in ,

Ajak Remaja Cintakan Negara Dalam Drama DANIEL HAIKAL

Slot Citra di TV2 cuba menonjolkan sisi lain dalam plot drama diketengahkan dengan menyiarkan sebuah drama mengajak masyarakat terutama golongan remaja cintakan Negara dan peka dengan sejarah berlaku dalam Negara kita.

Menerusi watak utama remaja bernama Daniel yang menganggap mata pelajaran Sejarah membosankan, drama bertajuk “Daniel Haikal” disiarkan pada 17 November ini, pukul 9.30 malam di TV2 ini menampilkan pelakon Naim Daniel, Adam Corie, Shahrolnizam Nor dan Falisha Crossley.

babak dalam drama Daniel Haikal

Ajak Remaja Cintakan Negara Dalam Drama DANIEL HAIKAL Di TV2

Daniel merupakan pelajar pintar dalam pelajaran di sekolah namun dia kurang berminat dalam mata pelajaran Sejarah yang dianggapnya membosankan. Daniel menganggap sejarah adalah mitos dan bayangan orang-orang terdahulu dan disampaikan melalui penceritaan. Guru sejarahnya Cikgu Salmah akan bertukar tidak lama lagi dan akan digantikan dengan guru yang baru. Daniel bertambah bosan. Semestinya sama sahaja guru sejarah.

Masa terluangnya dihabiskan dengan bergaul bersama-sama pelajar-pelajar remaja yang sealiran dengannya. Mereka sering membuang masa dengan bermain video game di cyber café. Perbuatan Daniel ini memeningkan ayah dan ibunya, Johar dan Rafidah. Namun tidak dipedulikan.

Semasa negara sedang merayakan sambutan bulan kemerdekaan, Daniel dan rakan-rakannya merayakan sambutan itu dalam cara yang berbeza. Mereka melakukan aktiviti pertandingan video game disebuah pusat cyber.

Pada suatu hari, ketika Daniel pulang dari cyber cafe, hujan telah turun dengan lebat. Daniel telah berteduh di bawah sebatang pokok. Secara tiba-tiba petir dan guruh berdentum dengan kuat dan Daniel terkena panahan petir tersebut. Daniel terlambung jatuh dan pengsan.

Apabila Daniel sedar daripada pengsan, dia dapati dirinya berada di dalam rumah keluarga Cikgu Majid. Cikgu Majid menceritakan kepada Daniel yang Daniel dijumpai di tepi sebatang pokok di hadapan rumahnya. Cikgu Majid membawa Daniel pulang lalu merawatnya. Daniel juga terkejut apabila dia dapati dia berada pada zaman sekitar pertengahan tahun 50an.

Daniel meminta Cikgu Majid menghantarnya ke rumah. Namun alamat rumah yang diberikan oleh Daniel masih belum wujud lagi pada ketika itu. Daniel tiada pilihan melainkan terpaksa menumpang di rumah Cikgu Majid sehingga dia benar-benar sihat.

Cikgu Majid adalah seorang guru sekolah yang mempunyai semangat nasionalis yang tinggi. Isterinya, Puan Midah adalah seorang suri rumah sepenuh masa. Cikgu Majid mempunyai 2 orang anak. Anak sulung perempuan bernama Mastura. Manakala anak bongsu yang bersekolah rendah bernama Syakir.

Semasa menjadi tetamu keluarga Cikgu Majid, Daniel berpeluang melihat bagaimana kegigihan Cikgu Majid menyemarakkan semangat berjuang menuntut kemerdekaan dikalangan penduduk kampung itu. Dalam keadaan serba kekurangan ketika itu, penduduk kampung sanggup berkorban harta benda untuk bersama-sama berjuang mencapai kemerdekaan.

Namun kedatangan Daniel di kampung itu sedikit sebanyak telah menimbulkan berbagai-bagai persepsi dikalangan penduduk kampung. Ada di antara mereka yang mengesyaki Daniel adalah tali barut British yang dihantar untuk menggagalkan usaha mereka. Daniel rasa tertekan apabila dia sering didesak oleh Jalil agar berterus terang maksud sebenar kedatangannya di kampung. Mujurlah Cikgu Majid menyuruh Jalil menghormati Daniel sebagai tetamu di kampung itu.

Cikgu Majid sering bertanya kepada Daniel mengenai sejarah zaman masa depan yang telah dilalui Daniel. Daniel terpaksa mengingat kembali mata pelajaran sejarah. Hanya sedikit yang diketahui oleh Daniel kerana Daniel tidak berminat dalam mata pelajaran sejarah. Semasa menceritakan tentang sejarah negara, ada di antara fakta-fakta sejarah yang diberitahu oleh Daniel tidak tepat dan terpaksa diperbetulkan oleh Cikgu Majid. Kejadian ini memalukan Daniel apabila dia ditertawakan oleh isteri dan anak-anak Cikgu Majid.

Pada suatu hari, Jalil telah terjumpa basikal, pakaian, dompet dan telefon bimbit Daniel yang disembunyikan oleh Cikgu Majid dalam bangsal di belakang rumahnya. Jalil mengadu perkara itu kepada Hassan, ketua pengganas komunis di kawasan itu. Hassan dan 2 orang anggotanya pergi ke rumah Cikgu Majid untuk menangkap Daniel. Lalu apakah yang berlaku? Dapatkah Daniel kembali semula ke pangkuan keluarganya?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Nafas Baru Lagu Nostalgia Popular Dalam NOSTALGIA 69 di TV1

Fattah Amin Unboxing OPPO F5 dengan Teknologi Pengecaman Kecantikan A.I.