in

Bonny Peserta Lelaki Pertama Layak Ke Final Bintang Ai-Minnal

Setelah dua minggu berlalu akhirnya peserta dari Sabah, Bonny Lin Vun Seng yang mesra disapa Bonny menjadi peserta lelaki pertama yang menempah tiket ke peringkat akhir Pertandingan Bintang Ai-Minnal 1Malaysia yang bakal berlangsung 11 April kelak.

Ternyata percaturan anak muda yang juga penuntut di sebuah kolej ini menyampaikan lagu “Mungkir Bahagia” nyanyian asal Hazami dengan gaya persembahannya yang tersendiri ini berjaya memikat hati juri berbanding persembahan lima pesaingnya yang lain.

Selain itu tuah turut memihak kepada Patmasri Dewi A/P Jothiswaran (Dewi), 20, yang memilih mendendangkan lagu Destinasi Cinta. Berasal dari Sri Aman, Sarawak, Dewi berkebolehan menyanyi dan menari ini memberikan persembahan yang meyakinkan juri untuk berpeluang menjadi juara program yang julung-julung kali diadakan RTM ini.

Empat peserta lain yang bertanding termasuklah Thian Eik Cher (Teringin), Tan Hui Wey (Cahaya Cinta), Jo (Hanya Nyanyian Dalam Sepi), S.Joseph A/L Stephen (Ke Mana Ku Bawa Hati Yang Rindu).

Penonton turut dihiburkan dengan penampilan istimewa penyanyi-penyanyi remaja yang digilai ramai, Ana Rafali dengan lagu popularnya Hujan Bunga Di Kuala Lumpur, Nubhan sampaikan lagu Oh! Juwita dan Sarah Raisuddin yang membawakan lagu Kesetiaan dan Jangan Kau Mimpi.

Bakal mengiringi Bonny dan Dewi sebelum ini empat peserta Chua An Qi (Angela), Iris Perrine a/p Vethamoni (Iris), Lee Kar Wei (Jess) dan Marian Shanti a/p Danaraj Jackson yang terdahulu telah terpilih layak ke peringkat akhir.

Peringkat Separuh Akhir ke-tiga Bintang Ai-Minnal 1Malaysia diadili oleh Ali dari Orkestra RTM, dua juri lain iaitu; Helen Yap dan Johari Teh.

Bintang Ai Minnal 1Malaysia 2010 diterbitkan hasil kerjasama dua stesen radio nasional RTM berbahasa Mandarin dan Tamil iaitu Radio Malaysia AiFM dan Radio Malaysia MINNALfm (Tamil) yang disiarkan setiap Ahad, jam 4.00 petang di TV2.

Pertandingan yang minggu ini diacarakan oleh Hanie Hamid, penyampai program Selamat Pagi Malaysia minggu ini menggantikan DJ Muaz dari MUZIKfm disiarkan selama enam minggu berturut-turut bermula dengan pertandingan Separuh Akhir Pertama (7 Mac 2010), Separuh Akhir Kedua (14 Mac 2010), Separuh Akhir Ketiga (21 Mac 2010), Separuh Akhir Keempat (28 Mac 2010), Konsert Pra Akhir (4 April 2010) dan kemuncak Peringkat Akhir (11 April 2010).

Setiap minggu, tiga peserta berbangsa Cina dan tiga peserta berbangsa India akan mempertaruhkan bakat-bakat masing-masing untuk memilih yang terbaik dan penjurian lebih mengutamakan aspek vokal serta sebutan kerana setiap peserta perlu menyanyikan lagu dalam Bahasa Malaysia dalam apa sahaja genre muzik. Peringkat akhir, hanya lapan peserta dipilih iaitu empat berbangsa Cina dan empat berbangsa India.

Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM 20,000.00, kedua RM 15,000.00, ketiga RM 10,000.00 dan Peserta Paling Popular RM 5,000.00 yang dipilih berdasarkan undian SMS.

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Empat Drama Terbaik Sempena Hari RTM Ke-64

Senarai Pencalonan Anugerah Parti Hip TV