in , ,

Cari Duit dengan Pakai Seksi, Siti Sarah Bidas Balik Bila Ada Netizen Ungkit Masa Lalu

Penyanyi Siti Sarah Raissuddin menjawab pertanyaan netizen yang sengaja mengungkit masa lalunya. Persoalan itu dibangkitkan oleh seorang wargamaya di ruangan komen salah sebuah entri Instagram milik Sarah.

Menerusi entri terbabit, Sarah mendedahkan terdapat pihak yang berasa kurang senang dengan tindakannya menegur secara terbuka mengenai teknik pemasaran sesetengah usahawan yang menggunakan cara tidak bermoral.

“Kakak. Dulu kakak Sarah mencari duit dengan memakai pakaian seksi kan? Adakah itu dikira memperdagangkan maruah kakak? Cuba komen,” tanya netizen terbabit.

– Netizen

Menjawab persoalan tersebut dengan tenang, Sarah berkata dia tidak dapat melakukan apa-apa untuk mengubah masa lalunya.

“Saya dah agak akan ada orang tanya macam ni. Masya-Allah, saya tak dapat berbuat apa-apa dengan masa lalu.

“Apa yang saya harapkan, moga Allah terima taubat nasuha saya, moga Allah ampunkan dosa-dosa saya dulu, kini dan nanti yang akan datang.

“Apa yang saya perkatakan bukan cerita tiga tahun lepas, saya tengah cakap apa yang terjadi sekarang,” balasnya.

– Siti Sarah

Pelantun lagu Jangan Kau Mimpi ini juga memohon maaf sekiranya dia mengguris hati wargamaya terbabit.

“Andai ada kata-kata saya yang mengguris hati awak, saya minta maaf. Sekiranya ada cara saya berpakaian dulu mengguris hati awak, saya minta maaf,” tulisnya lagi.

– Siti Sarah

Terdahulu, Sarah pernah membuat teguran secara terbuka di Instagram miliknya mengenai teknik pemasaran sebahagian usahawan yang sanggup menayangkan imej tidak senonoh untuk melariskan produk.

Lebih mengecewakan, kata Sarah, biarpun tidak bersetuju dengan cara pemasaran tidak bermoral itu, masih ada lagi pihak yang memintanya melakukan reviu produk dengan pendekatan sebegitu.

Sebelum ini, Sarah yang juga merupakan usahawan kosmetik dan tudung berjaya membuktikan bahawa sebagai seorang usahawan, dia juga boleh meraih pendapatan beratus ribu tanpa perlu mengaibkan mana-mana pihak dengan melakukan pendekatan pemasaran yang tidak bermoral.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Moratorium Mungkin Tidak Akan Dilanjutkan Kepada Golongan Berkemampuan

Ada Sebab Mira Filzah Tidak Akan Adakan Malam Berinai