in

7 Hari 7 Malam

Pelakon 2 Negara, Malaysia dan Brunei Muncul Dalam Drama Bersiri “7 Hari 7 Malam Lagi!” di TV1

Cetusan idea menerbitkan telefilem 7 Hari 7 Malam yang menggabungkan pelakon utama Malaysia dan Brunei tahun lalu menerima sambutan baik penonton hingga Radio Televisyen Malaysia (RTM) kembali menerbitkan 7 Hari 7 Malam Lagi! yang dipanjangkan kepada drama rantaian 4 episod mulai 16 Disember lalu, setiap Jumaat, jam 4.00 petang menerusi TV1.

Drama arahan Kamaruldin Hassan dari Unit Drama TV RTM ini membariskan pelakon kedua-dua buah negara termasuklah Hazeem, Atie AF, Kismah Johar, Jaafar Onn, Aznah Hamid, Liza Abdullah dan Kaza yang menyingkap kisah percintaan menarik antara pemuda dari Brunei, Jamil dan gadis tomboy dari Malaysia bernama Intan.

Kisah cinta mereka bermula apabila Jamil membeli pakej percutian yang yang dianjurkan oleh ibu Intan (Mak Tom) sebagai satu langkah mencari bakal suami kepada Intan. Mak Tom terpaksa berbuat demikian demi mencari lelaki sejati yang akan dapat menjaga Intan dengan baik. Kini Intan dan Jamil telah bertunang dan tarikh perkahwinan merekapun telah ditetapkan.

Pelakon Utama 7 Hari 7 Malam Lagi

Babak bermula dengan mengimbas semula detik persandingan persandingan antara Jamil dan Intan. Namun Jamil sebenarnya bermimpi yang mereka telah berkahwin. Dia terkejut apabila ibunya, Hasnah mengejutkannya dan memintanya supaya bersiap. Mereka perlu beli barang untuk dibawa ke Kuala Terengganu bagi menghantar `belanja hangus’ untuk majlis perkahwinannya. Jamil risau kalau-kalau keluarga Intan tidak setuju dengan permintaan mereka untuk bersanding di Brunei.

Hasnah, Karim dan Jamil datang ke Kuala Terengganu diiringi oleh Harun dan Apipah. Hajah Hasnah meminta budi bicara Mak Tom dan keluarga Intan yang lain supaya memberi keizinan untuk mengadakan majlis akad nikah dan bersanding sepenuhnya di Brunei dengan mengikut adat istiadat Melayu Brunei . Permintaan itu dibuat demi memenuhi kehendak nenek Jamil yang sudah uzur.

Intan pula tidak senang duduk apabila makin hampir tarikh akad nikah, lebih-lebih lagi apabila mendapat tahu bakal bersanding di Brunei dengan adat istiadat orang Brunei. Intan juga bimbang Jamil akan mungkir janji untuk tinggal di Terengganu selepas kahwin. Semua ini gara-gara Intan terpengaruh dengan cakap Makcik Ramlah. Bagi Intan, kalau Jamil mungkir janji, ini akan menyusahkan Mak Tom kerana terpaksa menguruskan chalet mereka sendirian. Mak Tom nasihatkan Intan supaya jangan buat andaian kerana dia yakin Jamil takkan mungkir janji.

Intan komited untuk menyiapkan kerja-kerja yang ada sebelum dia bercuti panjang. Ketekunan Intan buat kerja menyebabkan Jamil bosan. Ketika itu Diana, bekas kekasih Jamil muncul kembali dalam hidup Jamil .

Diana terkejut kerana bertemu Jamil di Terengganu. Dia yang sebelum ni pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Jamil menyangka Jamil patah hati dan membawa diri ke Terengganu dan bekerja di chalet itu. Diana datang ke Terengganu kerana mengikuti seminar kecantikan. Hajah Hasnah dan Haji Karim yang terserempak dengan Diana, kurang senang dengan kehadirannya.

Intan dan Jamil berselisih faham. Intan mencurigai kejujuran dan kesetiaan Jamil terhadapnya, padahal semua yang berlaku cuma satu kebetulan. Keadaan bertambah keruh apabila Rudy masih menyatakan perasaan sayangnya terhadap Intan.

Intan lebih terkejut apabila dia terpaksa melalui proses ‘berkurung’ selama tujuh hari tujuh malam sebelum upacara bersanding. pelbagai insiden lucu dan menarik berlaku semasa Jamil dan Intan ingin berjumpa secara bersembunyi.

Gabungan Pelakon 2 Negara, Malaysia Dan Brunei

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

School Break Special On 2

Review Discovery Kartika Plaza Hotel Bali