in , ,

Amy Search Menitis Air Mata, Kongsi Masalah Kemurungan

Penyanyi rock terkenal, Datuk Amy Search gagal menahan sebak sehingga menitiskan air mata ketika berkongsi masalah kemurungan yang dihadapinya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

Menurut Amy yang telah berkecimpung dalam dunia seni lebih hampir lima dekad, beliau sama sekali tidak pernah menyangka akan berdepan dengan masalah tersebut.

“Saya tidak pernah tahu pun ada masalah anxiety (keresahan melampau) dan kemurungan, tetapi saya rasa macam perasaan itu sesuatu. Ketika dalam perjalanan ke majlis pelancaran ini pun saya kata saya akan menangis.

“Sudah lebih empat dekad saya dalam industri ini, terlalu banyak pengalaman yang saya lalui. Sebagai penyanyi ada turun naiknya. Ada juga momen yang teruk.

“Walaupun begitu saya tidak boleh bawa masalah itu terlalu lama kerana risau akan memberi kesan kepada diri saya. Suka atau tidak, saya perlu lawan masalah anxiety dan kemurungan,” jelasnya.

Tambah vokalis kumpulan Search itu, masalah anxiety dan kemurungan yang dihidapinya akan hilang sebentar ketika beliau sibuk bekerja.

“Ketika berada di luar bersendirian saya akan rasa masalah itu, tetapi kalau saya sibuk dengan latihan persembahan misalnya masalah itu tiada, sebab saya sibuk dengan kerja.

“Banyak fasa teruk yang saya lalui sepanjang hidup, tetapi masalah anxiety ini lain rasanya,” katanya kepada Kosmo! Online.

Bagaimana pun, kata pelantun lagu Fantasia Bulan Madu itu, beliau enggan untuk mendapatkan rawatan susulan kerana dikhuatiri bertambah risau.

“Saya tidak pernah pun pergi berjumpa doktor untuk periksa masalah itu, kerana saya khuatir akan lebih takut dan bimbang andai doktor memberikan dignosis.

“Malah, dengan isteri sendiri pun saya tidak pernah kongsikan masalah yang saya hadapi ini. Saya cuba selesaikan sendiri.

“Saya juga memilih untuk tidak membaca komen-komen daripada netizen sebab adakalanya ia menyakitkn hati saya dan buat saya sakit kepala semula. Banyak komen-komen jahat yang apabila dibaca amat menyakitkan hati,” ujarnya.

Amy berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran buku berjudul Senandika: Bercakap Seorang Diri karya bekas editor hiburan Kosmo! Maliah Surip yang diadakan di DXN Cyberville, Cyberjaya pada Selasa.

Buku Senandika: Bercakap Seorang Diri ditulis berdasarkan realiti dan pengalaman penulis yang menghidapi General Anxiety Disorder (GAD) dan Major Depressive Disorder (MDD).

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Wanita Malaysia Pertama Dijemput Jadi Penyampai di Bursa Saham Hong Kong 

Memang Ada ‘Security’ Di Luar Dewan – Roslan Shah Tak Lepas Tangan