Tidak hanya mengecap kejayaan luar biasa di negara kelahirannya, Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza turut mencipta fenomena di Malaysia. Selain lagu, kualiti vokal dimiliki membuatkan ramai yang kagum dan jatuh cinta.
Seiring kematangan usia pembabitannya dalam industri muzik Indonesia yang sudah mencecah 15 tahun, Afgan juga menjadi antara penyanyi yang kerap mengadakan konsert solo termasuk di Malaysia.
Justeru, kejayaan konsert Afgan Evolution Live In Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu menjadi penanda aras baharu Afgan untuk terus berkarya dan menghiburkan peminat setianya di sini.
Atas sambutan dan permintaan ramai, Afgan bakal kembali menggegarkan Kuala Lumpur menerusi Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di Plenary Hall, KLCC pada 2 Disember 2023 yang dibawakan secara eksklusif oleh penganjur, Renjana Idea.
Afgan yang baru selesai menjayakan konsert Afgan Evolution Live In Jakarta, semalam (1 Julai) berkata, dia teruja dan tidak sabar untuk kembali ke Malaysja bagi menghiburkan seluruh peminat.
“Tidak dinafikan, Malaysia ibarat rumah kedua saya dalam berkarya. Setiap lagu saya diterima baik dan mendapat sambutan menggalakkan oleh peminat. Apatah lagi setiap kali saya menjayakan konsert di Malaysia, peminat tidak henti-henti memberikan sokongan. Itu satu penghormatan buat saya.
“Sejujurnya, saya juga tidak menjangka penganjur sekali lagi memilih saya untuk mengadakan konsert selepas Afgan Evolution Live In Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu. Namun, saya percaya mereka ada alasan tersendiri. Selain saya juga senang bekerjasama dengan mereka.
“Apa boleh dikatakan, untuk Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) ini,ia sesuatu yang cukup mengujakan kerana buat pertama kali saya bekerjasama dengan pemuzik daripada Malaysian Philharmonic Orchestra. Apabila dimaklumkan mereka bersetuju untuk menjayakan konsert ini, bagi saya ‘it’s amazing’!. Tidak sabar rasanya untuk menghiburkan peminat nanti,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Renjana Idea, Aliya Arisya Anuar berkata, pihaknya berbesar hati kerana Afgan sekali lagi menerima pelawaan dan bersetuju untuk menjayakan konsert di sini.
Berbeza dengan konsert sebelum ini, pada Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) bakal menyaksikan Afgan menyanyikan lagu-lagu popularnya.
Menariknya juga, pada konsert ini turut menghiburkan peminat adalah penyanyi jemputan yang bakal diumumkan penganjur kelak.
Tiket menyaksikan konsert Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) mula dijual pada 5 Julai 2023, jam 10 pagi, di GOLIVE-ASIA.COM
Harga tiket bermula RM1488 (Lestari Merdu); RM998 (Panah Asmara); RM888 (Lenggang Puspita); RM588 (Heaven); RM338 (Knock Me Out); RM298 (M.I.A) dan RM258 (Bawalah Cintaku).