in

Al-Fatihah! Kartunis ‘Blues Untuk Aku’ Saari Sulong atau Aie Meninggal Dunia

Pergi tak kembali, kartunis Aie telah pergi meninggalkan karya beliau yang sehingga kini menjadi tatapan peminat terutamanya Blues Untuk Aku.

Kartunis yang terkenal dengan karya ‘Blues Untuk Aku’, Saari Sulong, 48, atau lebih dikenali sebagai Aie dilaporkan telah meninggal dunia kira-kira pukul 4.00 pagi tadi.

Menerusi hantaran sahabatnya yang juga kartunis, Ujang atau Ibrahim Anon di laman Facebook,Allahyarham meninggal dunia dipercayai akibat komplikasi buah pinggang.

Menurut rakan kartunisnya, Mazli Ibrahim atau Gayour, perkhabaran itu disampaikan oleh biras arwah Rosli Ismail yang juga kartunis Manggis kepadanya kira-kira jam 4 pagi.

Aie Meninggal Dunia

“Beliau memang mempunyai penyakit kencing manis dan buah pinggang serta menerima rawatan dialisis sejak lima tahun lalu.

“Kali terakhir saya bertemu beliau ialah pada 2019, sejak COVID-19 saya hanya bertanya khabar beliau melalui WhatsApp dan panggilan telefon sahaja,”

– Mazli Ibrahim

Aie pernah berkarya dalam majalah Jenakarama sebelum bersama majalah terkenal Ujang sejak 1994 hingga awal 2000.

Dalam majalah Ujang, Aie terkenal dengan siri ‘Abe’ dan ‘Aku Hidup Dalam Blues.’

Aie Meninggal Dunia

Beliau kemudian meneruskan projek kartun secara solo dan menghasilkan karya ‘Áku dan Sesuatu’ serta ‘Blues Untuk Aku’.

Anak kelahiran Johor itu meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Manggis, Banting, hari ini.

Imbas kembali kenangan Blues Untuk Aku, karya bersiri tersebut begitu popular era 90-an biarpun ia bukanlah berpaksikan genre komedi seperti komik dan kartun yang lain.

Voice-Over Bagi Watak Singh Dalam Usop Sontorian

Buat yang tidak tahu, Allahyarham Aie juga merupakan individu di sebalik suara Singh dan Arba bagi animasi Usop Sontorian suatu ketika dahulu.

Sepanjang hayatnya, Aie bukan sahaja bergelar kartunis, malah pelbagai ‘portfolio’ lain turut tersemat bersamanya. Antaranya Allahyarham juga merupakan Ketua Studio, Penolong Ketua Kartunis, Ketua Unit Ilustrasi dan Pengarah Seni di beberapa syarikat penerbitan tanah air yang menerbitkan majalah Jenakarama, Majalah Kartun Disney ‘Mickey” (edisi bahasa melayu), Ujang, Starz, Utopia, G3, Jom, Boboi dan Gila-Gila.

Blues Untuk Aku kini tinggal kenangan, terima kasih atas karya yang mewarnai era 90-an. Al-Fatihah, salam takziah buat keluarga Allahyarham dari kami di Murai.my.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ramai Kata PKP Akan Tamat, Sekali PM Cakap Sekarang Ini Kita Tak Sebut PKP Dah!

Lazada Dedah 7 Rahsia Penghantaran Percuma ‘RM 0′, Baucar ‘Durian Runtuh’, & Tawaran Mid-Year Sale