in , ,

Amir Masdi Lancar Single Terbaharu Berjudul ASMARA

Sejak menjuarai Akademi Fantasia (AF) 2016, Amir Masdi atau pemilik nama sebenar Amir Syazwan Masdi ini tidak pernah lelah untuk berusaha mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik tempatan.

Sebelum ini, penyanyi yang lebih mesra disapa sebagai Amir ini pernah menghasilkan single ‘Pemilik Cinta’ (2016) bersama Astro dan kemudiannya menghasilkan single ‘Waktu’ (2017) dan ‘Puas’ (2018) bersama Nova Music. Baru sahaja muncul dengan lagu ‘Kau Sakiti’ terbitan Faithful Music pada Julai lalu, kini Amir bakal muncul lagi dengan taruhan terbaharunya. Kali ini, penerbitan single terbaru dan ke-5 Amir berjudul “Asmara” mendapat sokongan usahasama Nova Music dan Seventeen Eleven Music. 

Amir Masdi Lancar Single Terbaharu Berjudul ASMARA

Mengulas tentang perjalanan seninya yang bukan kebiasaan merakam lagu dengan banyak syarikat rakaman dalam tempoh masa yang singkat, Amir berkata,

Sebenarnya ini kebetulan sahaja, bukan perancangan saya pun untuk berbuat begitu. Bagi saya, untuk terus kekal relevan dalam industri, kita harus merebut setiap peluang yang tiba.  

Saya bersyukur  kerana masih ada yang yakin dengan bakat dan potensi saya. Saya juga merasa amat bertuah kerana pengalaman bekerja dengan syarikat rakaman yang berlainan ini telah memberikan saya peluang menimba banyak ilmu tentang muzik dan penerbitan lagu kerana masing-masing ada cara dan gaya yang tersendiri.”

Kali ini, saya bekerjasama sekali lagi dengan Nova Music yang telah menjalin kerjasama dengan Seventeen Eleven Music dalam penerbitan dan pemasaran single terbaru saya berjudul “Asmara”.

Saya percaya dengan kekuatan gabungan kedua-dua syarikat rakaman ini, single terbaru saya ini boleh mendapat pendedahan yang lebih meluas. Hubungan kerjasama yang rapat antara Nova Music /Seventeen Eleven Music dengan syarikat produksi drama tempatan meyakinkan saya lagi dengan kemampuan mereka kerana kerjasama strategik ini banyak membantu dalam memperkenalkan sesebuah lagu itu kepada khalayak,”

– Amir

Amir melahirkan rasa gembira apabila single terbaharunya ini bakal diangkat sebagai OST drama ‘Pengantin Lelaki Untuk Cik Gadis’ lakonan Nafiz Muaz dan Uqasha Senrose. Drama bersiri 24 episod ini akan mula bersiaran pada 24 Disember ini di slot drama terbaru ‘Drama Vaganza’ di Astro Ria.

‘Asmara’ merupakan hasil ciptaan komposer terkenal Ikhwan Fatanna, Ayden Ali dan John Jeevasingham. Manakala lirik pula ditulis oleh trio komposer ini bersama penerbit drama ‘Pengantin Lelaki Untuk Cik Gadis’ iaitu Arisz Ab Rahman.

Gandingan sentuhan Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali telah menghasilkan antara lagu hit terbesar tahun ini termasuk “Kisah Cinta Kita” (Hafiz Suip), “Pujaan Hati” (Adira Suhaimi) dan “Takdir Tercipta” (Hafiz & Adira).

Gandingan kedua-dua penulis lagu tersebut turut menjayakan single terdahulu Amir berjudul “Puas” yang telah berjaya menjuarai carta ‘Top 40 Hot’ selama 3 minggu! John Jeevasingham turut mengambil peranan sebagai penerbit muzik lagu ini bersama penerbit Omar K.

Amir Masdi Lancar Single Terbaharu Berjudul ASMARA

Mengulas tentang lagu yang istimewa buat dirinya ini, Amir berkata,

Secara peribadi, lagu ini amat bermakna buat saya. Berbanding dengan lagu-lagu saya sebelum ini, saya turut memberikan sentuhan peribadi kepada lagu ‘Asmara’ ini. Kali ini saya bukan setakat hadir untuk merakamkan vokal sahaja, tetapi saya turut diberi peluang terlibat dalam proses susunan muzik bersama-sama komposer dan penerbit lagu ini.”

– Amir

Lagu yang diberikan susunan muzik indah diadun pula dengan alunan vokal serak-serak basah Amir ini berjaya menyampaikan penceritaan lirik ‘Asmara’ tentang gelora sukma seorang insan yang dibadai asmara.

Amir Masdi Lancar Single Terbaharu Berjudul ASMARA

“Saya berharap lagu ini dapat menaikkan lagi profil saya sebagai seorang penyanyi dan mampu membawa saya ke pentas berprestij seperti ‘Anugerah Juara Lagu’ dan ‘Anugerah Industri Muzik’.

– Amir

Sekurang-kurangnya, ianya dapat mengukuhkan lagi nama saya dan mengekalkan momentum kerjaya seni saya dalam industri muzik tempatan,” ujar Amir yang turut berharap agar peminat akan menyambut positif lagu ini dan terus menyokong kerjaya seninya.

Single terbitan Nova Music dan Seventeen Eleven Music ini boleh didapati di kesemua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan juga iTunes bermula 26 DISEMBER 2019.

Video lirik lagu tersebut juga boleh mula ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos pada hari yang sama jam 3 petang di pautan ini. https://youtu.be/si-Z_NMiXR8

Amir Masdi Lancar Single Terbaharu Berjudul ASMARA
Amir Masdi Lancar Single Terbaharu Berjudul ASMARA

IKUTI PERKEMBANGAN LANJUT AMIR DI MEDIA SOSIAL

Facebook         :           www.facebook.com/amir.masdi

Instagram         :           www.instagram.com/amir.masdi

Twitter             :           www.twitter.com/amir_masdi

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kejutan DANSA DAN SING Minggu Pertama, Hady Mirza Jadi Pengacara Bersama Sherry Alhaddad

Selamat Ulangtahun Ke-13 Buat Budiey Dot Com Media