in , ,

Cinta Tergantung di Tengah Jalan Dalam JELASKAN Nyanyian Sandra Dianne

Dalam kerancakan berentap di program Big Stage 2020, seluruh industri hiburan dikejutkan dengan berita pemergian penyanyi Sandra Dianne. Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada 11 September 2020, di Hospital Putrajaya selepas 6 hari koma disebabkan nahas jalan raya.

Sungguhpun begitu, arwah sempat menghasilkan salah satu lagu terakhirnya berjudul Jelaskan yang tetap dilancarkan pihak pengurusan.

Sememangnya cukup terkenal dengan kelunakan suaranya yang unik, dimensi lagu baharunya ini ada keistimewaan tersendiri. Sentiasa tampil dengan lagu yang lebih riang seiring karakternya, lagu ciptaan sepenuhnya oleh Allahyarhamah Sandra Dianne sendiri bersama Apex CZ itu jelas sarat dengan emosi. Justeru itu, kami selaku pihak pengurusan Allahyarhamah Sandra Dianne ingin berkongsi hasil karya penuh makna buat arwah ini kepada semua peminatnya di luar sana.

Sandra Dianne - Jelaskan (Artworl)

Mana tidaknya, ia menyentuh mengenai pergolakan dalam hubungan cinta yang sememangnya cuba dielakkan semua pasangan kekasih. Siapa sangka dalam pada mengecap bahagia, kesudahan yang diharapkan tidak selalu indah. Sesiapa juga yang ada pengalaman digantung tidak bertali pasti dapat memahami lagu ini. Itulah yang cuba arwah Sandra olah dalam penceritaannya menerusi lagu terbarunya ‘Jelaskan’.

“Lagu ini menceritakan sebuah percintaan yang tergantung di tengah jalan. Sang kekasih memutuskan untuk meninggalkan pasangan tanpa ada perbincangan dan memaksa pasangannya menerima keputusan bulat-bulat.

Kerana mengejar orang lain yang disukai, dia sanggup tinggalkan kekasihnya yang setia mengharungi susah senang bersama-sama. Lebih pedih, dia berlalu pergi tanpa alasan yang munasabah.

“Mesej utama yang saya ingin sampaikan dalam lagu ini adalah sesuatu perhubungan sepatutnya perlu dihormati kedua belah pihak.

Apa saja masalah dihadapi perlukan perbincangan yang kukuh dan tidak sepatutnya ditinggalkan tanpa alasan munasabah.

Jangan ambil keputusan dan memaksa pasangan terima tanpa cuba perbaiki atau berbincang,”

– Pengurusan Sandra

Bercerita lanjut, arwah Sandra mengatakan dia sudah menulis lagu ‘Jelaskan’ sejak tahun lalu lagi. Bagaimanapun, proses rakamannya hanya dapat dimulakan dan disempurnakan pada sekitar bulan Mei lalu.

Paling menarik, dia menyerap inspirasi daripada penyanyi antarabangsa iaitu Billie Eilish bagi mendapatkan emosi yang bersadur elemen depresi sebagaimana dalam lagu-lagu Eilish.

Arwah mengakui, dia turut berdepan dengan cabaran tersendiri untuk menyempurnakan lagu itu memandangkan situasi pandemik Covid-19 yang meruncing sebelum ini.

Apalagi, dia menghabiskan masa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kampung halamannya di Sabah. Disebabkan hanya dapat melakukan secara virtual, banyak proses lain terpaksa ditangguh.

“Prosesnya agak lama juga kerana lagu dirakam ketika PKP. Untuk susunan muzik dirakam di Kuala Lumpur (KL) manakala vokal di Sabah. Berikutan kualiti rakaman tidak memuaskan, produksi terpaksa menunggu saya untuk balik ke Kuala Lumpur bagi merakam trek vokal semula. Bahagian itulah paling mencabar kerana dilakukan berulang kali untuk mendapatkan emosi yang paling sempurna,” katanya.

– Pengurusan Sandra

‘Jelaskan’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Haqiem Rusli | 18

Jamming Hot LIVE Menampilkan Penyanyi Popular Mulai 5 Oktober Ini

Safawi Rasid Sukan | 19

Tonton Aksi JDT, Sabah dari dalam Kereta