in ,

Aziz Harun Lancar Single Terbaru JANGAN

Aziz Harun bukanlah nama baru di industri muzik kerana beliau sudah menceburi di dalam bidang seni seawal umurnya 6 tahun di negaranya sendiri iaitu Brunei Darussalam. Beliau mula terlibat secara aktif dalam industri muzik ketika menyertai ‘Bintang Kecil’ pada tahun 2009 dan telah menjuarai pertandingan tersebut.

Kejayaan beliau tidak terhenti di situ sahaja, ini kerana pada tahun 2014, Aziz Harun telah melancarkan single pertamanya yang berjudul ‘Senyum’ dan pada tahun 2015 pula, beliau telah melancarkan single kedua yang berjudul ‘Beautiful’. Kedua-dua lagu tersebut mendapat sambutan yang hangat dari peminat beliau dan Aziz juga telah memenangi anugerah bagi Lagu Kolaborasi Terbaik di Anugerah Planet Muzik (APM) 2016 untuk lagu ‘Beautiful’.

Selepas kejayaan untuk kedua-dua lagu tersebut, pada Ogos 2016 Aziz telah muncul dengan single ketiga yang berjudul ‘Mama’ iaitu kolaborasi bersama Elizabeth Tan yang merupakan gadis sensasi YouTube yang popular dengan single sulungnya ‘Knock Knock’. ‘Mama’ menjadi lebih istimewa apabila lagu ini dicipta khas untuk para ibu di seluruh dunia. Lagu ‘Mama’ mempunyai nilai sentimental yang istimewa buat diri Aziz, kerana lagu itu didedikasikan khas untuk ibunya yang telah banyak membantu bukan sahaja dalam kerjaya seninya tetapi di dalam kehidupannya semenjak dari kecil.

Kini, Aziz Harun muncul dengan single ke-empat beliau yang bertajuk ‘Jangan’. Lagu ini dipertaruhkan sebagai buah tangan baru bagi Aziz Harun selepas kejayaan ketiga-tiga single beliau yang sebelum ini. ‘Jangan’ merupakan sebuah cetusan melodi pop yang santai serta gubahan muziknya yang mampu mengajak para pendengar untuk turut menyanyi bersama. Berentakkan tempo yang ‘catchy’ dan ‘jazzy’ membuatkan pendengar juga senang untuk menerima lagu ini.

Lagu yang dihasilkan oleh Faizal Tahir, Ezra Kong, Mike Chan, dan Romeo ini juga baru sahaja memuat naik muzik video rasmi di laman YouTube Faithful Music pada 21 September yang lalu dan telah mendapat hampir 300 ribu tontonan dalam masa 2 minggu sahaja. Pembikinan muzik video bagi lagu ini juga telah dirakamkan di negara kelahiran Aziz sendiri iaitu di Brunei Darussalam.

Lagu ini juga menjadi OST bagi drama 16 episod Awak Suka Saya Tak? terbitan Global Station Sdn.Bhd dan di bintangi oleh barisan pelakon popular tanah air iaitu Emma Maembong, Alvin Chong, Sabhi Saddi, Rebecca Nur, Raden Ahmad Faizal, Mustapha Kamal dan ramai lagi. Drama ini sudah pun mula di tayangkan pada 25 September 2017 yang lalu. Sebuah cerita yang diadaptasi dari sebuah novel oleh Melur Jelita di mana drama yang mengisahkan tentang kasih sayang antara Intan Zulaikha, seorang gadis Melayu dan Hilman Yong, seorang kacukan Korea-Amerika-Cina yang jatuh cinta pada pandangan pertama di sebuah restoran. Bagi penggemar dan penonton drama sudah pastinya tidak terlepas dari mendengar lagu “Jangan” sebagai runut bunyinya.

Teristimewa buat peminat Aziz Harun lagu ‘Jangan’ edaran Warner Music (M) Sdn. Bhd ini boleh dimuat turun disemua digital platform seperti Apple Music, Spotify, JOOX, Yonder Music dan KKBox.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senarai Penuh Peserta Gegar Vaganza Musim Ke-4

Ini Senarai Artis-artis Ternama di Malaysia Autoshow 2017