in , ,

AWANA PUITIKA Cipta Rekod Di Tempat Tertinggi Menara Alor Setar

AWANA PUITIKA dipersembahkan di aras Mega View, Menara Alor Setar dengan ketinggian 100 meter di atas muka bumi. Acara di Kedah merupakan kesinambungan program terdahulu. Tahniah buat penganjur.

Muzikalisasi Puisi – Awana Puitika dianjurkan oleh Meja Poedjangga Malaysia dengan kerjasama Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS, Menara Alor Setar, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Iwan Shifudo Hot & Grill pada 21 Ogos 2020 bermula pada jam 8.30 malam yang mengadunkan persembahan deklamasi, lagu-lagu puisi, fragmen teater dan tarian menampilkan Aktivis Seni, Penyanyi dan Penyair Muda ASEAN 2015 iaitu Umar Uzair bersama para tokoh tersohor anak jati Negeri Kedah; Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan, Deklamator Kebangsaan; Puzi Hadi, Lin Haslinaz, Persatuan Teater Alor Setar dibawah pimpinan Encik Joe Kas yang merupakan penerima Tokoh Karyawan Seni & Budaya Negeri Kedah 2016 serta kumpulan penari Shasharos.

AWANA PUITIKA

AWANA PUITIKA dipersembahkan di aras Mega View, Menara Alor Setar dengan ketinggian 100 meter di atas muka bumi. Acara di Kedah merupakan kesinambungan program terdahulu iaitu Konsert Puitika Pujangga (Istana Budaya Kuala Lumpur, 2017), Festival Puitika Penang (Pulau Pinang, 2017), Festival Nada Puitika (MaTic Kuala Lumpur, 2018), Festival Puitika Timur (Kota Bharu, 2019) dan Layar Puitika (Muzium Negeri Terengganu, 2019). Peneraju acara Awana Puitika di Alor Setar ialah Encik Abade Burhan, Eksekutif Kreatif Meja Poedjangga. Program ini mendapat kerjasama Menara Alor Setar dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur serta Iwan Shifudo Hot & Grill.

Awana Puitika berlangsung dalam dewan sederhana ruang di Mega View dengan keluasan ruang dewan terhad kepada 70 penonton mengikut kepatuhan SOP wabak COVID-19.

Tetamu khas ialah Ahli Parlimen Kota Setar Yang Berhormat Chan Meng Kai, Encik Mohamad Rizal Ismail (Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah), Zaidin Abadi (Ketua Dua ASASI) dan Encik Mohamad Zamri Abdul Razak (Pengurus Besar, Menara Alor Setar).

10 sekuen berlangsung terus menerus berselingan tanpa jeda seusai menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku sehingga tirai penutup dilabuhkan dengan lagu patriotik Jalur Gemilang. Persembahan pertama membawa kearifan tempatan dengan Tarian Cinta Sayang oleh kumpulan Shasharos Dancers pimpinan Norharisah Hanif. Kedua, disusuli tayangan rakaman deklamasi puisi berjudul Ikrar Dari Anak Pasca Merdeka oleh Lin Haslinaz, deklamator Kedah kini menetap di Kuala Lumpur.

Ketiga, muncul penyanyi, penyair yang juga Pengarah Urusan Meja Poedjangga iaitu Umar Uzair dengan dua buah lagu iaitu Cenderawasih dan Demi Kesilapan Tenunganku Maafkanlah bersama busana songket tajaan Rem Ahmad Bridal House, Jitra. Menyusul selepasnya ialah persembahan fragmen teater Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ) oleh PENTAS arahan Joe Kas.

Teater RSJ diangkat dari novel bertajuk sama adalah karya agung buah tangan Allahyarham Sasterawan Negara Shahnon Ahmad anak kelahiran Sik, Kedah yang melatari dunia tani penuh derita dalam novel tersebut.

Diperan empat pelakon iaitu Norhaslini Ishak (watak Jeha), Nursya FI Qah (watak Sanah), Ayie Haryatie (watak Isteri Penghulu) dan Amir Dgreat (watak Penghulu).

Bacaan syair dan sajak oleh Sasterawan Dato’ Dr. Zurinah Hassan anak Kedah dan kini menetap di Selangor berjudul Dari Gunung Jerai Ke Pekan Rabu karya dari buku beliau Pujangga Tidak Bernama terbitan DBP pada 1994 dipersembahkan secara rakaman masih memikat khalayak.

Bintang Kecil, Puteri Anis menyusul dengan nyanyian lagu Tualang Tiga diiringi penari Shasharos Dancers. Umar Uzair muncul kali kedua bersama dua buah lagu iaitu Hasrat Sang Enggang dan Rindu Membisu Separuh Logikaku dipetik dari album solo kedua yang diterbitkan pada 2019.

Kemuncak Awana Puitika menyaksikan persembahan bertenaga Juara pertama Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan Tahun 1987, Puzi Hadi dengan dua buah sajaknya.

Sajak pertama, Sila Pakai Topeng Anda dengan memakai pelitup muka berkisah perihal semasa rakyat diwajibkan memakai pelitup muka bagi mengelak jangkitan penularan wabak COVID-19.

Sajak keduanya, Awana Puitika dipersembah secara duduk bersila dengan gaya bauran gestura, teater dan tari.

Shasharos Dancers menutup persembahan pada malam itu dengan tarian ikonik Kedah, Tarian Ayam Didik dan nyanyian beramai khalayak penonton lagu patriotik Jalur Gemilang menggegar dewan tingkat 5 Menara Alor Setar bagi merai menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 Tahun pada 31 Ogos.

Melalui program ini, ia turut disimpulkan sebagai usaha untuk terus mengimarahkan seni dan budaya kebangsaan melalui persembahan sastera dan seni supaya khazanah besar ini sentiasa menjadi tauladan dan pekerti yang baik, membina modal insan serta bangsa Malaysia yang sejati serta akan memurnikan nilai kebangsaan Malaysia.

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Isteri Dr Say Shazrif Keguguran Kandungan Masuk 12 Minggu

Youtuber Mualaf Korea Terkenal Didakwa Cuba Rogol Wanita?