in ,

AirAsia Lancar Inisiatif Mom’s-On-Duty Rai Peranan Kakitangan Wanita

Sempena meraikan Hari Ibu, AirAsia hari ini mengumumkan penambahan kain penutup penyusuan kepada kit pakaian seragam juruterbang dan kru kabin yang baru bergelar ibu.

Kain penutup ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Moms-on-Duty yang dilancarkan padai tahun ini.

Penambahan bagi pakaian seragam tersebut turut menyokong inisiatif keseragaman, kesamarataan, dan inklusif (DEI) syarikat penerbangan ini untuk mencipta polisi tempat kerja yang lebih kukuh bagi menyokong peranan kakitangan wanita yang bergelar ibu dalam operasi penerbangan.

Ketua Pegawai Sumber Manusia AirAsia, Intan Shahira Mohd Shahru berkata: “Wanita yang bertugas dalam operasi penerbangan menghadapi cabaran unik di mana mereka berada di persekitaran kerja yang tidak konvensional. Penyesuaian semula kepada waktu bekerja selepas bersalin di samping memikul tanggungjawab sebagai ibu baharu boleh memberi kesan besar kepada kesejahteraan mereka, terutamanya kepada yang masih menyusukan anak. Justeru, kami mengambil langkah proaktif sejak tahun lepas untuk mengkaji polisi dan amalan bagi memudahkan mereka kembali bertugas di tempat kerja.”

Intan Shahira Mohd Shahru, Chief People Officer of AirAsia
Intan Shahira Mohd Shahru, Chief People Officer of AirAsia

Antara penemuan daripada perbincangan kumpulan fokus yang dijalankan dengan para ibu yang bertugas sebagai juruterbang dan kru kabin adalah masa yang terhad untuk menyediakan susu badan sebelum, semasa, atau antara penerbangan selain kekurangan privasi dalam pesawat. Akibatnya, sesetengah daripada mereka terpaksa memanjangkan cuti bersalin tanpa bayaran atau meninggalkan kerjaya tersebut. Ada juga yang mengalami pandangan yang tidak selesa daripada para tetamu atau rakan sekerja.

Intan menambah: “Kempen ini amat penting bagi AirAsia untuk menyokong para ibu dan menyatakan bahawa menjadi seorang ibu yang bekerjaya adalah normal. Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk mencipta persekitaran kerja yang selamat dan kondusif untuk para Allstars.”

Bagi menangani isu yang dinyatakan, inisiatif Moms-on-Duty menyediakan buku panduan untuk para ibu yang kembali bertugas mengenai pelbagai perkara seperti bagaimana untuk memberitahu rakan sekerja apabila mereka memerlukan masa dan privasi bagi menyediakan susu. Buku panduan itu juga termasuk cara untuk mencari sokongan dalaman mengenai aspek kesihatan dan pemakanan. Selain itu, sehelai pakaian bayi AirAsia melengkapkan set tersebut sebagai hadiah kepada bayi mereka.

Intan menyatakan, “Pengumuman inisiatif Moms-on-Duty adalah sebahagian daripada inisiatif yang lebih luas bagi AirAsia untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam peranan operasi. AirAsia komited untuk memperbaiki dasar-dasar dan amalan-amalan untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam peranan operasi. Ini termasuk penambahbaikan fasiliti dan pejabat serta meningkatkan keselamatan pendapatan bagi juruterbang yang hamil, kru kabin dan jurutera mengikut garis panduan amalan terbaik penerbangan global menurut Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa.”

Pada tahun 2022, AirAsia telah memanjangkan cuti bersalin bagi semua kakitangannya di Malaysia dari 60 hari kepada 98 hari. AirAsia juga telah mengoperasikan pusat jagaan kanak-kanak di ibu pejabatnya, RedQ, pada tahun 2018. Pusat penjagaan ini menerima kanak-kanak yang berumur 11 bulan hingga 6 tahun dan kini menawarkan jagaan bagi 80 orang anak-anak Allstars yang bertugas di ibu pejabatnya.

Dalam Laporan Kelestarian 2023 yang diterbitkan pada minggu lalu, AirAsia melaporkan hasil yang positif dalam usahanya untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam peranan kepimpinan dan STEM. Pencapaian ini termasuk peningkatan dalam peratusan wanita yang menduduki jawatan kepimpinan kepada 32 peratus daripada 24 peratus pada tahun sebelumnya. Juruterbang wanita juga meningkat kepada 7 peratus daripada 6.6 peratus dan wanita dalam peranan IT kepada 23.9 peratus daripada 17.7 peratus pada tahun 2022.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

GAZA PALESTIN

Padan Muka! Tentera Israel Cedera ‘Diserang’ Ratusan Tebuan di Gaza

HONOR Menawarkan Program Beta Android 15 Kepada Pembangun Peranti