in

Rakaman Program SEJUTA IMPIAN TV3 Bermula, Ini Info Yang Anda Perlu Tahu

Pengembaraan Rm Sejuta Kini Bermula!! Pelbagai Kejutan & Cabaran Menarik Menanti Peserta!

Sesi ujibakat yang berlangsung di serata tanah air pada bulan Mac lalu telah berakhir dengan jayanya! Berdasarkan penyertaan dan respon positif yang diterima di sepanjang sesi ujibakat tersebut, kini tiba masanya untuk TV3 memulakan sesi rakaman program SEJUTA IMPIAN yang bakal mencetuskan fenomena program realiti tempatan dengan menampilkan 92 peserta terpilih dengan latar belakang dan kisah kehidupan masing-masing.

Secara keseluruhannya, ujibakat program realiti terbaru TV3 ini berjaya menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia, dengan jumlah penyertaan sebanyak 400 orang melalui kaunter pendaftaran di lokasi di seluruh negara, 300 penyertaan melalui pos serta hampir 300 penyertaan melalui pendaftaran secara online. Menurut pemerhatian yang dijalankan di sekitar lokasi ujibakat, majoriti peserta tampil begitu bersedia tanpa sebarang masalah di hadapan kamera dan para pemerhati, kru SEJUTA IMPIAN dan pengunjung yang lain.

Sejuta Impian TV3

Setelah selesai proses pemilihan peringkat awal, hanya 92 orang yang berjaya mara ke pusingan seterusnya untuk menjalani sesi rakaman yang berlangsung selama 6 hari. Sesi rakaman ini bermula dari jam 1.00 petang sehingga 5.00 petang sejak Jumaat lalu dan akan berakhir pada hari Rabu, 20 April 2011.

Kriteria utama yang menjadi pengukur dalam pemilihan calon peserta di dalam SEJUTA IMPIAN mestilah rakyat Malaysia yang mempunyai impian ataupun idea mahupun keinginan yang akan memberi impak kepada masyarakat ataupun dimanfaatkan bagi membangunkan masa depan belia.

Manakala idea atau impian yang diutarakan boleh merangkumi dari aspek keusahawanan, masyarakat setempat, kemajuan kendiri, alam sekitar, kebudayaan sehinggalah kesenian dan sukan.

Sesi rakaman ini diadili oleh barisan hakim tetap yang terdiri daripada tiga orang individu yang sangat berpengalaman, terkenal dengan pelbagai pencapaian serta arif tentang isu dan perkembangan semasa di dalam dan luar negara.

Barisan hakim tetap terdiri daripada Roshan Thiran (Leaderonomics), Norman (KRU) dan Yiu Lin (Klucthed) dan mereka akan ditemani oleh seorang lagi hakim jemputan berbeza untuk setiap sesi rakaman.

Antara yang terlibat adalah seperti Ketua Pegawai Pemasaran, Telekom Malaysia Berhad (TM), Rozalila Abdul Rahman, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapha Omar, serta selebriti terkemuka tanah air seperti Ning Baizura, Harith Iskander, Hannah Tan, Azlan Iskandar, pengasas syarikat perundingan RandomAlphabets, Zain HD dan pengasas Youth Asia, Khailee Ng.

Sejuta Impian TV3

Menurut Encik Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad “SEJUTA IMPIAN ialah program realiti televisyen yang akan membantu anda merealisasikan impian anda. Tidak kira kecil atau besar harapan anda, SEJUTA IMPIAN menawarkan insentif berjumlah RM1 juta kepada rakyat Malaysia dari segenap pelusuk tanah air yang berjaya memberi inspirasi kepada orang lain. Pemberian dana tersebut juga berperanan untuk mencetus semangat dan bertindak sebagai titik permulaan bagi golongan belia sama ada individu ataupun secara berkumpulan dalam merealisasikan impian dan hasrat murni mereka demi kebaikan bersama.”

“Selain daripada penyertaan yang diterima menerusi pos, secara online ataupun di sesi ujibakat yang diadakan di lokasi seluruh Negara, kami juga telah menerima sejumlah penyertaan dari wakil syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin merealisasikan hasrat tanggungjawab sosial mereka yang melibatkan kebajikan dan pembaikpulihan di peringkat sosial, khususnya para usahawan dan penggiat industri.

Uniknya, secara tidak langsung SEJUTA IMPIAN telah berjaya menarik minat rakyat Malaysia tidak kira jenis bangsa dan peringkat umur, dan ini merupakan sesuatu yang patut dibanggakan kerana kita tergolong di dalam negara yang mempunyai rakyat yang sangat prihatin, peka dan berilmu,” tambah En. Ahmad Izham Omar.

Wakil dari Peneraju Jalur Lebar di Malaysia, Rozalila Abdul Rahman, Ketua Pegawai Pemasaran, TM berkata “Sokongan TM kepada program Sejuta Impian ini membantu mengukuhkan lagi kedudukan TM sebagai pencetus transformasi. Selari dengan intipati penjenamaan TM iaitu “Merintis Kemungkinan”, Sejuta Impian membuka peluang untuk segenap lapisan rakyat Malaysia tampil mengemukakan idea dan impian masing-masing untuk direalisasikan. TM, sebagai sebuah organisasi yang prihatin dan ingin membawa perubahan, kami ingin merintis kemungkinan untuk impian dan idea para peserta menjadi satu kenyataan dan membawa manfaat buat seluruh masyarakat.”

Sejuta Impian TV3

“TM juga berbangga dapat bekerjasama dengan barisan panel hakim yang berkaliber yang diambil dari pelbagai latar belakang seperti politik, sukan, keusahawanan, hiburan serta fesyen, dari berbilang kaum dalam menyokong dan membangunkan Gagasan 1Malaysia. Menerusi penajaan program Sejuta Impian ini, TM juga dapat menyokong usaha-usaha untuk memperbaiki taraf hidup masyarakat yang merangkumi aspek pendidikan, pembangunan dan alam sekitar,” ujar beliau.
Kru produksi SEJUTA IMPIAN telah memulakan misi pencarian peserta di seluruh negara, melalui lokasi uji bakat seperti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Kota Bharu (Kelantan), Kuantan (Perak), Melaka, Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak), bermula pada 5 Mac lalu, dan berakhir pada 19 Mac di Sri Pentas TV3 (Central), Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Sejuta Impian TV3

SEJUTA IMPIAN bakal ditayangkan di TV3 sebanyak 20 episod dan akan bersiaran selama setengah jam bermula 15 Mei 2011, setiap hari Ahad jam 7.30 petang. Rancangan unik ini juga menampilkan gandingan dua orang hos yang ternyata berpengalaman iaitu Nazrudin Habibur Rahman atau lebih mesra dikenali sebagai Naz dan juga Baki (Baki Zainal). Program realiti ini ditaja khas oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Dana Belia 1 Malaysia (DB1M) yang bertindak sebagai penyalur penaja dana.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang program ini boleh melayari laman web rasmi di www.tv3.com.my/sejutaimpian.

Sejuta Impian TV3
Sejuta Impian TV3

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Love Story Lagu Terbaru Melly Goeslaw

Gambar Terbaru Mia Sara Nasuha di Saloma Bistro