in ,

Tahniah! Ashikin M Lancar Buku Ke-11, Sebuah Puisi Bertajuk KEJORA

Buku Kesebelas Penulis Prolifik Muda Negara Tersebut Dilancarkan Oleh U-Wei Haji Saari, Yang Menyifatkan Naskhah Terbaru Ashikin M Itu Sebagai ‘Berani Dan Amat Tepat Pada Masanya’

Nurul Ashikin atau lebih dikenali di kalangan peminat buku di Malaysia sebagai Ashikin M hari ini telah melancarkan bukunya yang kesebelas bertajuk KEJORA. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh penulis dan pengarah filem negara yang sudah tidak asing lagi, U-Wei Haji Saari dalam suasana yang sarat dengan momen indah dan puitis.

Ashikin M Lancarkan Buku Puisi Bertajuk ‘Kejora’

Diterbitkan sendiri oleh Ashikin M, KEJORA merupakan buku puisi pertama darinya di mana keseluruhan kandungan buku tersebut ditulis di dalam Bahasa Malaysia. Walaupun ianya adalah buku puisi, namun kesemua puisi-puisi di dalam buku tersebut adalah berhubung kait dalam membentuk sebuah ceritera. 

Ashikin M Lancarkan Buku Puisi Bertajuk ‘Kejora’

Ashikin M telah memilih tema bintang kejora sebagai premis utama buku tersebut. “Buku KEJORA adalah terbitan sulung buku puisi saya. Ianya menampilkan 30 buah puisi dengan tema perjalanan mimpi, falsafah, pelayaran dan cetusan konflik antara memori dan peredaran masa.  

Saya mengambil masa selama tujuh tahun untuk menghasilkan buku KEJORA, daripada proses pengilhaman, penulisan, penerbitan sehinggalah ke peringkat penghasilan beberapa lagu puisi KEJORA bertemankan komposisi Ayop Azril, seorang komposer berbakat yang amat memahami perjalanan cerita yang diketengahkan dalam buku ini” kata Ashikin M.

Dilancarkan oleh U-Wei Haji Saari yang turut mendeklamasikan sebuah puisi daripada buku KEJORA pada hari pelancaran, beliau menyifatkan naskhah terbaru dari Ashikin M tersebut sebagai ‘berani dan amat tepat pada masanya’. 

Ashikin M Lancarkan Buku Puisi Bertajuk ‘Kejora’

Menurut U-wei, “Saya amat berbangga dengan inisiatif Ashikin M dalam penghasilan buku KEJORA ini, lebih-lebih lagi ini merupakan buku puisi yang pertama darinya dan ianya seratus peratus di dalam Bahasa Malaysia. Saya  mengucapkan jutaan tahniah buat Ashikin M dan saya yakin perjalanan dan masa depannya di dalam bidang penulisan amat cerah. Komuniti penulis negara ini begitu berbangga dengan pencapaiannya”.

Ashikin M bukan sahaja dikenali sebagai penulis, tetapi juga seorang pengembara dan pakar strategi di sektor korporat. Berasal dari Ipoh, Perak, Ashikin M juga pernah berkolaborasi bersama dua penulis Indonesia untuk menghasilkan buku The Colour of Regret pada tahun 2021 tatkala dunia dilanda pandemik. Di antara buku-buku yang pernah diterbitkan oleh Ashikin M adalah Pabila Pesawat Bertemu Bulan, Mimpi-Mimpi Nomad, Mencari Warna Malaikat dan Si Romantik Yang Sudah Mati. 

Ashikin M Lancarkan Buku Puisi Bertajuk ‘Kejora’

Jelas Ashikin M, “Saya telah lama ingin menghasilkan buku himpunan puisi namun puisi adalah seperti cinta dalam waktu yang tak mengerti. Saya perlu melalui perjalanan jauh untuk memahami kekuatan suara dalam penulisan, di mana saya bermula dengan menulis cerita pendek. Kemudian, beralih ke novel dan seterusnya mencuba bentuk puisi yang pelbagai. Saya masih mengekalkan suara berbunyi prosa di dalam perjalanan puisi-puisi kali ini kerana pada akhirnya, niat utama saya adalah hanya untuk bercerita. Bercerita adalah sesuatu yang takkan dapat saya hentikan sehingga saat ini”.

Acara dihiasi dengan dendangan lagu puisi yang dipetik dari buku KEJORA iaitu Sementara Kata-kata Terakhirmu Hilang, Senja Merah di Pergelangan Tanganmu dan Kisah Cahaya di Persada Antarsika. Turut sama di majlis pelancaran tersebut adalah Amy Search yang menghiburkan tetamu dengan persembahan lagu Isabella, Rozana dan tentunya Kejora dari album pertama kumpulan Search, Cinta Buatan Malaysia (1985). Lagu-lagu ini dipilih khas sebagai merujuk kepada karakter utama dan tema sanjungan terhadap keindahan dan kekaguman terhadap wanita yang dibawa oleh KEJORA. 

Sebagai memberi sokongan kepada Ashikin M, beberapa penulis terkemuka negara seperti Dina Zaman, Khairul Anuar dan Shaz Johar juga hadir dan rata-rata memberikan reaksi positif terhadap buku KEJORA. Gabungan elemen sastera, penceritaan, muzikal dan pop culture yang ditampilkan oleh Ashikin M di majlis pelancaran tersebut turut mendapat pujian.

KEJORA diedarkan oleh Terbitan Langit dan boleh didapati di laman Instagram @terbitanlangit @puisikejora dan @ashmhydn dengan harga RM25 (tidak termasuk caj penghantaran). Untuk maklumat lanjut tentang Ashikin M, anda boleh layari laman sesawang www.ashikinm.com

Majlis pelancaran KEJORA dikuasakan oleh JCPR dan DW Events; serta turut disokong oleh Staedtler Malaysia, Common Ground, Blvck Coffee, Burrow KL, Salixium dan Cultkids.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Netflix

Yang Anda Perlu Tahu Tentang Netflix’s Geeked Week 2022

Fesyen Travel Trending | 19

10 Tarikan Pelancongan Menyeronokkan Di Selangor Untuk Anak Anda!