in

ADLI DAN REEN BERJAYA KE SEPARUH AKHIR BINTANG RTM 2009

ADLI DAN REEN BERJAYA IRINGI 12 FINALIS KE PERTANDINGAN PERINGKAT SEPARUH AKHIR BINTANG RTM 2009

Keputusan peringkat Suku Akhir SMS Bintang RTM 2009 yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, jam 8.30 malam pada 17 Mei 2009 (Ahad) lalu menyaksikan peluang seterusnya bergelar Bintang RTM 2009 memihak kepada dua peserta berbakat, Adli dan Reen apabila suara dan persembahan mereka berjaya menjadi pilihan ketua juri, Aznul Haidi di samping juri jemputan, Izhar Azua dan komposer tidak asing lagi, Boon Tan.

Siaran langsung dipancarkan menerusi TV2, Dunia Ria ini menampilkan gandingan pengacara berbakat, Alisha di samping penyanyi, Izwan Pilus sepanjang satu jam setengah bersiaran.

3542122595 0Ec224005B | 4

Nyata kemunculan peserta wanita pemilik nama penuh Shereen Anshary, 24, yang menguasai pentas dengan lagu Jeritan Batinku dan New York! New York! ini mendapat sorakan gemuruh penyokong-penyokong setianya apatahlagi dengan penampilannya yang bersahaja dan tidak kekok di pentas. Malah peserta berasal dari Sungai Buloh yang berpengalaman menjuarai Pertandingan The Cost Idol, Naib Johan Superstars NTV7 (2005) dan Johan Pertandingan Karaoke PKNS ini berjaya membawakan lagu-lagu disampaikannya dengan penuh penghayatan.

Kegembiraan turut dikongsi sama peserta lelaki Adli yang turut menempa tempat terpilih ke Peringkat Separuh Akhir bersama Reen. Pemuda berusia 23 tahun yang juga penuntut ASWARA ini mempamerkan persembahan meyakinkan menerusi lagu pertama, Nakal yang dipopularkan Kumpulan Gigi. Adli berjaya menguasai keseluruhan pentas dengan iringan tarian yang nampak kemas dan cukup meyakinkan. Malah Adli menyampaikannya dengan gaya dan suaranya tersendiri.

Anak jati kelahiran Kulim, Kedah ini kemudiannya muncul dengan sut putih menyanyikan lagu wajib, Mestikah Ada Yang Lain dengan penuh penghayatan meskipun tanpa diiringi penari latar. Kekuatan vokalnya nyata berjaya memikat hati penonton di Auditorium Perdana yang memberikan sokongan sepenuhnya kepada peserta yang memiliki hobi menyanyi, bermain video dan bersiar-siar ini.
Kedua-dua peserta ini nyata tidak mensia-siakan tiket kepercayaan yang diberikan penyokong setia dan pengundi mereka untuk mengorak langkah mengikut jejak 12 finalis yang telah melayakkan diri ke Separuh Akhir Pertama (24 Mei 2009 ) dan Separuh Akhir Kedua yang bakal dilangsungkan pada 31 Mei 2009 kelak.

Persembahan mantap dua peserta ini seterusnya berjaya mengetepikan peluang empat peserta lain iaitu Shiqal menyanyikan lagu Lamunan Terhenti dan Ketahuan. Fara pula tampil dengan lagu wajib, Barangkali dan lagu pilihan Ku Bahagia manakala Azam mempersembahkan lagu Melodi Hati dan lagu pilihan Entah yang dipopularkan penyanyi Indonesia, Afghan dan peserta bersuaran lantang, Shah mempertaruhkan lagu Embun dan lagu Januari.

Selain itu turut dikongsi sama dengan penonton klip video yang memaparkan aktiviti dilakukan enam peserta bertanding di bawah bimbingan penyanyi dan juga pensyarah di ASWARA, Dia Fadilla yang dilantik sebagai penasihat vokal peserta-peserta Bintang RTM 2009.
 
Begitu pun kehadiran penonton yang memeriahkan Auditorium Perdana, Angkasapuri untuk memberikan sokongan padu kepada peserta-peserta pilihan mereka turut dihiburkan dengan persembahan mantap kumpulan muzik yang sedang mencipta nama, Grey Sky Morning dengan lagu popular mereka Cinta Gila yang semakin rancak mengungguli carta muzik di Malaysia. Kesempatan yang ada digunakan sepenuhnya turut sama menyanyikan lagu disampaikan bersama kumpulan muzik itu.

Teruskan menonton dan menyaksikan perjalanan dua peserta ini, Reen dan Adli mengiringi 12 finalis iaitu Ernie, Nizam, Anna, Ikbal, Eza, Zilla, Ziana, Aina, Aida, Fatin, Irsa dan Azwan melengkapkan senarai 14 finalis ke Peringkat Separuh Akhir dan adakah mereka akan menjadi antara 8 peserta pilihan juri untuk berentap pada peringkat akhir pada 21 Jun 2009 untuk bergelar Bintang RTM 2009?

Perkembangan terkini dan info-info terkini setiap finalis Bintang RTM 2009 boleh dilayari menerusi laman sesawang rasmi, www.bintangrtm.com dan menerusi radio rasmi Muzikfm.

3542927050 0487D13C59 | 5

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem Kami Lakonan Allahyarham Sudirman di TV2

Bersama Normala Samsudin di TV1