Menu

Sensasi Selebriti

Portal Berita Hiburan, Trending & Viral, Acara, Travel, Gaya Hidup & Tech Gadget Terkini

in , ,

Cetusan Sanubari Ara Johari Dalam ‘TETAP AKU CINTA’

Setelah Hampir Setahun Menyepi, Naib Juara Anugerah Juara Lagu Ke-32 Muncul Dengan Single Terbaharu Berentak Balada Rock Moden

Penyanyi genit bersuara lantang, yang juga merupakan Naib Juara AJL Ke-32, Nurfarrah Izzatie Johari atau lebih terkenal dengan nama pentasnya, Ara Johari, kembali dengan single terbaharu berjudul ‘Tetap Aku Cinta’ setelah hampir setahun menyepi.

“Ara sebenarnya tak menghilang dan masih lagi aktif menyanyi, cuma mengambil masa mengumpul material yang sesuai untuk single yang seterusnya, dan pada masa yang sama sedang sibuk menguruskan perniagaan makanan yang baru dijalankan pada bulan Disember tahun lalu.

“Alhamdulillah kini Ara bersedia membuat comeback dengan single terbaru yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat di luar sana dan segala rangka promosi yang telah diaturkan oleh pihak pengurusan,” katanya.

Tetap Aku Cinta yang bergenre balada rock moden dicipta oleh komposer dan penulis lirik hebat tanah air, Amy Bong dan Furhan, dan diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment menceritakan tentang cinta terhadap seseorang yang dikasihi.

“Ia mengisahkan tentang seseorang yang menghargai cinta terhadap kekasihnya dengan menyerahkan sisa-sisa hidupnya bersama, walau pelbagai rintangan yang datang, namun dia tetap setia sehingga ke akhirnya.

“Lagu ini sememangnya diberikan khusus kepada Ara oleh Amy dan Furhan sendiri, manakala idea bagi susunan muzik pula datangnya daripada Ara sendiri kerana mahukan sesuatu yang berbeza, dan ini merupakan kolaborasi kedua bersama mereka selepas Racun Hati,” jelas anak kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan ini.

Proses rakaman single Tetap Aku Cinta telah dilakukan di Studio MFMF sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang diwartakan oleh Perdana Menteri Malaysia.

“Nasib baik lagu ini sempat dirakamkan sebelum PKP 2.0, namun begitu video muzik (MV) tak dapat disempurnakan lagi dan kami hanya mampu menghasilkan lirik video buat masa sekarang, In Shaa Allah, MV yang penuh bakal menyusul tak lama lagi,” jelasnya.

Sebagai anak seni yang baru beberapa tahun menapakkan kaki ke dalam industri muzik tanah air, sudah pasti beliau berdepan dengan cabaran dan jangkaan daripada masyarakat umum.

“Cabaran terbesar sepanjang bergelar anak seni adalah lagu yang bakal dikeluarkan kerana ia penting untuk menarik minat orang untuk mendengarnya, Ara takut kalau-kalau ada yang tak memuaskan hati pendengar, yalah kita tak dapat memuaskan halwa telinga semua orang.

“Pandangan umum juga berbeza, kalau dulu sebelum bergelar penyanyi tak siapa yang kenal, kini setiap gerak-geri kita diperhatikan, kadangkala tingkah laku kita disalahertikan dan menjadi buah mulut orang, namun Ara percaya jika kita jujur dalam melakukan sesuatu, ia pasti berhasil,” katanya.

Ketua Label Rocketfuel EntertainmentEn. Feros Sayna berkata, “Sudah hampir setahun Ara tidak muncul dengan mana-mana single, kini masa yang sesuai untuk Tetap Aku Cinta dilancarkan buat peminat-peminat Ara dan penggemar muzik Malaysia, dan saya yakin single terbaru ini bakal menandingi hit Bunga yang sangat fenomenal tak lama dulu.”

Tambah Ara, “Semoga lagu ini berjaya menarik minat pendengar di luar sana dan mengubati kerinduan peminat semua,  dan diharapkan banyak perkara positif yang datang dalam lagu ini.”

Lagu ‘Tetap Aku Cinta’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala lirik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Lirik Lagu TETAP AKU CINTA

Tajuk               : Tetap Aku Cinta

Artis                : Ara Johari
Lirik                 : Amy Bong & Furhan
Komposer       : Amy Bong & Furhan

Terukir di dada tentang cinta

Terasing dirasa tak percaya

Lemah jantung ku bernafas

Dalam rindu aku lemas

Tanpamu dan rindu kau

Tersiksa jiwaku

Serahkanlah sisa-sisa hidup bersamamu

Tak mampu hidup

Serahkanlah kisah-kisah cinta kau dan aku

Biarpun malam tak lagi berlagu 

Tetap aku cinta

Lemah jantungku bernafas 

Dalam rindu aku lemas 

Tanpamu dan rindu kau

Tersiksa jiwaku

Serahkanlah sisa-sisa hidup bersamamu

Tak mampu hidup

Serahkanlah sisa-sisa hidup bersamamu

Tak mampu hidup

Serahkanlah kisah-kisah cinta kau dan aku

Biarpun malam tak lagi berlagu 

Tetap aku cinta

Biarlah takdir penentu segala

Biar aku serahkan cinta

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Exit mobile version