in , ,

5 Sebab Kenapa Anda Perlu Tonton Filem La Luna Lakonan Sharifah Amani

Sebuah filem yang topik ringan tetapi dibalut pembawaan pelakon-pelakon berjiwa dan berbakat besar. Gabungan yang sungguh menarik!

Bagaimana jika anda merupakan seorang penghuni sebuah kampung yang serba konvensional tetapi kemudian tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran wanita muda dengan sebuah ‘butik’ menjual pakaian dalam wanita? Wow!

Topik ini yang dibincangkan menerusi filem terbaharu arahan M. Raihan Halim berjudul La Luna. Malah topik ini juga sedangg menjadi perbincangan netizen di sosial media. 

FILEM LA LUNA

Baru sahaja ditayangkan tetapi La Luna berjaya mencuit hati penonton dengan penceritaan santai, mesej yang tidak terlalu berat dan lakonan daripada seniman-seniman berbakat besar.

Filem gabungan  Shaheizy Sam, Sharifah Amani, Hisyam Hamid, Nadiya Nisa, Wan Hanafi Su, Namron dan Farah Ahmad ini  merupakan filem yang perlu ada dalam senarai filem wajib tonton anda untuk bulan ini.

Ini sebab-sebabnya!

1. Angkat Martabat wanita

Inti utama filem ini berkenaan kisah seorang gadis bernama yang membuka perniagaan pakaian dalam di sebuah kampung, yang rata-ratanya terdiri daripada penduduk berusia yang telah berumah tangga. Namun, mesejnya lebih besar.

Watak Hanie dibawakan oleh Sharifah Amani dengan diberi ‘mandat’ oleh penulis skrip untuk menjadi perisai bagi wanita – baik dari sisi keyakinan diri mahupun keupayaan untuk menegakkan harga diri sebagai seorang isteri. Situasi Hanie juga dilihat sebagi jambatan kepada wanita-wanita di Kampung Bras Basah.

FILEM LA LUNA

2. Hubungan anak-bapa yang menyentuh dan mengingatkan 

Dilihat dalam skop yang besar, subjek utama La Luna adalah berkisarkan tentang wanita. Namun, plot dan kisah latar belakang seorang polis kampung bernama Salihin yang merupakan bapa tunggal juga merupakan daya penarik utama untuk penonton. 

Penonton dididik dengan rasminya seorang ayah – dilihat mengongkong atau protaktif namun penyayang, sabar dengan tingkah anak gadis yang baru kenal dengan dunia. Apatah lagi jika si anak gadis sudah mula menyimpan rasa untuk bercinta. Cara Salihin ‘melepaskan’ anaknya juga menyentuh dalam cara yang santai.

FILEM LA LUNA

3. Penunggang agama

Matlamat utama La Luna dalam memberikan pelbagai nuansa yang bertepatan dengan isu semasa patut diberi pujian. Bukan sahaja ia melibatkan isu-isu keganasan rumah tangga yang dialami  oleh kebanyakan wanita kini, malah yang terkait dengan penyalahgunaan agama bagi membenarkan apa yang salah. Dan hal ini mungkin memberikan sedikit jus dalam plot twist yang disuntik oleh sang sutradara.

FILEM LA LUNA

4. Sinematografi dan angkat Kuala Kangsar

Latar sebuah kampung fiksyen dalam filem ini kelihatan hidup dek sinematografi yang kena dengan jalan cerita. Mata yang menatap layar lebar tenang dek mainan visual yang adunan warnanya selesa dipandang, aman untuk dihadamkan. Kuala Kangsar merupakan lokasi yang tepat untuk pembawaan dan rasa dalam filem ini. 

FILEM LA LUNA

5. Sejarah sedang dicipta 

Filem La Luna malah mencipta sejarah apabila naskhah ini telah ditayangkan di pentas antarabangsa menerusi tayangan perdana dunia di Pesta Filem Antarabangsa Tokyo di Jepun pada 24 Oktober lalu.

Pesta Filem Antarabangsa Tokyo itu menghargai dan meraikan sutradara dari serata dunia dan La Luna terpilih dalam kategori Asian Future Section di mana ia tersenarai dalam 10 filem yang dipilih untuk bersaing bagi kategori Anugerah Filem Terbaik Akan Datang Asia.

Turut dijayakan oleh Iedil Dzuhrie Alaudin , Syumaila Salihin, dan Wafiy Ilhan, filem La Luna ditayangkan Malaysia bermula 9 November dan di Singapura pada 16 November ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Selamat Menyambut Hari Deepavali & Selamat Bercuti Buat Semua

Tahniah! iQIYI Terima Lima Pencalonan di Asian Television Awards 2023