Aril AF7 Ganti Jimmy Shanley Jadi Hos Trek Selebriti

“Terbaik Wok!!!”

Itulah tagline Aril AF7 ketika dia mula-mula muncul di pentas Akademi Fantasia 7. Dan dengan tagline itu juga kerjaya Aril berkembang dengan baiknya. Dengan tagline itu juga, Aril gunakan untuk menggantikan tagline Yesszaaaa dari Jimmy Shanley.

Jadi “Terbaik Wook!” akan menggantikan Yeszaaaa untuk Trek Selebriti musim baru. Budiey nak ucapkan tahniah untuk Aril yang dilantik menjadi hos TS untuk musim baru. Betul layak dan memang bintang ini sangat layak kerana sebelum ini beliau pernah menjadi hos untuk program Trendy di RTM selama 3 musim.

Aril bersama penerbit & pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi

Lebih Menarik – Lebih Hangat!

Untuk permulaan, memang penonton akan membandingkan gaya penyampaian Aril dengan hos Jimmy Shanle yang telah mengendalikan Trek Selebriti selama 6 tahun. Aril memang tak nafikan perkara ini. Namun dia akan cuba menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan gaya dan stail penyampainnya sendiri.

“Saya tahu perbandingan pasti akan dilakukan antara saya dan Jimmy Shanley. Sebagai pengganti saya akan cuba untuk menampilkan cara saya sendiri. Saya akan cuba elakkan daripada mengikut gaya dan acuan Jimmy sebelum ini. Insya-Allah, saya akan terapkan elemen-elemen lebih ceria, meriah dan santai kali ini.”

Aril sangat bersyukur dan gembira dengan peluang berharga yang ditawarkan oleh pihak Astro dan penerbitan kepada pendatang baru sepertinya.

“Sudah tentu saya gembira dengan peluang berharga ini. Peluang ini adalah cabaran baru yang perlu saya hadapi selepas Akademi Fantasia dan drama bersiri Kau Dan Aku. Malah, saya akui banyak perkara yang perlu saya pelajari dari masa ke semasa untuk memantapkan kemahiran dan cara penyampaian. Walaupun saya ada sedikit pengalaman mengacarakan program sebelum ini, kepercayaan yang diberikan kali ini lebih besar dan menuntut komitmen lebih tinggi daripada saya,”

Bercerita tentang persiapannya untuk mengacarakan program itu, Aril berkata, sebelum memulakan rakaman, dia terlebih dahulu telah melalui sesi latihan di bawah pemantauan penerbit, pengurusan dan krew penerbitan program itu.

“Menerusi sesi latihan bersama penerbit dan krew produksi, saya diberikan idea dan tunjuk ajar bagi memantapkan lagi pengendalian program ini. Mereka juga memberikan pendapat dan teknik bagi memantapkan gaya pengacaraan saya. Selain itu, saya juga perlu menonton kesemua episod terdahulu program ini bagi mengelakkan saya terikut-ikut rentak dan penyampaian Jimmy sebelum ini. Saya juga belajar teknik yang betul untuk bertanyakan soalan kepada selebriti undangan. Perkara ini sangat penting untuk saya kerana aura dan imej Jimmy terhadap program itu sangat kuat dan sebati. Dia telah mengacarakan Trek Selebriti selama enam musim. Sebagai pengganti, saya perlu cari kelainan dan tonjolkan identiti saya sendiri agar penonton tertarik,” kata Aril lagi.

Masih mengekalkan konsep asal program, musim baru kali ini akan diolah dengan sentuhan baru disertai dengan pakaj grafik yang lebih segar dan bertenaga, Aril yang telahpun menyiapkan rakaman untuk dua episod pertama program itu mengakui teruja dan gembira dengan perkembangan cabang baru karier seninya ini.

Episod pertama untuk musim baru ini bakal memaparkan cerita belakang tabir tirai AF8 dengan kesemua peserta musim baru ini. Menerusi episod kedua pula, Aril bakal menjejaki pengetua baru AF8, Norman Abdul Halim.

Trek Selebriti difokuskan kepada selebriti dan program terbitan Astro sendiri mengikut musim seperti Akademi Fantasia dan Sehati Berdansa sebagai contohnya. Jadi, selebriti jemputan dipilih adalah bersesuaian dengan musim yang sedang berlangsung. Ini adalah daya penarik untuk penonton supaya terus mengikuti TS.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, pemilihan Aril sebagai hos baru adalah berdasarkan kepada beberapa faktor.

Naib Juara AF7 itu dipilih kerana mempunyai pengalaman dalam bidang pengacaraan sebelum ini. Selain itu, dia muda, segar, periang dan mempunyai pesona serta kelompok peminat sendiri.

“Aril menjadi pilihan Astro kerana mempunyai serba sedikit pengalaman dalam bidang pengacaraan sebelum ini. Lebih menarik, dia muda, berbakat, periang, segar dan mempunyai kelompok peminat tersendiri. Ciri-ciri itu bersesuaian sekali dengan konsep program ini,” komen Azlin mengenai pemilihan itu.

Peluang untuk menyiapkan musim ini sebanyak 31 episod akan dijayakan dengan sebaik mungkin dengan kerjasama dari semua krew dan sokongan peminatnya. Aril AF7 sudah tentu ada misi terbaru untuk mencorakkan TS dengan gaya yang mampu menarik ramai penonton. Aril berjanji untuk menjadikan program ini lebih hype, lebih meletop. Dengan training yang diberikan oleh penerbit, sudah tentu Aril kini dah bersedia untuk bergelar hos. Jadi, kini Aril masih lagi explore apa lagi bakat yang beliau mampu lakukan. Boleh tahan berapa lama? Ianya bergantung pada situasi dan cara Aril bawa dirinya.

Selain itu, Aril kini telah melahirkan single terbarunya, Biar Begini. Lirik oleh Aril sendiri dan dicipta oleh kawan bandnya sendiri. Sebelum ini, lagu Menatap Matamu lebih 471 ribu lebih pelayar jalur lebar Youtube telah melayari muzik video lagu ini. Menatap Matamu yang kini berada di tangga ke lapan telah berada selama 21 minggu berturut-turut di Carta Era 40. Demam lagu Menatap Matamu di kalangan peminat industri muzik tanahair dan permintaan tinggi di corong radio tempatan, juga telah membawa Aril tercalon finalis Artis Baru Lelaki Popular untuk Anugerah Bintang Popular, Berita Harian pada 4 April nanti.

Jadi, jangan lupa tonton paparan menarik Aril AF7 bersama selebriti ternama dalam Trek Selebriti pada setiap hari Sabtu jam 10.30 malam bermula 20 Mac 2010 secara eksklusif di Astro Ria.

Temubual Budiey Bersama Aril AF7 – Hos Trek Selebriti

Musim ketujuh Trek Selebriti bakal bersiaran pada 21 Mac ini, setiap Sabtu jam 10.30 malam menerusi saluran Astro Ria (104) sejurus selepas Konsert Akademi Fantasia musim ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Dua Lagi Peserta Ke Finale Bintang Ai-Minnal 1Malaysia

Amy Search Jadi Tetamu Selebriti Lagu Berduit Suria FM