in , ,

Bawa Watak Usu Sakinah dalam Perempuan Tanpa Dosa, Uyaina Arshad Terima Ugutan Penonton

“Macam-macam mesej peribadi saya terima di Instagram. Ada yang nak pijak, pukul dan cungkil mata saya sebab geram dengan watak yang dibawakan,” kata pelakon, Uyaina Arshad mengenai wataknya sebagai Usu Sakinah dalam drama bersiri Perempuan Tanpa Dosa yang kini sedang ditayangkan.

Uyaina berkata, ada juga yang mahu berjumpa bomoh untuk menghantar santau kepadanya berikutan watak jahat yang dibawakan dalam drama arahan Michael Ang itu.

Selain Uyaina, drama itu turut dibintangi Kamal Adli, Uqasha Senrose, Zac Zaky, Yusuf Bahrain dan ramai lagi.

“Memang tak sanggup nak baca komen atau nak buka mesej yang dihantar. Tapi kadang-kadang terbaca juga sebab nak tahu apa maklum balas penonton terhadap watak Usu Sakinah itu,” katanya. 

Uyaina Arshad

Watak Usu Sakinah mula dibenci peminat selepas dia yang pada mulanya ditampilkan sebagai wanita kampung yang sopan. Dia pasrah selepas kekasihnya berkahwin dengan orang lain, namun berubah menjadi seorang pendendam dan mula memasang strategi untuk menjadi isteri kedua kekasihnya itu.

Plot twist yang dibuat dalam drama ini terutama pada watak Usu Sakinah membuatkan nama Uyaina disebut ramai.

Menurut Uyaina, walaupun tiada sebarang perkara buruk berlaku terhadap dirinya, namun dia sentiasa berhati-hati. 

“Kadang-kadang rasa takut jika apa yang dikatakan itu benar-benar terjadi, tapi saya cuba berfikiran positif. Malah saya juga cuba paparkan kehidupan realiti saya di Instagram supaya pengikut tidak menganggap saya seperti dalam watak itu. 

“Saya sangat bersyukur diberi peluang dalam drama ini kerana watak yang dibawakan amat mencabar dan menaikkan nama saya dalam industri seni,” katanya. 

*Sumber: Harian Metro

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

“Biarlah Dikecam Asalkan Kita Tahu Jika Salah, Maaf Harus Dihulur,”- Haqiem Rusli

Bagaimana Syarikat Anak Watan Buat Launching Setanding Apple