in ,

Awie Ajak Peminat Bersantai dalam Tunggu Sekejap

Selepas Jangan Tidur Lagi dan BROS, malam Ahad para penonton akan terus diserikan dengan sebuah lagi program terbaru, “Tunggu Sekejap”, yang dihoskan oleh penyanyi rock dan pelakon terkenal tanah air iaitu Ahmad Azhar Bin Othman atau lebih dikenali sebagai Awie mulai 11 November ini. “Tunggu Sekejap” merupakan program bual bicara variety yang sarat dengan aksi yang mencuit hati dan mendebarkan serta diselitkan elemen-elemen hiburan. Awie tidak akan keseorangan kerana beliau akan ditemani oleh tetamu istimewa yang terdiri daripada penyanyi, pelakon, pelawak, ahli sukan, VVIP dan ahli perniagaan.

MALAM AHAD KINI LEBIH SANTAI BERSAMA AWIE

Kredibiliti Awie selaku penghibur secara solo mahupun bersama bandnya, Wings dan kejayaan filem-filem lakonan beliau, antaranya, “Hantu Kak Limah Balik Rumah”, “Cuci”, “Zombie Kampung Pisang”, “Baik Punya Cilok”, “Bara” serta “Sembilu” menjadikan beliau pilihan tepat untuk mengemudi program “Tunggu Sekejap”. Pertama kali menjadi pengantara sebuah program bual bicara, karakter dan attitude Awie yang cukup sinonim dengan motor kuasa tinggi Harley Davidson menjanjikan suatu yang unik dan dinantikan di dalam “Tunggu Sekejap”.

Tunggu Sekejap (2) - Awie Bersama Band Kristal

Awie bersama band Kristal

Bersiaran selama 1 jam bermula 11.00 malam hingga 12.00 tengah malam, “Tunggu Sekejap” merupakan pelengkap malam hujung minggu penonton dengan memuatkan 5 segmen menarik iaitu “Babak Ke Babak”, “Lawak Lawak”, “Aksi”, “Tiru Gaya Artis” dan “Karaoke Ligat”. Sesi rakaman “Tunggu Sekejap” diadakan di Studio 1, Glenmarie, Shah Alam dan turut menampilkan band Kristal sebagai pemuzik iringan untuk kesemua 13 episod.

Berbeza dengan program BROS yang menumpukan isu kaum lelaki pada setiap episod, “Tunggu Sekejap” tampil lebih ringan dan santai untuk penonton seisi keluarga. Menerusi segmen pertama iaitu “Babak Ke Babak”, penonton akan melihat lakonan semula atau kesinambungan babak dari filem-filem popular, antaranya “Kabhi Khushi Kabhi Gham”, “Gila-Gila Remaja” dan “Sembilu” oleh tetamu undangan. Diselang-seli dengan segmen “Babak Ke Babak” pada setiap episod, segmen “Lawak Lawak” juga mengkehendaki tetamu undangan berlakon, bezanya mereka akan berlakon berdasar tajuk yang diberi, contohnya “Shopping Boleh Blah”, “Dating Larut Malam” dan “Kasih Seorang Ayah…Hingga Hujung Nyawa”.

Segmen seterusnya ialah “Aksi” di mana mereka yang tersenarai di dalam Malaysian Book Of Records akan melakukan aksi-aksi yang menggerun dan mendebarkan seperti tinggal bersama 150 ekor ular, memakan kaca, bawa kereta reverse, ditetak tangan dengan parang, berdiri di atas motor paling lama dan banyak lagi.

Segmen “Tiru Gaya Artis” kemudian menyusul di mana mereka yang berbakat untuk meniru suara, gaya dan rupa seiris artis akan dijemput ke studio. Artis yang ditiru juga akan berada di studio. Mereka akan melakonkan kembali aksi-aksi yang ditiru, antaranya, Sofi Jikan di dalam filem “KL Gangster” dan klip video “Lembu Nak Jaga” (lagu asal “Move Like Jagger” oleh Maroon 5).

Segmen terakhir “Tunggu Sekejap” ialah segmen “Karaoke Ligat”, menerusi segmen ini penonton akan dihiburkan dengan persembahan oleh tetamu undangan yang menyanyikan lagu-lagu kerakyatan atau lagu-lagu popular dalam versi loghat negeri seperti Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan sebagainya. Tidak ketinggalan, Awie juga bakal menyanyikan beberapa buah lagunya dan lagu popular lain pada setiap episod. Antara tetamu undangan yang akan bersama Awie di dalam “Tunggu Sekejap” ialah Shuib Sepah, Ifa Radziah, Zalif Sidek, Sofi Jikan, Didie Alias, Eby Yus, Monoloque, Almy Nadia, Nabil, Dina Nadzir, Aiman Hakim Ridza, Angah Raja Lawak, Abon, Syanie, Wan Sharmila dan ramai lagi.

“Tunggu Sekejap” diterbitkan oleh Primeworks Studios yang diterajui oleh Jamil Hassan selaku Penerbit Eksekutif dan Zaini Saidi selaku Penerbit. Saksikan “Tunggu Sekejap” bersama hos, Awie, pada setiap hari Ahad jam 11.00 malam mulai 11 November ini di TV3. Selain itu, penonton mempunyai alternatif untuk menyaksikan “Tunggu Sekejap” menerusi laman sesawang www.tonton.com.my.

Tunggu Sekejap (4) - Antara Tetamu Di Studio, Acong, Ida Moin Dan Almy Nadia-001

Tunggu Sekejap (5)

Tunggu Sekejap (3)

Tunggu Sekejap (1)

Tunggu Sekejap (6)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sazzy Falak & Razif Hashim Pengacara Program Bual Bicara OMG

Gambar Konsert Minggu Kedua VOKAL Penuh Kejutan