in ,

Bayaran Minimum RM50! Ketahui Info Penting Ini Sebelum Ahli KWSP Buat Permohonan

PELUANG untuk membuat pengeluaran sehingga RM5,000 menerusi program baharu yang dikenali sebagai i-Citra, sudah tentu menggembirakan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Berita baik itu diumumkan kerajaan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Rakyat (Pemulih), pada Isnin. Ramai menarik nafas lega selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman ini berikutan terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

KWSP dalam satu kenyataan berkata, menerusi inisiatif i-Citra, pencarum yang layak boleh mengeluarkan sehingga maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki di dalam Akaun 1 dan 2.

Berikut adalah 13 perkara/soalan lazim yang anda perlu tahu mengenai i-Citra:

1. Mengapakah pengeluaran i-Citra diperkenalkan?

Pengeluaran i-Citra diperkenalkan untuk memberi kemudahan kewangan tambahan kepada ahli yang terkesan akibat PKP bagi memenuhi keperluan asas untuk kelangsungan hidup mereka.

2. Siapakah yang layak memohon?

Ahli KWSP yang berumur 55 tahun ke bawah, termasuk bukan warganegara dan pemastautin tetap; dan mempunyai jumlah simpanan sekurang-kurangnya RM150 dalam Akaun KWSP pada tarikh permohonan.

3. Bolehkah ahli yang merupakan anggota perkhidmatan awam dan berada dalam skim perkhidmatan berpencen memohon i-Citra?

Anggota perkhidmatan awam boleh memohon i-Citra. Walau bagaimanapun, mereka berkemungkinan akan berdepan dengan risiko menggunakan syer kerajaan yang perlu dikembalikan kepada kerajaan kelak.

4. Berapakah amaun pengeluaran yang layak dikeluarkan?

Amaun kelayakan pengeluaran adalah sehingga maksimum RM5,000. Bayaran bulanan akan dibuat sehingga lima bulan.

Bayaran yang ditetapkan adalah RM1,000 sebulan atau tertakluk kepada jumlah baki simpanan. Bayaran minimum adalah RM50

Meninggalkan baki sekurang-kurangnya RM100 dalam Akaun 1.

Amaun kelayakan pengeluaran adalah berdasarkan jumlah simpanan ahli pada tarikh permohonan diproses setelah ditolak bayaran i-Sinar yang akan datang (jika ada).

5. Mengapakah amaun maksimum i-Citra dihadkan kepada RM5,000 sahaja?

Amaun maksimum RM5,000 bertujuan membantu ahli untuk menampung kelangsungan hidup dengan mengimbangi keperluan simpanan persaraan.

6. Mengapakah ahli perlu mengekalkan simpanan minimum di dalam Akaun 1 sebanyak RM100?

Simpanan minimum RM100 perlu dikekalkan dalam Akaun 1 agar dapat mengekalkan status sebagai ahli KWSP serta layak untuk mendapat manfaat yang berkenaan. (Manfaat Bantuan Kematian & Bantuan Hilang Upaya)

7. Bilakah permohonan i-Citra boleh dibuat?

Permohonan boleh dibuat mulai 15 Julai 2021 hingga 30 September 2021.

8. Bagaimanakah cara untuk memohon Pengeluaran i-Citra?

Permohonan hanya secara dalam talian melalui portal icitra.kwsp.gov.my.

Bagaimanapun, portal ini hanya boleh diakses bermula 15 Julai 2021. Maklumat lanjut mengenainya akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

9. Bolehkah ahli memohon i-Citra sekiranya telah memohon i-Lestari dan i-Sinar?

Boleh, tertakluk kepada kelayakan seperti yang dinyatakan dalam Soalan 2.

10. Bilakah bayaran i-Citra mula dibuat?

Bayaran bagi permohonan yang dibuat pada bulan Julai dijangka dibayar bermula bulan Ogos 2021.

11. Bolehkah simpanan dalam Akaun Emas digunakan untuk Pengeluaran i-Citra?

Simpanan Akaun Emas tidak boleh digunakan untuk i-Citra. Rujuk kelayakan memohon di soalan 2.

12. Bagaimanakah ahli boleh menyemak jumlah simpanan KWSP mereka?

Ahli boleh menyemak jumlah simpanan mereka melalui i-Akaun (ahli) dan aplikasi mudah alih i-Akaun., serta kios KWSP (termasuk kios KWSP di premis pihak ketiga).

13. Rujuk saluran berikut untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berkenaan Pengeluaran i-Citra:

Laman web rasmi KWSP di pautan www.kwsp.gov.my, Ask ELYA di laman web rasmi KWSP, media sosial rasmi KWSP dan Hotline i-Citra di talian 03-8922 4848.

Muhyiddin ketika mengumumkan pelaksanaan i-Citra di bawah Pemulih berkata, seramai 12.6 juta ahli KWSP layak menikmati inisiatif terbabit.

Perdana menteri berkata, pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.

Sumber: Laman web rasmi KWSP

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kibar Bendera Putih Bagi Yang Memerlukan, Heliza Helmi Ajak Semua Saling Membantu

Kempen Bendera Putih Kini Tular, Sekali Nik Abduh Bagi Cadangan Yang Lain