in

Astro Umum Kolaborasi Mega Di Antara Malaysia – Indonesia dalam Projek Nusantara DO[S]A

Peneraju kumpulan kandungan dan konsumer di Malaysia, Astro Malaysia bakal menampilkan sebuah mini siri Nusantara premium eksklusif bertajuk DO[S]A di platform digital, ‘on demand’ seiring dengan tayangan di televisyen menerusi salah satu saluran Melayu Astro; Astro Citra.

Mini siri yang dijangka akan menemui penonton pada hujung tahun ini telah memulakan sesi penggambarannya pada bulan Julai baru-baru ini di Jakarta, Indonesia serta Kuala Lumpur, Malaysia. Salah satu kelainan mini siri ini adalah ia menawarkan penonton untuk menyaksikan kesemua 8 episod (berdurasi satu jam bagi setiap episod) di platfom ‘on demand’ secara waktu serentak (binge watching).

Barisan Pelakon Dosa - 1

Mini Siri Premium Eksklusif Bakal Guna Khidmat Pengarah Terbaik 2011 Indonesia

DO[S]A merupakan karya asal Ketua Unit Drama Premium & Filem Astro, Saniboey Mohd Ismail dan Salman Aristo, yang turut bertindak sebagai penulis skrip untuk naskhah ini. Salman, satu nama yang cukup disegani di Indonesia merupakan penulis skrip untuk karya-karya pecah panggung seperti ‘Ayat-Ayat Cinta’, ‘Laskar Pelangi’, ‘Garuda di Dadaku’ dan ‘Sang Penari’. Pencapaian terkini Salman adalah di Festival Filem Indonesia 2016 yang mana beliau telah dinobatkan anugerah Penulis Lakon Layar Terbaik untuk filem ‘Athirah’. Turut sama terlibat sebagai penulis skrip untuk karya ini adalah saudara M Rino Sarjono.

Istimewanya lagi, mini siri ini turut mendapat sentuhan daripada pengarah terbaik Indonesia 2011 iaitu Ifa Isfansyah. Ifa Isfansyah yang merupakan seorang sutradara yang begitu begitu berbakat besar dan amat dihormati di republik ini, mula menempa nama menerusi pengarahan filem-filem hebat seperti ‘Sang Penari’, ‘Garuda Di Dadaku’ dan ‘Pendekar Tongkat Emas’.

Selain itu, mini siri ini akan menggunakan khidmat Pengarah Fotografi terkenal, Yandi Sugandi yang sebelum ini telah melahirkan stail visual yang cukup memukau untuk karya-karya seperti ‘Ada Apa Dengan Cinta 2’, ‘Laskar Pelangi’, ‘Sang Penari’, ‘Darah Garuda’ dan banyak lagi. Pada masa yang sama, DO[S]A turut menampilkan Cecep Arif Rahman sebagai Pengarah Koreografi adegan aksi untuk melatih dan mempersiapkan para pelakon dengan disiplin silat dan koreografi seni mempertahankan diri. Cecep sebelum ini dikenali menerusi filem Indonesia ‘The Raid: Berandal’. Menerusi pengalaman dan kekuatan yang dimiliki oleh setiap pemain utama di belakang tabir DO[S]A ini, mereka menjanjikan akan memberi kelainan pada mini siri bergenre aksi ini.

DO[S]A juga dibarisi pelakon-pelakon hebat gabungan tiga buah negara; Malaysia, Indonesia dan Singapura bagi menggerakkan setiap watak dalam jalan cerita. Nama-nama yang terlibat adalah seperti Dato’ M.Nasir, Remy Ishak dan Daniella Sya dari Malaysia, Ashraf Sinclair, Roy Marten, Maudy Koesnaedi, Hannah Al Rashid, Reuben Elishama dan Tegar Satrya dari Indonesia, serta Shenty Feliziana dan Hisyam Hamid dari Singapura.

Dato Khairul Anwar Salleh - Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro

Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Dato’ Khairul Anwar Salleh berkata, “Ini merupakan kerjasama sulung Astro yang melibatkan Malaysia – Indonesia dalam melahirkan mini siri Nusantara premium eksklusif istimewa untuk tontonan ramai. Sebelum ini, Astro telah memulakan beberapa projek bagi menembusi pasaran serantau seperti ‘3 A.M. Bangkok Ghost Stories’ dengan pihak penerbitan dari negara Thailand, naskhah seram bertajuk ‘Door’ dengan penerbitan Filipina, dan akan datang ‘Heist’ dan ‘Polis Evo2’ dengan kerjasama republik ini sendiri, Indonesia. Kami yakin, potensi ruang perniagaan yang boleh diterokai di rantau Asia ini adalah sangat luas, justeru kami menyasarkan akan ada lebih banyak lagi kandungan dan projek seumpamanya bakal dihasilkan di masa-masa yang akan datang”.

Mengulas pula mengenai pemilihan pelakon dan Ifa Isfansyah sebagai pengarah DO[S]A, Dato’ Khairul berkata, “Saya begitu teruja dengan barisan utama yang ditampilkan di bahagian hadapan dan belakang kamera bagi menjayakan naskhah ini. Bakat mereka terletak di kelasnya yang tersendiri dan saya yakin, gandingan sehebat ini mampu mencetuskan satu fenomena baru dalam landskap seni serumpun khususnya. Dalam pada itu, kami memilih Ifa Isfansyah sebagai pengarah untuk projek ini kerana walaupun usianya masih muda, beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas dan kami rasakan beliau mampu menterjemahkan jalan cerita ini menjadi sebuah kandungan terbaik. Karya-karya beliau amat berkualiti dan berjaya diterima ramai. Kami yakin, pemilihan beliau adalah keputusan yang tepat dan beliau mampu mengemudinya dengan sebaik mungkin.”

Dianggarkan sebanyak 90 peratus dari sesi penggambaran bakal dijalankan di Jakarta, melibatkan kawasan di sekitar Jakarta Barat hingga Jakarta Timur dan selebihnya adalah di lokasi-lokasi utama di sekitar Kuala Lumpur seperti Kampung Baru, Putrajaya dan Klang. Mini siri DO[S]A dijangka sarat dengan babak-babak yang mendebarkan, aksi suspen dan ganas. Namun begitu, pada masa yang sama turut diapit dengan pergolakan emosi, ikatan kekeluargaan serta bibit percintaan.

DO[S]A mengisahkan tentang empat beradik dibesarkan oleh bapa tunggal mereka, Latif (Dato’ M.Nasir), dengan nilai-nilai kesederhanaan, pegangan agama yang kuat, dan disiplin persilatan. Fuad (Ashraf Sinclair), Farid (Remy Ishak), Fahad (Hisham Hamid), dan Fara (Shenty Feliziana) hidup bersama bapa mereka dipelusuk paling sunyi Kampung Baru, Kuala Lumpur. Di situ, mereka menjalani kehidupan hampir tersembunyi daripada masyarakat, berlatih ilmu persilatan hari demi hari. Seolah-olah bersiap-siaga untuk menghadapi sesuatu. Rungutan mereka, terutama daripada Fara yang semakin memberontak langsung tidak diendahkan oleh bapa mereka. Rutin harian yang memerlukan adik-beradik ini bertumbuk, bertendang dan berhayun parang sesama sendiri akhirnya turut mewujudkan ketegangan di antara mereka di luar gelanggang.

Perhubungan keluarga ini semakin bergolak apabila Fara berkenalan dengan seorang lelaki Indonesia, Arian (Reuben Elishama), yang tiba dari Jakarta semata-mata untuk berjumpa dengan Latif. Dalam usaha Arian melembutkan hati Fara untuk membawanya bertemu dengan Latif, mereka menjadi semakin rapat. Menyedari akan hal ini, abang sulung Fara, Fuad yang seolah-olah mengetahui tujuan Arian mencari Latif menghalang Fara untuk terus bertemu dengan Arian. Fuad kemudian bertindak mengusir Arian pulang ke Jakarta. Menjanjikan bahawa Latif tidak mahu lagi ada kaitan dengan ‘orang-orang seperti Arian’.

Berang dengan tindakan Fuad, Fara bertindak mengekori Arian ke Jakarta, tanpa mengetahui bahaya yang menanti dirinya di situ. Sebaik sahaja Fara keluar daripada pintu ketibaan di lapangan terbang Jakarta, dia terus diculik, dihumban ke dalam van, lalu dikurung di dalam sebuah gudang.

Tidak mengetahui nasib adik mereka, Fuad, Farid dan Fahad dihantar Latif ke Jakarta untuk membawa adik mereka pulang. Di sana, ketiga-tiga beradik itu sering mendapati diri mereka diserang tanpa sebab yang pasti, sekaligus memaksa mereka untuk mempertahankan diri di dalam pertempuran-pertempuran yang ganas. Arian yang baru mendengar mengenai berita penculikan Fara turut berganding bahu membantu abang-abang Fara. Semakin lama mereka di Jakarta, semakin banyak yang mereka mula fahami tentang asal usul keluarga mereka dan siapa bapa mereka yang sebenarnya. Sebelum mereka sedari, mereka terjerumus di tengah-tengah pergelutan kuasa di dalam dunia kongsi gelap Jakarta. Hanya mereka yang mampu mengakhirkan perang ini, walau sebesar mana pengorbanan yang diperlukan.

Skrip Reading - 2

Ashraf Sinclair - Fuad

Barisan Pelakon Dosa - 6

Dato' M Nasir - Latif

Hannah Al Rashid - Zsa Zsa

Produksi Dosa

Profil Ifa Isfansyah

PENDIDIKAN
• Indonesian Institute of the Art Jogjakarta – Indonesia
Major Television, 1999 – 2007
• Im Kwon Taek College of Film & Performing Arts Busan – Korea Selatan
Major Pengarahan Filem, 2007 – 2008

FILEM PENDEK
• Air Mata Surga Indonesia (2002) – Pengarah dan Penerbit (2002)
• Mayar Indonesia – Pengarah, Penulis Skrip, Penerbit dan Editor (2002)
• Harap tenang, ada ujian! Indonesia – Pengarah dan Penulis Skrip (2006)
• Setengah Sendok Teh/Half Teaspoon Indonesia – Pengarah dan Penulis Skrip (2007)
• Huan Chen Guang Indonesia, South Korea – Pengarah dan Penulis Skrip (2008)
• Lintang Kemukus Dini Hari Indonesia – Pengarah dan Penulis Skrip (2009)
• Percakapan Ini Indonesia – Pengara (2010)

FILEM
• Garuda Di Dadaku Indonesia (2008) – Pengarah
• Sang Penari France, Indonesia (2011) – Pengarah dan Penulis Skrip
• Ambilkan Bulan Indonesia (2011) – Pengarah
• Rumah Dan Musim Hujan Indonesia (2012) – Pengarah, Penulis Skrip, Penerbit
• 9 Summers 10 Autumns Indonesia – US (2012) – Pengarah
• Pendekar Tongkat Emas Indonesia (2014) – Sutradara dan Penulis Skenario
• SITI Indonesia (2014) – Penerbit
• Pesantren Impian Indonesia (2015) – Pengarah

PENCAPAIAN ANUGERAH
• Filem Pendek Terbaik, Jogja-NETPAC Filem Asia 2006 – ”Harap Tenang, Ada Ujian” (2006)
• Anugerah Biasiswa “Akademi Filem Asia” Busan, Selatan Korea (2007)
• Filem Pendek Fiksyen Jakarta Terbaik, Festival Filem KONFIDEN 2006 – ”Harap tenang, ada ujian!” (2006)
• Piala Citra Filem Pendek Fiksyen Jakarta Terbaik, Festival Filem Indonesia 2006 – ”Harap tenang, ada ujian!” (2006)
• Filem Asia Hong Kong Terbaik, Anugerah Hong King Independent Filem & Video – ”Setengah Sendok The / Half Teaspoon” (2008)
• Filem Kanak-Kanak Armenia, Armenia International Film Festival – ”Garuda Di Dadaku” (2010)
• Piala Citra Pengarah Indonesia Terbaik, Festival Filem Indonesia – “Sang Penari” (2012)
• Piala Citra Filem Indonesia Terbaik, Festival Filem Indonesia – “Sang Penari” (2012)
• Filem Indonesia Terbaik, Apresiasi Filem Indonesia – “SITI” (2015)
Profil Salman Aristo

PENDIDIKAN
• 37 Senior High School, Jakarta, 1991 – 1994
• Journalism Bachelor Degree, University of Padjadjaran, 1994 – 2000

LAKON LAYAR
• Brownies, 2004
• Catatan Akhir Sekolah, 2005
• Cinta Silver, 2005
• Jomblo, 2005
• Alexandria, 2005
• Ayat-Ayat Cinta, 2007
• Karma, 2007
• kambingjantan.com, 2008
• Laskar Pelangi, 2008
• Hari Untuk Amanda, 2009
• Garuda di Dadaku, 2009
• Sang Pemimpi, 2009
• Dewa Gitar, 2010
• Edensor, 2010
• Janji Pemberani, 2010
• Snakehead, 2010
• Ronggeng Dukuh Paruk/Sang Penari, 2011
• Garuda Di Dadaku 2, 2011
• Lima Elang, 2011
• Jakarta Maghrib, 2010
• Negeri Lima Menara, 2012
• Jakarta Hati, 2012
• Cinta Dalam Kardus, 2013
• Skak Mat 2015
• Ayat-Ayat Adinda, 2015
• Mencari Hilal, 2015
• Bukaan 8, 2016
• Athirah, 2016
• Satu Hati Nanti, 2017
• Bumi Manusia, 2017
• Super Pelangi, 2017

PENERBIT
• Aries, 2005
• Foto Kotak dan Jendela, 2006
• Jelangkung III, 2007
• Garuda Di Dadaku, 2009
• Queen Bee, 2009
• Asmara Dua Diana, 2009
• Garuda Di Dadaku 2, 2011
• Lima Elang, 2011
• Negeri Lima Menara, 2012
• Jakarta Hati, 2012
• Cinta Dalam Kardus, 2013
• Ayat-Ayat Adinda, 2015
• Mencari Hilal, 2015

PENULIS SKRIP
• Pasangan Baru, 2008
• Garuda Muda, 2006
• Patah, 2015

PENULIS JALAN CERITA
• Asmara Dua Diana, 2009
• Party Prita, 2008
• Negeri Lima Menara, 2012
• Mencari Hilal, 2015
• Talak 3, 2013
• Ada Cinta Di SMA, 2016
• Super Pelangi, 2017

PENCAPAIAN ANUGERAH
• Tercalon Lakon Layar Terbaik, Bandung Filem Festival (2008) – Ayat Ayat Cinta
• Tercalon Lakon Layar Terbaik, Bandung Filem Festival (2009) – Laskar Pelangi
• Filem Kanak-Kanak Terbaik, Indonesia Filem Festival (2009) – Garuda Di Dadaku
• Tercalon Lakon Layar Terbaik, Indonesia Filem Festival (2011) – Sang Penari
• Lakon Layar Terbaik, International Festival of Film For Children and Young Adults (2011) – The Dreamer
• Adaptas Lakon Layar Terbaik, Festival Filem Indonesia (2016) – Athirah

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tahniah! Jihan Bakal Timang Anak. Baby ‘made in France’ Katanya

Tan Sri Muhyiddin Yassin | 23

Yang Anda Patut Tahu Tentang Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur