in , ,

Cukup Unik! Ini Ulasan Pementasan CAHAYA 004 KITAB BASAH

Cahaya 004 Kitab Basah Gabungkan Warisan Tarian Tradisional Kuda Kepang Bersama Muzik Elektronik Dan Instalasi Cahaya Mencipta Persembahan Budaya Yang Unik

Walaupun dalam keadaan hujan lebat yang melanda Lembah Klang, Cahaya 004 Kitab Basah yang telah berlangsung di Black Box, Publika pada tanggal 18 Disember 2021 berjaya mengumpulkan lebih kurang 400 penggiat dan peminat seni negara untuk menyaksikan persembahan tersebut.

Dengan konsep yang direka khas oleh Senilab dan 33.3 serta kolaborasi bersama Pusaka dan Kumpulan Kuda Kepang Parit Raja, Batu Pahat, idea tentang Cahaya 004 Kitab Basah dilahirkan untuk mempersembahkan medium bukan tradisional secara kreatif terutamanya dalam seni persembahan, dan meneroka ruang di mana kesenian moden dan tradisional dapat wujud secara parallel. Selari dengan itu, Kumpulan Kuda Kepang Parit Raja telah dijemput khas untuk mempersembahkan tarian kuda kepang yang amat jarang dapat ditonton terutamanya oleh warga kota. Ini terbukti apabila ramai penonton yang hadir pada malam itu mengakui bahawa itu adalah pengalaman kali pertama menyaksikan persembahan kuda kepang secara langsung. 

WAK DIN

Dibahagikan kepada dua sesi (4.30pm and 8.30pm) Cahaya 004 Kitab Basah telah berjaya menggabungkan kesenian tradisional lama diiringi muzik gamelan, yang diselangseli dengan bunyian muzik elektronik. Senilab juga telah merekacipta beberapa instalasi cahaya yang mengukuhkan lagi pengalaman sensori audiens. Segalanya dipersembahkan dengan penuh rasa hormat, dan berjaya mengangkat naskhah tarian kuda kepang yang melambangkan kekuatan, ketangkasan, gaya elegan dan aura mistikal dari perspektif para penari dan pengamal warisan seni itu.

Menurut Wak Din yang juga merupakan ‘Bapak’ kepada kumpulan kuda kepang tersebut, “Bagi pihak kumpulan ini, saya begitu terharu kerana dapat membuat persembahan di hadapan para penonton yang amat menghargai serta menghormati budaya negara. Kumpulan Kuda Kepang Parit Raja  adalah terdiri daripada ahli-ahli veteran dan juga penari-penari serta pengamal kuda kepang yang masih muda. Yang datang ke Kuala Lumpur untuk persembahan istimewa ini ada 20 orang ahli kesemuanya. Saya sendiri telah berkecimpung di dalam seni ini sejak tahun 1969. Selama 52 tahun saya terlibat dengan kuda kepang, inilah pertama kali naskhah kuda kepang diolah sebegini dan ianya amat berbeza. Namun pada kami, ini perlu dilakukan kerana kita perlu bergerak dengan masa dan mungkin dengan cara ini, kuda kepang akan lebih dikenali oleh generasi muda. Saya amat berbangga kerana pihak penganjur tidak langsung mengubah intipati seni yang amat berkait rapat dengan tarian kuda kepang. Harapan saya agar rakyat negara ini akan terus menyokong warisan budaya kita terutamanya seni yang semakin dilupakan”.

Turut menghadiri persembahan Cahaya 004 Kitab Basah adalah figura-figura prominen negara seperti Professor Dr. Siti Zainon Ismail – sasterawan negara, Kudsia Kahar – ikon industri penyiaran negara, Nini Marini – artis pelbagai disiplin, dan Joe Flizzow – rapper dan usahawan Malaysia bertaraf global. 

Taufiq Kamal dan Zulamran, masing-masing dari agensi Senilab dan 33.3 yang juga bertanggungjawab membawakan Cahaya 004 Kitab Basah menyatakan, “Kami amat bersyukur dengan komen-komen positif yang diterima tentang persembahan ini yang datang daripada komuniti seni dan pihak umum. Sesungguhnya ia merupakan surat cinta kami kepada semua peminat seni terutamanya warisan budaya negara, setelah lebih kurang dua tahun berehat akibat pandemik yang melanda. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kami hulurkan buat Pusaka dan juga Kumpulan Kuda Kepang Parit Raja. Kejayaan ini juga merupakan faktor penggalak untuk kami agar terus berkarya dan menganjurkan lebih banyak lagi acara-acara sebegini”. 

Pameran cahaya dan instalasi seni masih lagi berlangsung di G3, West Entrance Black Bridge, Publika sehingga 30 Disember 2021. Acara ini disokong oleh MyCreative Ventures, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Kewangan di bawah Penjana dalam usaha untuk menyemarakkan semula ekonomi kreatif Malaysia. 

Untuk maklumat lanjut sila lawati www.projectcahaya.com. Untuk berita terkini, sila ikuti Cahaya di media sosial (Instagram dan Facebook) via nama yang sama iaitu @PROJECTCAHAYA. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Program Bual Bicara ADUAN JIWA Mendalami Kisah-Kisah di Sebalik Tirai Kehidupan

Artis Ternama Negara China Rakam Lagu Ciptaan Faizal Tahir