in , , ,

AIFFA Kembali Buat Kali Keempat Berlangsung Pada 25 – 27 April 2019

Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2019 kembali berlangsung di Kuching, Sarawak buat kali keempat bermula dari 25 hingga 27 April.

Acara paling dinanti-nantikan itu bakal menyaksikan sebanyak 16 anugerah dipertandingkan melibatkan penyertaan dari semua 10 negara ASEAN. 

Festival  yang bertemakan AIFFA Convergence @ Digital Sarawak diadakan bertujuan menggalakkan penghasilan filem dengan memberi inspirasi serta mengiktiraf penulis skrip, pembuat filem dan artis dari seluruh negara ASEAN. AIFFA juga merupakan sebuah platform kepada penggiat filem untuk mempromosi budaya, tradisi dan warisan negara selain mempromosi filem ke peringkat antarabangsa. 

AIFFA 2019

Pada 25 Januari 2019 lalu, majlis pelancaran ambang AIFFA 2019 di sebuah hotel terkemuka di Kuching dan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. 

Dalam ucapannya, Abdul Karim berkata AIFFA telah menjadi platform untuk menghimpunkan penggiat industri perfileman dari rantau ASEAN. 

AIFFA 2019

Dengan potensi pasaran ASEAN yang luas iaitu 600 juta populasi, ia terpulang kepada rakyat ASEAN sendiri untuk mengambil peluang ini serta bergiat dalam industri hiburan dan perfileman. 

“AIFFA merupakan salah satu acara yang memperkenalkan Sarawak kepada masyarakat di seluruh rantau ASEAN. 

“Menerusi industri filem, saya berharap untuk melihat festival ini terus berkembang menjadi nama yang sinonim dengan festival filem lain seperti Festival Filem Cannes, Busan dan Berlin,”

– Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

Pada sidang media selepas pelancaran Ambang AIFFA, Abdul Karim berkata kerajaan Sarawak sedia membantu pembikin filem ASEAN dalam pembikinan filem di Sarawak.

Sarawak katanya, mempunyai banyak lokasi menarik bagi penggambaran filem dan Kerajaan Sarawak sedia membantu dari segi hospitaliti dan sebagainya jika perlu. 

AIFFA 2019

“Tempat seperti Gunung Rainbow di China menjadi terkenal disebabkan penggambaran filem begitu juga dengan Hobbit di New Zealand. 

“Inilah yang kita mahukan Sarawak. Kita berharap Sarawak akan menjadi terkenal menerusi penggambaran filem yang ‘meletup’,”

“Filem dan Pelancongan mempunyai satu peranan dan kaitan di mana melalui filem, kita dapat memperkenalkan Sarawak kepada seluruh dunia seperti mana yang berlaku di lokasi filem The Hobbit di New Zealand di mana kadar kedatangan pelancong adalah 400 orang sehari,”

– Datuk Abdul Karim Rahman Hamid

AIFFA dianjurkan buat pertama kali di sini pada 2013 dan ia terus kekal sebagai acara di Sarawak yang dianjurkan setiap dua tahun sekali. 

Penganjur sebelum ini telah mengundang pelakon terkenal seperti Tan Sri Michelle Yeoh pada AIFFA 2013 diikuti Jackie Chan pada tahun 2015 dan Donnie Yen pada AIFFA 2017. 

AIFFA 2019

Anugerah tahun ini akan dihakimi oleh barisan juri profesional diketuai pemenang anugerah pengarah filem Malaysia, U-Wei Haji Saari atau lebih dikenali dengan nama Kaki Bakar. 

Juri-juri lain termasuklah, pengarah festival filem dari Perancis Alain Jalladeau selaku juri antarabangsa dan tiga juri ASEAN, Amable ‘Tikoy’ Aguiluz dari Filipina, Mattie Do dari Laos dan Daniel Rudi Haryanto dari Indonesia. 

Turut hadir pada pelancaran itu, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan serta Pengarah Festival Livan Tajang.

AIFFA 2019

Antara pengisian festival tersebut adalah “Movies Under the Stars” yang akan diadakan di Kuching Waterfront Extension bagi menyambut kira-kira 400 delegasi ASEAN termasuk media antarabangsa. Selain itu, terdapat persembahan dan tayangan filem, pameran dan jualan serta AIFFA BIZ WORLD bakal diadakan di The Old Court House yang terbuka kepada orang ramai. 

AIFFA 2019

“Acara kemuncak adalah pada 27 April iaitu GALA DINNER di mana sebanyak 16 kategori filem ASEAN dipertandingkan,”

Di majlis sama, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah turut menjelaskan AIFFA 2019 juga merupakan salah satu pengisian program sempena Tahun Melawat Sarawak tahun ini.


Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pengarah Mamat Khalid Sakit Tenat di ICU

Shahrol Shiro ‘Hentam’ Suria FM