in ,

Bekas Juara Akademi Fantasia Buat Reunion di Sidang Media AF MEGASTAR Petang Ini

Pada jam 3 petang ini, akan berlangsung sidang media sebuah program terbaru yang bakal menghimpunkan bekas juara Akademi Fantasia. Difahamkan, menurut sumber yang disiarkan di Berita Harian semalam, hanya lapan bekas juara Akademi Fantasia (AF) musim terdahulu bakal menyertai program realiti terbaru terbitan Astro, AF Megastar. Selebihnya, adalah penyanyi yang dulunya pernah menyertai AF.

Rancangan yang akan memulakan siarannya pada September ini menampilkan 24 peserta daripada 13 musim program berkenaan.

AF Megastar

Menurut sumber, bekas juara yang bakal bersaing kembali ialah Zahid (AF2), Faizal (AF4), Milla (AF5), Shahir (AF8), Faizul (AF2013), Firman (AF2014), Sufie (AF2015) dan Amir (AF2016).

Enam belas peserta lain ialah Rosma (AF1), Anding (AF2), Adam (AF2), Bob (AF2), Amylea (AF3), Idayu (AF3), Marsha (AF3), Nubhan (AF6), Aril (AF7), Adira (AF8), Amir Jahari (AF9), Azhar (AF2013), Indah (AF2013), Ewal (AF2014), Syamel (AF2015) dan Ara (AF2016).

“Semua peserta berkenaan akan dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu 12 orang bagi konsert minggu pertama, manakala bakinya bakal menjayakan persembahan pada konsert minggu kedua. Persembahan ala prelude ini diberi nama Konsert AF Homecoming.

“Pada penghujung konsert minggu kedua nanti, 12 peserta yang layak untuk mara ke minggu ketiga akan diumumkan.

“Bermula pada minggu ketiga, setiap peserta terpilih akan berentap hinggalah ke minggu kelapan sebelum seorang daripada mereka diumumkan sebagai juara dan menggalas gelaran AF Megastar.”

Persembahan peserta akan diadili oleh dua juri profesional iaitu pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS dan penyanyi yang juga guru vokal, Syafinaz Selamat. Seorang juri jemputan akan diundang pada setiap minggu persembahan.

Bagi konsert prelude, pemarkahan adalah daripada juri profesional sepenuhnya, manakala pada konsert mingguan, sebanyak 60 peratus markah finalis adalah daripada juri profesional, manakala 40 peratus lagi hasil undian SMS dan secara online.

Difahamkan, tiada tenaga pengajar disediakan penganjur bagi program istimewa ini memandangkan semua peserta sudah bergelar penyanyi profesional.

Sama seperti program Gegar Vaganza, peserta bakal diberikan lagu mengikut tema disediakan bagi setiap minggu pertandingan.

Selamat maju jaya buat semua peserta. Adakah program AF Megastar ini akan bikin fenomena seperti mana Gegar Vaganza? Sama-sama kita nantikan.

Tonton video live di saluran Youtube Budiey.com: www.youtube.com/budiey27 dan juga di platform sosial media Budiey.

Sumber: Berita Harian

AF MEGASTAR

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

BIRTH OF THE DRAGON Special Fans Screening

DROUPR Lancar Aplikasi di Telefon Bimbit