in ,

Belum Reda Isu Bendera Putih, Tular Pula Kempen Kibar Bendera Hitam Pula

Selepas tular kempen mengibarkan bendera putih untuk membantu masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19, kempen mengibarkan bendera hitam pula hadir atas tujuan berlainan.

Media Sekretariat Solidariti Rakyat berkata rakyat diminta mengibarkan bendera hitam bermula esok di hadapan rumah, kedai, jalan atau tempat sesuai sebagai tanda kekecewaan mereka.

Ia juga meminta orang ramai mengambil gambar dan memuat naik di media sosial secara serentak pada pukul tiga petang esok dan menggunakan tanda pagar #Lawan pada setiap hantaran.

Tidak diketahui sama ada kempen ini akan berjaya selepas kerajaan mengumumkan lapan insentif pemulihan dengan peruntukan ratusan bilion ringgit bagi membantu rakyat.

Melalui insentif itu kerajaan turut memperuntukan RM300,000 kepada setiap ahli parlimen bagi menyediakan bakul makanan untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan ekoran pandemik Covid-19.

Insentif terbaharu dan yang kelapan membabitkan peruntukan RM150 bilion bagi meringankan beban rakyat.

Namun, Media Sekretariat Solidariti Rakyat berkata, mereka kecewa kerana Parlimen yang sepatutnya menjadi tempat membincangkan jalan penyelesaian kepada isu-isu kesengsaraan rakyat sehingga hari ini masih lagi gagal bersidang.

Kempen kibar bendera hitam muncul selepas tular kempen mengibarkan bendera putih untuk membantu golongan yang terkesan akibat wabak Covid-19.

Dalam pada itu, kenyataan itu berkata, inisiatif bendera putih adalah satu manifestasi daripada keterdesakan rakyat Malaysia untuk melangsungkan kehidupan.

“Rakyat terpaksa merayu demi sesuap nasi dikala kerajaan hari ini menggajikan puluhan jemaah menteri dengan bayaran yang tinggi.

“Kelembapan pengumuman bantuan kewangan oleh kerajaan walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bukan perkara baharu, sama sekali tidak boleh diterima rakyat,” katanya.

“Muhyiddin Putuskan Parlimen Bersidang Sebelum 1 Ogos”

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin iaitu sebelum 1 Ogos ini. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata perkara itu akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam semua hal berkaitan pemerintahan negara termasuklah berhubung persidangan Parlimen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Selasa lalu, Al-Sultan Abdullah sekali lagi menzahirkan pandangan persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat dapat dibentang di Parlimen seperti termaktub dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Yang baginda menzahirkan pandangan itu susulan sesi menghadap oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara serta lanjutan daripada sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung pada 16 Jun lalu.

Parlimen tidak bersidang selepas Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari lalu memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak COVID-19.

Bagaimanapun, pada 24 Februari lalu, Al-Sultan Abdullah bertitah Parlimen boleh bersidang ketika tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh difikirkan sesuai oleh baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Muhyiddin ketika menyampaikan perutusan Pelan Pemulihan Negara pada 15 Jun lalu pula menyatakan sidang Parlimen boleh diadakan sekitar September atau Oktober dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Bagaimanapun, Al-Sultan Abdullah selepas mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan pelan pemulihan negara dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan Ahli Dewan Rakyat.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Radio Media Prima Lancar Kempen Bersamamu #KitaJagaKita

Astro Radio Mengaktifkan KAMI CARE HELPLINE Untuk Membantu Rakyat Malaysia