in ,

Video Muzik Anuar Zain ANDAINYA TAKDIR Trending di Youtube

Sejak dilancarkan Jumaat lalu, video muzik single terbaharu Anuar Zain, Andainya Takdir, sudah pun ditonton lebih 170,000 kali. Memaparkan kisah bagaimana seorang wanita sanggup melupakan suami dan anak di kampung demi mengejar cita-cita, video arahan Amor Rizan itu dianggap peminat sebagai karya menyentuh hati.

Video terbabit juga bersesuaian dengan keindahan melodi lagu ciptaan Helep Yap dan lirik hasil nukilan penulis berpengalaman, Habsah Hassan. Amor yang dihubungi BH Online turut meluahkan rasa gembira terhadap sambutan baik diberikan kepada video muzik itu.

Melahirkan kebanggaan dapat bekerjasama dengan penyanyi lelaki popular terbabit, menurut Amor, pencapaian awal video muzik itu bukan hasil kerjanya seorang, tetapi keseluruhan pasukan produksi, pelakon dan pencipta lagu yang memberikan komitmen penuh bagi memastikan kejayaannya.

“Julung kali bekerja dengan Anuar, saya sebenarnya terkejut kerana beliau seorang yang sangat merendah diri. Kata-katanya sentiasa tersusun dan penuh sopan, tetapi berbunyi tegas dan terang. Selain itu, saya nampak jelas apa yang beliau mahukan. Anuar seorang yang penuh visi dan pandangannya sering jauh ke hadapan.

“Hakikat itu membuatkan saya selesa bekerja dengannya kerana sikap saya sendiri lebih kurang serupa. Saya lebih suka menolak perkara negatif sebelum ia terjadi.

“Begitu juga dengan idea yang saya lontarkan kepadanya kerana beliau cukup suka sesuatu yang mudah difahami penonton tetapi penuh dengan emosi, sekali gus ia memudahkan kami untuk mencipta hasil terbaik,” kata Amor yang sudah tujuh tahun menceburi dunia pengarahan drama TV.

Mengenai jalan cerita video muzik itu, Amor berkata, ia adalah cetusan idea Anuar sendiri.

“Beliau mahukan kisah mengenai isteri yang meninggalkan suami dan anak kerana mahu meneruskan kerjaya sebagai model. Saat Anuar menceritakan idea itu dan memperdengarkan lagu Andainya Takdir buat kali pertama kepada saya, terdetik idea lebih tragik sekiranya watak suami itu seorang nelayan, dan isteri pula mahu menjadi pelakon.

“Dua perkara itu lebih dekat dengan segenap lapisan penonton dan masyarakat. Setelah menyediakan sinopsis penuh dan papan cerita ringkas mengenai keseluruhan jalan cerita, Anuar begitu gembira dan bersetuju dengan gambaran diberikan.

“Proses perbincangan dan persediaan memakan masa hampir seminggu, termasuk pemilihan lokasi dan keseluruhan konsep,” katanya yang sebelum ini pernah mengarahkan video muzik nyanyian Marsha berjudul Biar dan Ku Tinggalkan Cinta bagi runut bunyi drama Ku Tinggalkan Cinta Di Okinawa.

Video Muzik Anuar Zain ANDAINYA TAKDIR

Mengenai pemilihan Sharifah Sakinah bagi melakonkan peranan utama, Syazrina Hanif, Amor menyifatkan pelakon itu mempunyai bakat luar biasa.

“Beliau pelakon yang sangat bagus, penuh disiplin dan rajin bertanya untuk memahami karakter. Menonton beberapa siri lakonannya, saya berasakan beliau mempunyai sudut aura hampir sama dengan watak Syazrina Hanif dalam video muzik ini.




“Soalan pertama saya ajukan kepadanya ketika mahu menawarkan peranan itu adalah, adakah beliau mampu menangis secara spontan? Saya tak mahu beliau menangis dengan bantuan titisan mata dan perlu mengambil masa panjang bagi mengambil ‘mood’ untuk menangis.

“Selepas beliau meyakinkan dapat berbuat begitu, saya mencadangkan namanya kepada pihak Anuar dan mereka bersetuju sekalipun sudah mempunyai beberapa pilihan nama pelakon lain,” katanya.

Andainya Takdir ialah single pertama daripada album kelima Anuar yang akan berada di pasaran pada awal bulan depan.

Sumber: Berita Harian

Video Muzik Anuar Zain ANDAINYA TAKDIR

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lagu Taylor Swift Untuk Tom Hiddleston Bocor Di Internet

Faizal Ismail, Fara Fauzana & AG Bakal Bergabung Semula di Kool FM