in , ,

Ameng Uji Bakal Menantu Baca Al-Fatihah Sebelum Restu Kahwin

Anak penerbit popular, Datuk A Aida dan bekas suami, penyanyi Ameng iaitu Wan Az Aleesa Wan Aminuddin, selamat mengikat tali pertunangan dengan juruterbang, Zain Azrai Abdul Aziz di Janda Baik hari ini.

Ameng memberi restu kepada anaknya kerana melihat bakal menantunya itu seorang lelaki seimbang dunia dan akhirat.

Menurut Ameng, dia turut menguji bakal menantunya dengan membaca surah Al-Fatihah sebelum melepaskan anaknya itu.

“Saya tahu mereka dah berkawan lama. Sekejap putus, sekejap kembali bersama. Zain sememangnya seorang lelaki yang baik.

“Saya nampak seimbang dunia akhirat sebab perkara perkara pertama yang saya uji adalah memintanya membaca surah al-Fatihah.

“Alhamdulillah, bacaan sempurna. Daripada segi agama, saya tidak nampak ada masalah. Saya memang berkenan dan tahu Zain mampu menjaga anak saya dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Ameng berkata dia tidak menyangka anaknya itu bakal melangkah ke fasa perkahwinan sebelum mencecah usia 30 tahun kerana dia seorang yang obses belajar.

“Saya tidak sangka Aleesa ingin berkahwin secepat ini. Sebab dia jenis terlalu obses belajar. Saya ingatkan Aleesa tidak mahu berkahwin disebabkan pengalaman kegagalan perkahwinan yang terjadi antara saya dengan ibunya sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, air mata Aida gugur pada majlis tersebut apatah lagi anak sulungnya itu bakal mendirikan rumah tangga dan bergelar isteri orang tidak lama lagi.

“Saya jaga Aleesa dari kecil. Tiba-tiba, akan dilepaskan menjadi milik orang. Selama ini, ke mana sahaja Aleesa pergi, saya tahu. Sekarang, dia akan jadi milik orang sepenuhnya.

“Aleesa sudah tidak tinggal dengan saya dan akan ikut suami. Kalau diikutkan memang saya tak nak lepaskan, tetapi ini adalah fasa kehidupan yang saya perlu hadapi. Namun, saya reda untuk kebaikan Aleesa,” katanya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Muat Naik Video di TikTok, Peminat Puji MK K-Clique Belum Mandi Pun Hensem 

“Kalau Kongkong Ke Arah Kebaikan, Apa Salahnya?” – Sharnaaz