasi awal sebelum menghadap baginda. 

“Jika benar Anwar sudah mendapat sokongan majoriti, jangan diuar-uarkan, sebaliknya lebih baik menghadap Yang di-Pertuan Agong, mungkin ini yang cuba baginda sampaikan,” katanya. 

Sementara itu, pengasas Jurisprudens Watan yang juga Profesor Madya, Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata titah baginda supaya Anwar akur dan menghormati proses perundangan, bermakna baginda merujuk Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Apabila baginda bertitah perlu mengikut proses perundangan, ini bermakna baginda merujuk Perkara 43(4) bahawa ‘apabila seorang Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri, melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.’

“Apabila Tuanku menasihati sedemikian, maknanya baginda bertindak sesuai dengan kedudukan sebagai Yang di-Pertuan Agong iaitu pemelihara Perlembagaan Persekutuan dengan berdiri teguh atas pemerintahan yang adil,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Wan Ahmad Fauzi berkata, jelas dalam titah itu, baginda meletakkan isu keselamatan dan kesihatan rakyat yang dilanda gelombang ketiga COVID-19 sebagai keutamaan berbanding pergelutan politik. 

“Dalam keadaan negara dilanda COVID-19, baginda mempunyai prerogatif untuk meletakkan ketenteraman awam sebagai keutamaan demi melindungi maslahah rakyat selaras sumpah baginda untuk berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negara,” katanya.

*Sumber: BH Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Syamsul Yusof Buat Laporan Polis Selepas Terima Ugutan

Eira Aziera Hadapi Saman RM2Juta Kerana Hina Fizikal di FB Live