in , ,

Isu Pelawak Jadi Deejay, Pendengar Pilih Artis Komedi

Laporan BH Online mengenai isu pelawak jadi deejay menarik perhatian netizen yang berkongsi pandangan mengenai dominasi artis komedi di konti stesen radio.

Polemik dicetuskan membuka ruang perdebatan antara netizen yang membangkitkan pelbagai perkara berhubung gelagat pelawak yang menjadi penyampai radio, daripada isu bahasa digunakan sehingga tertib ketika berada di konti terutama apabila menemuramah tetamu jemputan.

Malah, ada pembaca memberi contoh kewibawaan deejay pada era 1980-an seperti DJ Zainal Din Zainal yang dianggap memiliki tahap pengetahuan am yang tinggi dan bijak memikat pendengar dengan rangkaian lagu popular.

BH Online mendapatkan pengurusan stesen radio Suria FM dan Ripple atau dahulunya dikenali sebagai Rangkaian Radio Media Prima bagi mengulas isu pelawak di konti radio.

Pengurus Kanan, Suria FM merangkap Ketua Stesen Radio Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin, pihaknya tidak menafikan setiap kali kajian atau bancian pendengar dikendalikan, pelawak sering menjadi pilihan responden.

“Kajian soal selidik atau bancian sering condong kepada beberapa personaliti. Malah, ada yang memilih penyampai radio tempatan termasuk pelawak yang pernah bekerja di stesen radio untuk dijadikan tarikan.

“Peratusan yang memilih pelawak sebagai penyampai radio amat tinggi,”

– DJ Lin

Malah, akui DJ Lin, berdasarkan kaji selidik GFK (Growth From Knowledge) tahunan dan secara dalam talian, jumlah pendengar Suria mencatatkan peningkatan luar biasa selepas Ajak dan Issey terpilih mengendalikan slot Team Pagi Suria.

GFK adalah syarikat yang bertanggungjawab menjalankan kaji selidik bagi kebanyakan stesen radio di Malaysia.

“Slot kendalian pelawak itu yang ke udara setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 6 hingga 10 pagi memang menarik ramai pendengar. Tidak boleh dinafikan aura pelawak itu menambah baik slot pagi kami,”

– DJ Lin

Bagaimanapun, DJ Lin memberitahu, pihaknya sentiasa memantau prestasi setiap penyampai radio bertugas.

“Kami sentiasa memantau tugas harian semua penyampai bagi memastikan mereka tidak melanggar etika penyiaran dan dapat memenuhi cita rasa pendengar,”

– DJ Lin

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan, Audiens & Pemasaran Ripple, Anida Tahrim, berkata pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan semasa dalam beroperasi.

“Pemilihan penyampai radio adalah berdasarkan sentimen kepada sesuatu masa. Pada masa ini, personaliti yang mempunyai pelbagai latar belakang termasuk pelawak menjadi pilihan pendengar.

“Kami lihat peningkatan pendengar melalui keseluruhan pelaksanaan strategi yang kami lakukan. Ini termasuk kerjasama daripada pelbagai pihak seperti penyampai radio yang mempunyai latar belakang berbeza untuk menyampaikan maklumat dan hiburan.

“Ini disokong kerja keras pasukan belakang tabir yang bijak menyempurnakan tugasan diberi,” katanya.

– Anida Tahrim

Tambah Anida, stesen radio termasuk HotFM dan KoolFM sentiasa memberi input dalam mengendalikan perbincangan dengan deejay agar mereka mempelbagaikan cara penyampaian dan maklumat disalurkan.

“Dapat dilihat penyampai kami termasuk mereka yang mempunyai latar belakang sebagai pelawak, sangat peka dengan keadaan semasa dan tidak hanya berlawak sepanjang masa.

“Mereka ada bakat menyampaikan maklumat secara terperinci, prihatin dengan keadaan semasa dan bijak mengendalikan keadaan dengan rasa simpati untuk sesuatu keadaan yang memerlukan,” katanya.

– Anida Tahrim

Anida berkata, fokus bukan hanya diberi kepada pelawak, sebaliknya, bakat yang ada pada penyampai lain demi memenuhi strategi ditetapkan.

Sumber: BH Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Izreen Azminda Berang Dakwaan Rumah Tangga Bergolak

Sinopsis Drama KEBAYA KASUT KANVAS Lakonan Nabila Razali & Fahrin Ahmad