in ,

Minggu Fesyen Islamik Asia 2018 #AIFW2018

Pada Khamis, 29 Mac, Minggu Fesyen Islamik Asia 2018 (#AIFW2018) sekali lagi pada tahun kedua mengalu-alukan kedatangan lebih 10,000 pengunjung, termasuk pembeli dan media antarabangsa dan tempatan, pereka fesyen, usahawan dan pihak yang terlibat di dalam industri dari lebih sepuluh (10) negara.

Aifw2018 Poster

Edisi kedua Minggu Fesyen Islamik Asia akan berlangsung selama empat (4) hari di antara Khamis, 29 Mac dan Ahad, 1 April bermula dari jam 10:00 pagi sehingga 8:00 malam di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), Kuala Lumpur.

Acara ini bakal menampilkan pembukaan pertunjukan peragaan bertemakan “Batik & Songket” pada hari pertama pelancaran diikuti dengan tujuh (7) lagi pertunjukan fesyen selama tiga (3) hari berikutnya membawa kemunculan pereka fesyen baru sehingga label fesyen yang dikenali di persada antarabangsa.

Kepelbagaian di dalam jadual #AIFW2018 termasuklah acara perdagangan yang direka unik dalam menampilkan trend penampilan dengan stail pemakaian tersendiri di kalangan Muslim namun masih mengekalkan ciri sopan di dalam konteks Islamik. Acara perdagangan ini bakal disertai oleh 80 gerai inspirasi Islamik dari kosmetik Halal, aksesori, produk gaya hidup Muslim dan sumber patuh Syariah.

JADUAL #AIFW2018
Lebih 30 pereka fesyen bakal mengambil alih kemeriahan pentas peragaan #AIFW2018 di sepanjang tujuh (7) slot pertunjukan fesyen. Pereka antarabangsa Bulbulia (South Africa) dan Kamiidea (Indonesia) dengan kolaborasi bersama Celessence UK.

Pereka fesyen ternama Malaysia di antaranya Rico Rinaldi, Cosry, Naelofar Hijab, Imaan Boutique, Bianco Mimosa, Eja Shahril dan Ridzuan Bohari dijadualkan mempersembahkan koleksi musim terkini. Sementara Fizi Woo dan Syomir Izwa tidak ketinggalan menyertai gerai di dewan pameran.

Pertunjukan fesyen pereka masyhur Indonesia; Laudya Cynthia Bella, Ayu Dyah Andari dan Kursein Karzai dijadualkan pada hari Jumaat. Diikuti Jeny Tjahyawati dan Zainal Songket pada hari Sabtu, Nina Nughoro dan Ivan Gunawan pada hari terakhir iaitu Ahad.

#AIFW2018 kali ini membariskan nama-nama baru seperti Chic (Iran) dan Maryam Bakhtiari (Iran), yang mana buat julung kalinya memperagakan koleksi mereka di pentas fesyen Kuala Lumpur. Manakala Faramas (Iran), Mukhitdinova Shokhida (Uzbekistan), Maya Cosmetic (USA), Berolin (Japan), Zahara (Singapore) dan Anjilla Seddeqi (Australia) bakal mempamerkan dan menawarkan jualan kepada konsumer. Lagi jenama luar negara yang menyertai dewan pameran termasuklah Indah Ederra (Indonesia) bersama-sama label fesyen jenama Malaysia seperti Aidijuma, Syarifah Mudaim, Waarna dan Style Annexe Hashtag Hartamas.

Wajah baru pereka fesyen Malaysia yang kian menyerlah bakal memeriahkan lagi setiap slot pertunjukan fesyen #AIFW2018 tahun ini adalah Mak Cun by Erma Fatima, Sofea Rose, Miraki, Maqilla, Daanya, Peace Collection, Hanees Hijabees dan Watie Collection yang dijadualkan pada kedua-dua hari Sabtu dan Ahad.

Fuza Umar, pengasas dan individu yang bertanggungjawab di sebalik #AIFW2018 berkata, “Sekali lagi buat kali kedua, kami di Minggu Fesyen Islamik Asia amat berbangga mengalu- alukan peserta, pereka fesyen, pembeli asing, delegasi perdagangan dan pengunjung dari serata dunia, yang mengambil bahagian di acara bertaraf antarabangsa ini. Kami juga amat berterima kasih di atas kemurahan hati dan komitmen yang diberikan oleh rakan acara dan para penaja yang menjayakan #AIFW2018.”

Rakan acara dan penaja #AIFW2018 kali ini ialah Kementerian Wilayah Persekutuan, MATRADE, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Biro Pelancongan Kuala Lumpur, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Celessence UK – pembekal terulung teknologi pengurungan mikro untuk tekstil dan percetakan industri dan rumah, Mengaji.com – aplikasi yang memupuk budaya baru dalam pembacaan ayat suci Al-Quran di kalangan Muslim secara global, Smart Surau, OIC Today, La Tulipe Cosmetic Indonesia, Pico International (M) Sdn Bhd, Cantuman Wawasan, Flytone Production dan Sama-Sama Spa yang akan melancarkan produk terbaru mereka iaitu pewarna kuku patuh Syariah dengan teknologi serap cecair.

Menarik perhatian global, #AIFW2018 diadakan untuk memberi inspirasi dari pelbagai sudut bidang perniagaan dalam mengadaptasi gaya hidup dan budaya pop berteraskan Islamik melalui ceramah fesyen dan perniagaan yang dijadualkan pada hari Khamis dn Jumaat. Untuk butiran lanjut, sila kunjungi www.asiaislamicfashionweek.com dan ikuti Instagram @aifw2018.

Mengenai Minggu Fesyen Islamik Asia (AIFW)

Disokong oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, Minggu Fesyen Islamik Asia terdiri daripada tiga (3) elemen utama;

i. Pameran Perdagangan Fesyen

Sebuah platform rangkaian untuk mengekalkan dan menguntungkan perniagaan fesyen dan gaya hidup Islamik; meliputi perdangangan dan pihak umum. Dari jenama mewah sehingga trend fesyen terkini, #AIFW2018 membawakan peserta pameran dari seluruh dunia.

ii. Pertunjukan Fesyen

Menampilkan trend terkini fesyen Islamik dari pereka fesyen ternama, peruncit terulung, butik dan pereka fesyen bebas. Menyaksikan koleksi yang dipersembahkan pada pertunjukan peragaan adalah kemestian.

iii. Interaksi Fesyen

Mempertingkatkan dan mengemaskini pengetahuan industri fesyen berteraskan nilai- nilai Islamik melalui ceramah interaktif oleh panel dari pelbagai bidang berkaitan fesyen dan industri dagangan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Info Tentang Filem ROH YANG TAK TERLIHAT

Drama Komedi Romantik CINTA LEMON MADU