in ,

Scha, Sari Yanti dan Irma Hasmie di TV9 Berwajah Baru

Tahun 2009 membawa tuah kepada TV9 yang bakal menyambut ulang tahunnya yang ketiga April ini. Pada tahun lalu, TV9 berjaya meraih 12 peratus syer penonton, kedudukan kedua selepas TV3.  Kini TV9 tampil berwajah lebih segar, ceria dan kontemporari menerusi pelbagai rancangan tempatan dan juga luar negera.

Bagi memuaskan hati penonton dan juga klien kami, TV9 telah menyusun pelbagai rancangan menarik dengan menyasarkan kepada tiga kategori penonton utama iaitu  – kanak-kanak (kids) berusia di antara 4 tahun hingga 14 tahun, remaja dan belia bekerja (young working adult) dalam lingkungan 15 tahun hingga 24 tahun dan & pasangan keluarga muda (young families) berusia lingkungan 25 tahun hingga 34 tahun.  Dengan cara ini, TV9 akan lebih fokus dalam penghasilan rancangan-rancangan baru kami.

Sepanjang 2009, TV9 akan memperbanyakkan rancangan-rancangan berbentuk hiburan berinformasi membabitkan pengacara-pengacara dan pelakon terkenal antaranya Studio Nabil yang merupakan komedi santai gandingan Nabil dan Sharifah Shahirah; Hip TV sebuah program hiburan setengah jam yang berkongsi dengan penonton tentang komen-komen yang diberikan oleh pakar-pakar fesyen, pengarang media dan ramai lagi berkaitan ragam artis dalam pemakaian, dandanan dan solekan serta kehidupan seharian mereka. Manakala Chopp! pula merupakan rancangan pendek selama 5 minit yang memberikan informasi terkini kepada penonton setia TV9 tentang rancangan terbaru yang bakal disiarkan di TV9 bersama pengacara Ikram Dinzly, Sari Yanti, Aidi Marcello, Scha dan Irma Hasmie.

Selain itu, Galaksi, Filem di 9 dan terbaru, sebuah lagi rancangan bual bicara santai hujung minggu, Apa Ke Halnya telah menyerikan hujung minggu penonton TV9 setiap Jumaat hingga Ahad jam 10 pagi. Rancangan ini dihoskan oleh pengacara komedi Mr Os, Shamsul Ghau Ghau dan Din Beramboi membincangkan isu-isu semasa dalam keadaan yang lebih relaks dan santai.  Rancangan ini juga akan diserikan dengan kehadiran juara Gadis Melayu, Khairul Noormaidah Zali sebagai hos bersama pada setiap Ahad.

TV9 KINI LEBIH SEGAR, CERIA & KONTEMPORARI

Tahun ini juga, TV9 akan memberi fokus utama kepada penerbitan rancangan kanak-kanak. Antara yang pasti mendapat perhatian ialah Pondok-Pondok yang menampilkan Nabil berinteraksi bersama kanak-kanak berusia antara 4 tahun hingga 12 tahun, seterusnya Nabil juga akan bergandingan dengan Adruce mengacarakan rancangan game show terbaru Hartamania.  Rancangan ini akan menampilkan lima kanak-kanak berusia antara 9 tahun hingga 14 tahun dalam setiap episod mengembara mencari harta karun di sebuah kepulauan (yang direka bentuk di dalam studio). Sementara Siapa Pintar yang dihoskan oleh Alif (One In A Million) pula akan menampilkan beberapa kanak-kanak pintar dan menguji minda mereka menerusi kuiz mengeja dan teka silang kata. Pelbagai hadiah menarik menanti peserta yang berjaya menjawab dengan tepat. Rocketman juga akan menceriakan adik-adik dengan penampilan khas angkawasan pertama negara Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang akan berkongsi pengalaman beliau ketika mengembara ke angkasa bersama kanak-kanak di dalam studio. Pada masa yang sama beliau akan menjalankan beberapa eksperimen yang menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati seperti membuat roket mini dan juga gunung berapi. Pastinya rancangan ini menarik hati adik-adik semua.

Sementara sitkom komedi santai yang bakal ditayangkan adalah sitcom paling popular Bong musim kelima dengan barisan pelakon Ikhwan, Maisara dan Thalya. Sebuah lagi sitkom akan menemui para penonton TV9 iaitu Otai yang akan diterajui oleh pelawak nombor satu Malaysia Saiful Apek; Nana Tanjung lakonan Pak Pie dan Si Luncai.

TV9 juga tidak ketinggalan untuk mencari bakat-bakat baru menerusi rancangan  realiti terbaru Oh La La yang menampilkan bakat hiburan remaja-remaja berusia antara 13 tahun hingga 18 tahun. Keunikan rancangan ini adalah dari segi formatnya yang menampilkan selebriti-selebriti terkenal tanah air dari pelbagai bidang yang bertindak sebagai pengurus artis yang menguruskan persembahan dan hala tuju bakat-bakat baru daripada kalangan mereka yang mempunyai pertalian saudara dengannya.

 Bagi program majalah dan dokumentari pula TV9 bakal menayangkan Kes Syariah yang membantu masyakat memahami serta mempelajari dunia mahkamah dengan memaparkan kes-kes dari mahkamah Syariah secara terperinci. Di samping itu juga Kes Syariah akan memaparkan beberapa paparan kes yang melibatkan selebriti yang telah ke Mahkamah Syariah untuk membantu penonton memahami dengan lebih jelas mengenai kes-kes yang akan dipaparkan. Sementara Semanis Kurma pula mengajak penonton berinteraksi dengan kedua-dua pakar motivasi  suami isteri iaitu Dato’ Ustazah Norbahyah Mahmood dan Ustaz Akashah bagi membincangkan hal ehwal rumah tangga seperti permasaalahan dalam kehidupan suami isteri disamping tip-tip dalam menjaga keharmonian hidup berkeluarga. Rancangan ilmiah yang santai serta mudah difahami oleh semua golongan masyrakat ini berusaha mendokong misi TV9 yang cuba mendekati masyarakat secara keseluruhannya.

Pada masa yang sama, TV9 juga akan turun padang mendekati penonton-penonton kami menerusi Sua Rasa dan Apa Khabar Orang Kampung. Dengan adanya acara-acara seperti ini, orang ramai mahupun pengunjung berpeluang melihat kami menyiarkan program secara langsung dan juga rakaman. Dan sudah tentunya mereka berpeluang untuk bergambar bersama selebriti-selebriti terkenal tanahair.

Nantikan kelahiran semula TV9 dengan elemen-elemen segar, ceria dan kontemporari…

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sinopsis Drama Hartamas Lakonan Faezah Elai

Gambar AC Mizal di MAC Sponsor Puteri Gunung Ledang The Musical Season III