in , ,

Atu Zero Terpaksa Merayu, Mahu Awesome TV Lunaskan Bayaran

PELAWAK Atu Zero meluahkan rasa kesal apabila terpaksa menagih bayaran daripada stesen televisyen Awesome TV yang masih belum dilunaskan meskipun program Awesome Raja Lawak yang disertainya sudah selesai November tahun lalu.

Pelawak, Atu Zero meminta stesen TV, Awesome TV segera melunaskan bayaran tertunggak sebanyak RM30,000 yang masih belum dibayar sejak penghujung tahun lalu.

Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif ketika dihubungi berkata, baki bayaran yang belum dibayar adalah 40 peratus daripada jumlah keseluruhan untuk beberapa program TV membabitkannya.

“Baki ini bukan untuk program Awesome Raja Lawak saja, tetapi beberapa program lain juga antaranya sitkom dan program yang menampilkan saya sebagai tetamu undangan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Atu, dua kali bayaran sebelum ini sudah diterima, namun ia juga bukanlah proses yang mudah.

“Bayaran dibuat tiga kali. Bayaran pertama dan kedua, saya dah dapat. Itu pun selepas ‘berperang’ sakan untuk dapatkannya,” katanya.

Atu berkata, dia beberapa kali bertanya dan pada Mac lalu, hadir ke pejabat Awesome TV untuk bertanya khabar berita mengenai pembayaran itu.

“Saya dah bertanya kepada pihak mereka sejak hujung tahun lalu. Katanya, mereka sedang memproses pembayaran itu. Dari Disember, kemudian ke Januari, seterusnya ke Februari. Alasannya masih sama.

“Bulan Mac, saya ke pejabat mereka untuk bertanya kalau pembayaran sudah diproses. Tapi, katanya masih belum selesai. Sekarang, dah April pun, bayaran masih belum diterima.

“Saya bersuara kerana mereka sudah berjanji. Nampaknya mereka buat seperti sambil lewa. Program Awesome Raja Lawak itu pun dah selesai pada Disember tahun lalu,” katanya.

Menurut Atu, dia bersuara demi mendapatkan haknya selepas memberikan komitmen penuh untuk kerja-kerjanya.

“Bukan saya nak cakap saya orang baik atau apa. Tapi, saya sendiri tak pentingkan jumlah angka, sebaliknya berpegang kepada janji dan komitmen bekerja.

“Saya dah melakukan tugas dan tanggungjawab kerja saya, dan dah keluarkan modal sendiri. Bukan saya saja, tetapi hampir majoriti yang terbabit turut terkena benda sama. Cumanya, mereka berdiam diri sebelum ini.

“Saya suarakan kerana itu hak saya. Jadi, bila saya bersuara, barulah ada rakan-rakan lain yang tampil dan menghantar mesej kepada saya untuk bertanya,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan mengambil tindakan undang-undang, Atu berkata, dia tidak berkemampuan dan hanya mampu memohon agar pihak stesen TV itu memahami situasinya yang sudah berkeluarga.

“Ada rakan-rakan yang menyarankan agar saya menggunakan khidmat peguam. Masalahnya, duit pun tak ada.

“Kepada pihak terbabit, cepat-cepatlah lunaskan pembayaran kerana dalam bulan Ramadan ini, sedikit sebanyak, kami yang terkesan ini dapatlah gunakan untuk anak dan isteri. Jadi, faham-fahamlah,” katanya.

Terdahulu, Atu memuat naik hantaran di Instagram berkongsi mengenai isu pembayaran ini.

“Duit sendiri sudah guna untuk minyak, tol dan makan. Segalanya sudah ku korbankan. Takkan gaji saya sendiri, saya kena mengemis meminta.

“Hari itu, saya sudah pergi ke pejabat Awesome TV dengan muka gembira dan tersenyum. Pulang bersama janji, bukan gaji yang tertunggak dari tahun lepas.

“Saya ini hanya seorang bapa dan suami yang berjuang untuk keluarga saya. Gaji saya tertunggak itu tidak besar dan lumayan, tapi, jangan main-main dengan duit dan hak orang,” katanya.

Terbaharu, filem lakonannya, Sumpahan Malam Raya arahan Prof Madya Datuk Dr A Razak Mohaideen akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 1 Syawal ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ali Puteh Sedih Tak Dapat Jumpa Hamzah Sejak Arwah Abam Meninggal

Jaafar Onn Anggap Golongan Pakai Baju Melayu Ketat Tak Ada Otak