in , ,

18 PUASA Catat Kutipan Rm3 Juta, Filem Paling Laris Tahun 2021 di Astro First

Selepas 10 hari ditayangkan Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, filem arahan sutradara tersohor, Mamat Khalid iaitu 18 Puasa Di Kampong Pisang berjaya meraih kutipan sebanyak RM3 juta sekaligus mencatat rekod sebagai filem tempatan paling laris di Astro First bagi tahun 2021 setakat hari ini.

Sambutan daripada penonton terus menunjukkan momentum kukuh. Ini setidak-tidaknya dapat mengembalikan keyakinan penonton, terutamanya peminat filem Melayu untuk terus menyokong karya- karya tempatan tidak kira apa genre sekalipun.

Mengulas mengenai kejayaan ini, Pengarah 18 Puasa Di Kampung Pisang, Mamat Khalid berkata, “Alhamdulillah, meskipun tayangan filem 18 Puasa Di Kampong Pisang dalam era normal baharu, namun atas sambutan positif penonton, filem ini mampu mencatatkan kutipan sebanyak itu dalam tempoh 10 hari. Terima kasih kepada semua penonton yang menerima baik filem ini. Insyallah, nantikan karya seterusnya eksklusif di Astro.”

18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan tentang sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan. Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, tiba-tiba berlaku satu insiden. Dia telah didatangi si iblis dan membawa Barkoba kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya. Barkoba mengabaikan zakat, menganaiyai orang lain, mengajak melakukan kemungkaran serta menyebabkan kecederaan dan kematian Kiambang. Dapatkah Barkoba memperbetulkan kesalahannya yang lalu dan kembali ke dunia yang nyata dan berjayakah Barkoba menyelamatkan Kiambang.

Saksikan filem lakonan Bell Ngasri, Namron, Jaafar Onn, Siti Elizad, Kazar Saisi, Mat London, Joey Daud dan ramai lagi yang kini masih berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Anak Kru Kapal Selam Hilang Kunci Ayah Dalam Bilik, Berkeras Larang Ayah Pergi Bertugas

Artis Rocketfuel Meriahkan Raya Dalam ‘AIDILFITRI LEMBARAN BARU’