in

Aku Dia & Lagu Selongkar Lagu Popular Tahun 70an

13 Episod “Aku, Dia & Lagu” Kongsi Kisah Di Sebalik Lagu Popular Tahun 70an Di TV1

Penggemar lagu-lagu nostalgia dan malar segar tanahair pastinya cukup mengenali lagenda P.Ramlee, Ahmad Jais, A.Ramlee, Ahmad Daud, Rafeah Buang, Datuk Sharifah Aini Sanisah Huri dan artis popular seangkatan mereka sekitar tahun 70an. Namun mungkin hanya sebahagian kecil yang mengenali insan di sebalir tabir yang menghasilkan lirik-lirik lagu yang melonjakkan nama seniman-seniman ini dalam industri seni hingga kini.

PROGRAM AKU, DIA DAN LAGU DI TV1

Cuba menonjolkan kelainan dalam program siarannya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan dokumentari terbaharu bertajuk “Aku, Dia dan Lagu” yang mengupas kisah di sebalik lagu di mana liriknya nukilan Yusnor Ef yang banyak menghasilkan lirik-lirik lagu mendorong kepada penghasilan melodi dan seni kata yang masih menjadi siulan generasi muda sehingga kini.

Menemui penonton setiap Rabu, jam 9.30 malam mulai 8 Februari lalu menerusi TV1, program ini mampu mengembalikan nostalgia kepada penonton dengan berkongsi episod yang menayangkan klip video lagu-lagu popular Ahmad Jais antaranya lagu Gelisah, Kembali Untukku serta Janji dan A.Razak dengan lagu Lukisan Rasa, Bintang Malam Ini dan Dendang Remaja yang popular ketika era 70an. Episod ini juga memaparkan temuramah bersama Yusnor Ef, Halil Chik dan S. Atan.

Episod seterusnya memberi tumpuan kepada lagu-lagu popular A. Ramlie yang banyak menghasilkan lagu-lagu hit yang menjadi siulan penggemar muzik pop ketika itu dan dikenang sehingga kini. Antara lagu yang dikongsi bersama dalam episod ini adalah Senandung Nelayan, Kembali Anakku, Cinta Paling Utama, Kau Harapanku dan Berpisah di Malam Persandingan. Lagu yang mempunyai lirik nukilan Yusnor Ef ini mempunyai kisah disebalik seni kata yang amat menarik dan menyentuh hati. Temuramah bersama pejuang seni dan komposer terkenal seperti Maria Bachok, S. Atan dan Kassim Masdor merungkai cerita di sebalik lagu-lagu ini.

Kemudiannya disusuli lagu-lagu dendangan seniman hebat Ahmad Daud, Allahyarham Toh Puan Setia Rafeah Buang, Datuk Sharifah Aini, Roziana Baharudin, Saloma, Eddie Ahmad, A. Romzi dan J. Mizan. Rahimah Rahim dan Badul & Tawel. Lagu-lagu yang akan dibicarakan dalam episod ini adalah ‘Joget Andam Pengantin’, dan ‘Joget Pengantin Baru’ . Episod ini juga akan membicarakan lagu ‘Tugas Tentera’ nyanyian M. Ismail yang telah dipetik daripada filem ‘Prebet Lapok’. Selain itu, perjalanan seni Yusnor Ef akan diceritakan yang merangkumi buku-buku terbitannya.

Saksikan juga episod khas di mana lagu-lagu seperti lagu ‘Aidilfitri’, ‘Bersabarlah Sayang’, ‘Joget Aidilfitri’, ‘Suasana Riang di Hari Raya’ dan ‘Malam 7 Likur’ akan dibicarakan dalam program ini. Kisah disebalik semua lagu ini akan terungkai melalui wawancara bersama penulis lirik, Yusnor Ef, serta komposer dan penggiat seni seperti Kassim Masdor, S. Atan dan Mariah Bachok.

Justeru kepada anda yang berminat untuk mengetahui kisah di sebalik lagu-lagu popular ini, saksikan program Aku, Dia & Lagu hanya di TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Zarina An Julie Tuduh Aliff Aziz Menipu

Strike Fiesta Boling Astro