in

Jiwa Memasak Qi Razali Dalam Telemovie AKU MENTERI DAPUR

Jiwanya lebih cenderung dalam bidang masakan. Namun kerjayanya sebagai auditor yang dianggap lebih cerah masa depan dengan gaji yang besar membuatkan Qi Razali memberontak dalam diam. Secara sembunyi dia berusaha mengejar cita-citanya dalam bidang masakan.

Kisah ini dikongsikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam sebuah telemovie bertajuk “Aku Menteri Dapur” yang menampilkan Qi Razali, sebagai watak utama di samping Aisya Hasnaa, Zarina Mohamad Nor, Md RidzywanRizal dan Hasnah Hamid.

poster aku menteri dapur

Jiwa Memasak Qi Razali Dalam Telemovie Aku Menteri Dapur di TV2

Menemui penonton pada 27 Julai ini, pukul 9.30 malam di TV2, ia menonjolkan watak Fauzi bekerja sebagai auditor di sebuah syarikat di Kuantan. Isterinya, Sofi pula bekerja di Maran dan mereka tinggal di Gambang. Akibat jarak yang agak jauh, Fauzi sering lewat ke pejabat dan menerima surat amaran yang ketiga. Beliau beberapa kali bercadang untuk meletak jawatan tetapi sering dibantah oleh Sofi. Tambahan pula kerja audit ini tidak sesuai dengan jiwanya yang lebih cenderung kepada memasak.

Akhirnya beliau berhenti kerja tanpa pengetahuan Sofi dan ingin membuka kelas masakan di rumah. Dengan bantuan rakannya Mawi, beliau mendapat pelajar hadir ke kelas masakannya melalui akaun Facebook, ‘Menteri Dapur’ yang dikendalikan oleh Mawi. Kelas itu dibuat di rumahnya sendiri ketika Sofi keluar bekerja.

Salah seorang pelajarnya yang bernama Irma mula jatuh hati dengan Fauzi. Irma sebenarnya merupakan teman sepejabat dengan Sofi. Kelas masakan Fauzi semakin maju. Beliau menyewa rumah lain untuk menampung penambahan bilangan pelajarnya.

keluarga bahagia dalam Aku Menteri Dapur1

Fanpage ‘Menteri Dapur’ semakin popular dan semakin ramai pengikut. Mawi mencadangkan Fauzi memasuki pertandingan memasak yang dianjurkan oleh salah satu stesen TV. Bagi menjaga rahsianya, beliau memakai topeng semasa pertandingan dan muncul sebagai juara.

Sofi mula syak apabila melihat cincin yang dipakai oleh juara memasak serupa dengan cincin perkahwinan pemberian Sofi. Beliau menyiasat lanjut dan menghubungi pejabat Fauzi dan akhirnya beliau mendapat tahu yang Fauzi sudah 6 bulan berhenti kerja.

Sofi berasa marah dan kecewa. Beliau pergi di tempat kelas memasak Fauzi untuk mendapat kepastian. Irma pula terkejut bila mengetahui yang Fauzi merupakan suami Sofi, rakan sepejabatnya.

Segala rahsia Fauzi terbongkar dan Sofi merajuk dan pulang ke kampung bersama anaknya, Sara. Setelah beberapa hari Fauzi memujuk, namun adakah cubaannya itu berjaya?

Aisha Hasnaa sebagai Sofi

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kejuruteraan Moden Yang Mega di Dunia Dalam Impossible Engineering

Filem Komedi Thailand MAY WHO?