in ,

Konsert Lagenda Nada Murni Satukan Hijjaz & Rabbani di Idea Live Arena

Malam Penuh Nostalgia Menyatukan Semula Ikon Nasyid Selepas Tiga Dekad

Nada Murni, nama yang pernah menjadi fenomena besar dalam dunia muzik nasyid pada era 80-an, kini bakal kembali menggamatkan pentas dengan sebuah persembahan mega yang penuh dengan nilai sentimental. Setelah lebih tiga dekad membawa haluan masing-masing, kumpulan asal yang melahirkan nama besar seperti Hijjaz dan Rabbani akan bersatu semula dalam Konsert Lagenda Nada Murni.

Konsert yang cukup dinanti-nantikan ini akan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 7 Disember 2025 jam 8 malam. Ia dianjurkan oleh Karri Talk Production bersama Westzone Entertainment, dua nama besar yang cukup berpengalaman dalam penganjuran acara hiburan berskala besar.

Kembalikan Memori Lagu Ikonik Nasyid Era 80-An

Konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan biasa, tetapi sebuah ruang untuk penonton mengimbau semula detik kegemilangan nasyid yang pernah mendominasi landskap muzik tanah air sekitar tahun 80-an dan 90-an. Lagu-lagu seperti Di Pondok Kecil, Di Sini Kami Berkumpul, Tanpa Agama dan banyak lagi akan kembali mengisi jiwa, menghidupkan nostalgia yang mungkin sudah lama tersimpan dalam ingatan peminat.

Lebih menarik, konsert ini turut akan menampilkan persembahan eksklusif daripada artis jemputan seperti Saujana, Akhil Hai dan Pak Dinie, yang akan memberi sentuhan segar sekaligus menjadikan malam tersebut lebih istimewa.

Menurut wakil penganjur, Karri Talk Production & Westzone Entertainment, “Konsert Lagenda Nada Murni bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi sebuah pertemuan semula yang penuh makna selepas lebih tiga dekad. Kami percaya malam ini akan menjadi satu detik penuh memori buat peminat, kerana mereka bukan sahaja dapat mengimbau nostalgia era kegemilangan nasyid 80-an, tetapi juga merasai semangat kebersamaan yang pernah menyatukan kita semua melalui muzik yang murni dan berjiwa.

Dua Jam Penuh Jiwa Dengan Konsep Tiket Eksklusif

Peminat setia nasyid pastinya tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan konsert yang dijadualkan berlangsung selama dua jam ini. Ia bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi juga pengisian rohani yang menyentuh hati, dengan gabungan suara emas ahli asal Nada Murni yang masih segar mendendangkan irama penuh syahdu.

Menariknya, kategori tiket konsert ini dibahagikan kepada tiga bahagian unik – Lelaki (Men Section), Wanita (Women Section) dan Keluarga (Family Section). Konsep ini jarang sekali diaplikasikan dalam konsert tempatan dan pastinya memberi pengalaman berbeza kepada penonton, lebih selesa serta teratur mengikut keselesaan masing-masing.

Tiket konsert ini akan mula dijual secara rasmi pada 26 September 2025 melalui Ilasso Tickets. Berdasarkan jangkaan, tiket dijangka habis terjual dalam masa yang singkat kerana sambutan hangat daripada peminat nasyid yang telah lama menunggu detik bersejarah ini.

Sejarah Panjang Nada Murni Dan Lahirnya Legenda Hijjaz Dan Rabbani

Untuk generasi baharu yang mungkin kurang mengenali, Nada Murni merupakan kumpulan nasyid yang mula bertapak pada tahun 1987. Mereka dikenali kerana menyampaikan lagu-lagu berunsur dakwah dengan gaya yang sederhana, tetapi penuh dengan mesej mendalam.

Antara lagu mereka yang terus segar di ingatan ialah Bila Nur Melimpah Di Hati dan Nun Di Sana, karya yang menjadi tiang kepada perkembangan muzik nasyid moden di Malaysia. Apa yang lebih menarik, Nada Murni bermula hanya dengan membuat persembahan di majlis ceramah tanpa memiliki studio atau peralatan muzik lengkap. Mereka bahkan merakamkan album pertama di dalam sebuah gelung (saluran air) di Kampung Sungai Penchala, hanya menggunakan suara dan semangat dakwah sebagai kekuatan.

Namun, pada tahun 1994, kumpulan ini berpecah dan melahirkan dua nama besar dalam industri nasyid iaitu Rabbanidan Hijjaz. Kedua-dua kumpulan ini kemudiannya terus mengangkat martabat nasyid ke peringkat yang lebih tinggi dengan pelbagai pencapaian, album, dan persembahan ikonik sehingga ke hari ini.

Apa Kata Budiey?

Bagi Budiey, konsert ini lebih daripada sekadar hiburan. Ia adalah sebuah reunion bersejarah yang menyatukan kembali figura yang pernah mencorakkan muzik nasyid di Malaysia. Kehadiran konsert ini bukan sahaja membuka ruang nostalgia kepada peminat lama, malah menjadi medan pengenalan untuk generasi baharu merasai sendiri bagaimana muzik nasyid pernah menjadi arus perdana.

Budiey berpendapat bahawa konsep pembahagian tiket mengikut kategori lelaki, wanita dan keluarga adalah satu langkah yang bijak dan penuh sensitiviti. Ia bukan sahaja selari dengan identiti nasyid, tetapi juga memberi ruang keselesaan kepada semua lapisan penonton.

Secara keseluruhannya, Konsert Lagenda Nada Murni bakal menjadi malam yang tidak boleh dilepaskan. Bukan sahaja sebagai sebuah persembahan muzik, tetapi juga satu detik penting yang menandakan betapa muzik nasyid masih relevan, hidup, dan terus mengisi ruang hati peminat walaupun selepas lebih tiga dekad.

Budiey yakin, malam 7 Disember 2025 akan menjadi malam penuh emosi, memori dan inspirasi yang akan diingati dalam sejarah muzik tanah air.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Siri HONOR X Kekal Juara Telefon Pintar Mid Range di Malaysia