in ,

AEON, Facebook Suami Masak Apa Hari Ini? & Koop GTR Lancar BERKAT KORBAN

Kerjasama unik 3 hala sediakan cara mudah, selamat serta patuh Syariah

Dalam rakyat Malaysia mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan oleh Kerajaan susulan penyebaran pandemik Covid-19, pelbagai usaha diambil bagi mengadaptasi kehidupan dengan situasi ‘norma baharu’.

Selepas meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan cara tersendiri, seterusnya umat Islam akan menyambut pula Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi di mana akan turut melibatkan ibadah korban. Bagaimanapun, dengan PKPP dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mungkin umat Islam di Malaysia berdepan kesulitan tertentu untuk melaksanakan ibadah korban tersebut.

Prihatin tentang perkara ini, AEON Co. (M) Bhd (AEON) menjalinkan kolaborasi dengan Group Facebook Suami Masak Apa Hari Ini? (SMAHI) dan Koperasi Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (Koop GTR) bagi menganjurkan program “Berkat Korban”.

Kolaborasi itu telah diumumkan secara rasmi dalam satu majlis yang dihadiri oleh Shafie Shamsuddin, Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Mohd Salleh Ab Hamid (Rodk), pengasas Group Facebook SMAHI dan Haji Nordin Mat, Pengerusi Koop GTR.

Mengulas mengenai kolaborasi tiga hala tersebut, Shafie Shamsuddin, Ketua Pegawai Eksekutif AEON berkata, 

“Dalam situasi kita pada masa ini, terdapat kekangan tertentu untuk masjid-masjid serta surau-surau di Malaysia melaksanakan ibadah korban.

Oleh sebab itu, menyedari akan kesulitan yang dihadapi para pelanggan AEON, maka kami amat bersyukur dapat menyediakan platform Berkat Korban bagi memudahkan umat Islam menyempurnakan ibadah tersebut secara lebih sistematik.

Menepati gaya hidup digital masa kini, umat Islam juga boleh membuat tempahan korban secara online di laman web kami, web myaeon.com.my atau laman web SMAHI, smahi.my. selain datang ke kaunter-kaunter yang dibuka di semua cawangan AEON seluruh negara.

Melalui cara ini, orang ramai masih dapat beribadah sambil memastikan keselamatan serta kesihatan mereka terjaga dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MKN dan KKM.

Selain itu, Berkat Korban juga memberi peluang para pesertanya melihat sendiri lembu dan kambing korban ditanda dengan nama mereka.”

– Shafie Shamsuddin, Ketua Pegawai Eksekutif AEON

Program Berkat Korban ini merupakan program ibadah korban yang julung kali diadakan di Malaysia secara lebih sistematik dan telus, justeru menjadikannya lebih diyakini. Semua peserta program ini akan menerima sijil pengesahan daripada panel Syariah.

“Kolaborasi unik ini juga membolehkan AEON sebagai jenama pasaraya terunggul yang sentiasa dekat di hati para pelanggan, menawarkan cara mudah untuk menyertai program korban, justeru meningkatkan lagi keyakinan para pengguna.

Inisiatif ini membuktikan usaha berterusan AEON yang bukan sekadar peruncit, malah kami komited untuk memenuhi permintaan pelanggan serta menawarkan lebih kemudahan kepada semua rakyat Malaysia,”

– Shafie Shamsuddin, Ketua Pegawai Eksekutif AEON

Program ini juga adalah rentetan daripada program Berkat Ramadhan AEON yang telah memberi peluang pekerjaan kepada 300 orang individu yang telah kehilangan pekerjaan, di mana mereka telah menerima sumbangan motosikal daripada pihak AEON dan menjadi sebahagian pasukan penghantar barangan AEON ke rumah-rumah pelanggan.

Program Berkat Korban ini akan dipantau oleh Ustaz Mohd. Jabal Abdul Rahim dan Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar bagi memastikan ia patuh Syariah. Ustaz Mohd Jabal merupakan seorang panel Syariah yang berpengalaman luas dalam program-program latihan dan khidmat nasihat yang membantu membangunkan para usahawan dan profesional dalam sektor halal menerusi bengkel-bengkel yang sangat praktikal.

Beliau telah bekerjasama dengan pelbagai industri termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Syarikat-syarikat Multinasional (MNC), hotel-hotel, syarikat-syarikat pembuatan, universiti-universiti dan kolej-kolej, pihak kerajaan, badan-badan pensijilan serta banyak lagi. Datuk Dr. Mohd Daud pula merupakan seorang penasihat Syariah global dan pengasas Amanie Group.

Sementara itu, Mohd Salleh Ab Hamid (Rodk), pengasas Group Facebook SMAHI, berkata, 

“Sebagai Group Facebook yang masih baharu, kami menghimpunkan golongan lelaki yang mempunyai minat yang sama iaitu memasak dan menerusi SMAHI, kami telah mewujudkan semangat persaudaraan yang kukuh sesama ahli. Berlandaskan semangat inilah kami membuat keputusan untuk membuat satu pembaharuan dan bekerjasama dengan AEON bagi menganjurkan inisiatif Berkat Korban ini yang pastinya dapat memberi manfaat kepada ramai umat Islam di seluruh Malaysia.”

– Mohd Salleh Ab Hamid (Rodk), pengasas Group Facebook SMAHI

Haji Nordin Mat, Pengerusi Koop GTR pula menyatakan,

“Kami menyambut baik dan sangat gembira untuk bekerjasama menganjurkan inisiatif ini kerana ia dapat membantu para penternak haiwan ruminan khususnya lembu dan kambing bagi memasarkan hasil ladang mereka yang terjejas teruk akibat PKP selama lebih 3 bulan.

Tambahan pula, permintaan terhadap hasil berkenaan yang diterima daripada masjid-masjid dan surau-surau pada tahun ini untuk ibadah korban adalah sangat berkurangan.

Oleh itu, inisiatif Berkat Korban sedikit sebanyak membuka peluang kepada kelangsungan perusahaan para penternak berkenaan.”

– Haji Nordin Mat, Pengerusi Koop GTR

Di bawah program Berkat Korban ini, terdapat beberapa pakej korban untuk dipilih iaitu BK1 pada harga RM799, BK2 pada harga RM899, BK3 pada harga RM999, BK Kambing pada harga RM1199 dan BK Premium Sado yang berharga RM2799.

Selain itu, bagi setiap pembelian minuman bersusu di Coco Cafe dan kaunter minuman AEON seluruh negara, sebanyak RM1 akan disalurkan untuk pembelian lembu pakej BK Premium Sado dan daging tersebut akan disumbang kepada golongan asnaf semasa musim sambutan Hari Raya Aidiladha nanti.

Selepas aktiviti penyembelihan dilakukan pada 31 Julai 2020, semua daging korban ini akan dibungkus melalui proses yang mematuhi SOP, patuh Syariah dan menggunakan pek vakum bagi memastikan kebersihan serta kesegarannya.

Untuk membuat tempahan, orang ramai boleh datang ke kaunter-kaunter yang dibuka khas di semua cawangan AEON seluruh negara atau melayari laman web myaeon.com.my dan smahi.my. bermula 26 Jun 2020 sehingga 25 Julai 2020.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Fariz Jabba Lancar Lagu NAK TAK NAK Sebagai Pemangkin Semangat

Isu Rogol, Wardina Safiyyah Tarbiah Fynn Jamal Masa IG Live