in ,

Bekas Anggota Kumpulan 4U2C, One Ii Meninggal Dunia, AC Mizal Turut Bersedih

Bekas anggota kumpulan 4U2C, One II atau nama sebenar Nirwan Siari, 44, meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru di Hospital Kuala Lumpur (HKL), jam 1.30 tengah hari tadi.

SEKALIPUN nama 4U2C sudah lama tidak kedengaran namun, populariti kumpulan itu tidak pudar ditelan masa. Generasi yang pernah membesar dengan lagu-lagu nyanyian 4U2C tentu sekali tidak akan lupa dengan tujuh anggota kumpulan itu.

4U2C yang masyhur dengan lagu Fiona dianggotai oleh AC Mizal (kini bergelar Datuk), Azam, Joe, Adik, Lan, Yanz dan Rin ketika muncul dengan album sulung pada 1993.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, 4U2C menyaksikan penarikan diri beberapa anggotanya menyebabkan kekosongan diisi oleh Adiex, Aren, Charlie dan One II.

Dan pada hari ini, Selasa, kumpulan berkenaan dikejutkan dengan berita sedih pemergian One II ke rahmahtullah.

Adiknya, Mohd Norezman, berkata Allahyarham yang menghidap penyakit batuk kering dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak dua hari lalu selepas mengadu sesak nafas.

Bekas Anggota Kumpulan 4U2C, One Ii Meninggal Dunia, AC Mizal Turut Bersedih

“Dua tahun lalu arwah disahkan menghidap batuk kering dan ia kembali menyerang, baru-baru ini. Doktor sahkan jangkitan sudah merebak ke paru-paru, selain masalah jantung membengkak.

“Tahap kesihatannya semakin menurun hingga terpaksa ditidurkan. Sepanjang dua hari, arwah hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Kami reda kerana Allah lebih menyayanginya,”

Allahyarham yang belum berumah tangga bekerja sebagai jurulatih gimnasium. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat, hari ini.

Nirwan menyertai kumpulan rap popular itu pada penghujung 1990-an, selepas empat anggota asal 4U2C iaitu Adik, Yanz, Azam dan Joe mengundurkan diri.

Selain One II, pembentukan barisan baharu yang dilakukan atas inisiatif Datuk AC Mizal itu turut menyaksikan penyertaan tiga anggota lain iaitu Adiex, Aren dan Charlie.

Mereka sempat merakamkan album Kembalilah Fiona sebelum Allahyarham memilih haluan sendiri, selepas dua tahun bersama.

AC Mizal turut menarik perhatian netizen dengan memuat naik kulit album terakhir 4U2C dalam entri yang sama.

Suami kepada pelakon Datin Emylia Rosnaida itu juga berkongsi beberapa keping foto beliau ketika menziarahi One II di hospital semasa Allahyarham menerima rawatan.

Sementara itu, AC berkata, dia sepatutnya melawat One II sekali lagi, petang ini, namun dikejutkan berita pemergiannya.

“Saya dan isteri sempat menziarahinya di hospital, semalam selepas adik arwah memaklumkan keadaan kesihatannya.

“Sebelum ini, kami masih berhubung, cuma arwah memang pendiam dan tidak pula bercerita mengenai kesihatannya.

“Allahyarham sahabat yang baik, malah sepanjang mengenalinya, beliau sangat menyenangkan,”

Dato AC Mizal

Jenazah Allahyarham One II, 44, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Keramat, Hulu Kelang selepas solat Asar hari ini.

Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah. Semoga Allah mencucuri rahmat dan menempatkan Allahyarham di kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senarai Komen Juri Gegar Vaganza 2019 Minggu Ke-2

Peraduan Menangi Merchandise Filem CHARLIE’S ANGELS