in , ,

Belasungkawa Sean Connery dalam Kenangan & Perginya Seorang Legenda James Bond

Pemergian bintang Hollywood lagenda, Sean Connery, 91, mati dalam tidur di kediamannya di The Bahamas, Kepulauan Caribbean, Sabtu lalu diratapi keluarga, rakan selebriti, penerbit dan peminat seluruh dunia.

Memetik laporan BBC, berita sedih berkenaan disahkan keluarga aktor kelahiran Edinburgh, Scotland itu, selain diumumkan dalam akaun Twitter rasmi, James Bond.

Isteri, Micheline Roquebrune dan dua puteranya, Jason dan Stephane mengesahkan Connery menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang ketika tidur dan dikelilingi ahli keluarga.

“Upacara pengebumian akan diadakan secara tertutup, diikuti dengan majlis peringatan yang masih dalam perancangan selepas pandemik COVID-19 berakhir,” kata wakil keluarga menerusi e-mel yang diberikan kepada TODAY Online.

Micheline, 91, menceritakan detik terakhir sebelum mendiang suaminya yang menderita penyakit Demensia meninggal dunia. Penyakit Demensia atau lebih dikenali sebagai ‘nyanyuk’ yang berkaitan dengan daya ingatan disebabkan kematian sel otak secara abnormal.

Menerusi dailymail.co.uk, Micheline mengakui, penyakit Demensia mengorbankan suaminya, bagaimanapun sempat menghabiskan masa bersama pada saat akhir.

Pelukis Maghribi-Perancis itu memberitahu, “Tiada lagi kehidupan baginya. Beliau sudah tidak dapat menguruskan diri, sejak akhir ini. Mati dalam tidur, keadaannya amat tenang. Saya bersamanya sepanjang masa.

“Penyakit Demensia merugikannya. Bagaimanapun, beliau dapat menunaikan hasrat terakhir iaitu melarikan diri daripada keributan dunia selebriti.

“Dia lelaki hebat sepanjang kami hidup bersama selama 45 tahun. Bagi saya, beliau adalah lelaki yang boleh dijadikan teladan. Tentunya, kehidupan saya sukar tanpanya. Tetapi, saya tidak mampu menghalangnya pergi untuk selamanya. Biarlah beliau pergi dengan tenang,” katanya kepada dailymail.co.uk.

Berikutan kematian Sean Connery, selebriti dan peminat berkumpul dalam media sosial untuk memberi penghormatan kepada aktor itu.

Connery dilahirkan tanggal 25 Ogos 1930. Ibunya, Euphemia McBain berkerja sebagai tukang cuci, manakala bapa, Joseph Connery pula mencari rezeki dengan bekerja di kilang.

Dari seorang budak kampung yang bersekolah sehingga usia 14 tahun, Connery pernah melakukan kerja kolar biru seperti pemandu trak, penjual susu dan mengelap keranda. Siapa sangka namanya menjadi tersohor seluruh pelosok dunia sebagai aktor yang terkenal dengan watak ejen perisik James Bond pada 1962.

Pembabitan Connery dalam dunia seni bermula pada 1950, ketika menyertai pertandingan bina badan, Mr Universe yang berlangsung di London. Susuk tubuh yang tegap menyebabkannya dilamar untuk membintangi drama terbitan BBC, Requiem for a Heavyweight dan diberikan watak utama sebagai peninju.

Dari situ, Connery ditawarkan kontrak di bawah syarikat penerbitan terkemuka di Hollywood, Paramount Pictures. Pembabitan pertamanya dalam industri filem Hollywood bermula apabila penerbit Albert Broccoli dan Harry Saltzman mencari calon yang sesuai membawakan watak James Bond daripada kisah adaptasi novel kepada layar lebar.

Rezeki berpihak kepada Connery apabila aktor, Cary Grant menolak tawaran berkenaan, memaksa penerbit mencari pengganti yang bersedia menerima tawaran murah dan kurang dikenali.

Dengan ketinggian 6 kaki 2 inci, Connery dilihat paling layak. Namun penulisnya, Ian Fleming menganggap beliau tidak menepati ciri yang dicari. Penonton nyata tidak bersetuju dengan pendapat Fleming, buktinya sebaik filem berkenaan muncul di pawagam berjaya mencatat kutipan pecah panggung, sekali gus mengangkat nama Connery.

Beliau akan terus dikenang sebagai James Bond yang asli. Sejarah pembabitan dalam dunia filem akan kekal diingati sampai bila-bila. Ayat popularnya, ‘The name’s Bond… James Bond masih segar diingati peminat hingga hari ini,” kata penerbit siri James Bond, Micahel G Wilson dan Barbara Broccoli daripada EON Production.

Connery licik dan cerdik dalam membawakan watak ejen perisik 007 itu. Malah kemampuannya sebagai ejen seksi dan berkarisma tidak boleh disangkal hingga dinobatkan gelaran ‘Sexiest Man Alive’ oleh majalah People pada 1989 ketika berusia 59 tahun.

Sementara itu, aktor kelahiran Australia, Geoge Lazenby yang pernah membawakan watak James Bond masih terkejut dengan berita pemergian Connery.

“Saya mengucapkan selamat ulang tahun ke-90 kepadanya, beberapa minggu lalu. Tetapi, sekarang saya dengan berat hati terpaksa menyampaikan ucapan takziah buat ahli keluarga dan teman rapatnya.

“Secara peribadi, Connery menjadi sumber inspirasi saya. Saya pernah bertemu dengannya beberapa kali dan amat berbesar hati apabila beliau memberikan restu kepada filem On Her Majesty’s Secret Service. Apa yang mengagumkan, kerja yang dilakukan melangkaui filem James Bond. 

“Beliau aktif melakukan kerja amal, sangat menyayangi keluarga, menyertai politik dan sukan golf. Seorang insan yang baik dan aktor yang hebat di layar perak. Kini, aktor yang tidak begitu dihargai sudah pun meninggalkan kita. Ingatan tulus ikhlas dari saya buat Lady Micheline, anak dan cucu Connery, ” tulisnya menerusi laman Instagram (IG).

Seorang lagi bintang James Bond, Pierce Brosnan berkata, beliau amat mengagumi Connery yang membawakan watak ejek perisik itu ketika masih kecil. Connery menjadi dirinya sendiri.

Katanya, Connery juga membawa bayang-bayangnya ke dalam watak berkenaan dan ia akan kekal sampai bila-bila.

“Connery menunjukkan jalannya dan saya hanya mengikut jejak langkahnya. Setiap pelakon yang dipertanggungjawabkan membawakan watak Bond pasti akan melihat Connery dengan rasa kagum dan hormat. Anda seorang yang hebat daripada pelbagai sudut, sama ada aktor, manusia dan akan terus kekal diingati sampai bila-bila,” katanya yang dipetik menerusi IG.

Daniel Craig berkata, dia amat sedih sebaik mengetahui berita pemergian aktor yang sangat hebat.

“Connery akan terus diingati sebagai Bond. Beliau menterjemahkan watak ejen perisikan 007 itu dengan penuh bergaya, cerdik dan mempesona di layar lebar. Beliau mampu menggegarkan panggung dan akan terus menjadi aktor yang berpengaruh, ” katanya menerusi Twitter. – AGENSI

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

tony fernandes airasia-2020

airasia.com Lancar Airasia Health, Platform Digital Untuk Perkhidmatan Perubatan

Sah! Neelofa Dirisik PU Riz, Bakal Nikah Pada Penghujung Mac 2020