in , ,

10 Negara Terlibat di AIFFA 2023, Sarawak Sedia Tubuh Akademi Perfileman

Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN atau ringkasannya AIFFA 2023 bakal kembali dianjurkan buat kali keenam dengan penglibatan dari 10 buah negara rantau ASEAN.

Pengarah festival AIFFA, Livan Tajang berkata, sehingga ke hari ini lebih 120 penyertaan filem diterima dan akan dinilai oleh juri-juri yang terdiri daripada individu berpengaruh dalam industri filem untuk disenarai pendekkan, seterusnya dianugerahkan pada festival AIFFA itu nanti.

“Lebih daripada 120 penyertaan filem telah diterima dan akan disenarai pendek oleh juri-juri AIFFA 2023 ASEAN dan antarabangsa yang diketuai oleh ketua juri U-Wei Shaari dengan juri terkemuka lain seperti Ihsan Nurullah Kabil dari Turki, Viva Westi dari Indonesia, Pham Thi Hong Anh dari Vietnam dan Effendee Mazlan, dari Malaysia.

“Pelbagai acara tambahan selama tiga hari itu nanti turut dijalankan di Old Court House, Kuching termasuk tayangan filem yang disenarai pendek dan bengkel filem yang terbuka kepada orang ramai. Pada masa yang sama, pengunjung juga berpeluang bertemu barisan pelakon dan kru filem ASEAN,” katanya dalam sidang media Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2023, di sini baru-baru ini.

AIFFA 2023

Festival yang bakal berlangsung tiga hari, bermula 2 hingga 4 Ogos itu nanti bakal menghimpunkan pemain industri filem antarabangsa dan tempatan berkongsi serta bertukar pandangan, pengalaman sekali gus membuka peluang bengkel khusus buat para pengunjung.

Tambahnya, program khas itu dianjurkan turut bertujuan memberi peluang kepada penduduk tempatan mengetahui dengan lebih lanjut mengenai penghasilan dokumentari, sekaligus melahirkan minat serta idea anak-anak muda tempatan Sarawak dalam bidang seni lakonan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan turut berkata penganjuran acara seperti ini adalah usaha bagi mengetengahkan bakat anak muda Sarawak kepada industri filem antarabangsa.

Dalam hal yang sama Snowdan, turut mendedahkan Sarawak mempunyai peruntukkan geran bagi indsutri filem tempatan Sarawak seterusnya usaha mengetengahkan bakat anak tempatan serta mempaparkan bakat seni lakonan di peringkat antarabangsa.

“Kita mempunyai beberapa peruntukan dan geran yang boleh dimohon oleh pemain industri seni dan lakonan Sarawak, kerana ini adalah salah satu usaha kita untuk melahirkan lebih banyak bakat dan filem kita (Sarawak) ke peringkat antarabangsa.

“Oleh sebab itu, saya yakin ini adalah perjuangan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menubuhkan portfolio kementerian yang berbeza iaitu Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak agar industri ini di Sarawak dapat terus berkembang,” tegas Snowdan.

Melihat ke arah perkembangan industri berkenaan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting berpendapat Sarawak berpotensi memiliki sebuah akademi perfileman sebagai langkah masa depan dalam industri berkenaan.

“Untuk mencapainya, kita mungkin perlu mempunyai akademi yang berdedikasi untuk mengajar semua aspek pembikinan filem.

Mereka yang lulus dari akademi itu mungkin diberi sijil atau diploma,” katanya pada sidang media Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata sebuah akademi berupaya ditubuhkan melalui usaha sama di antara sektor swasta dan kerajaan.

“Perkara yang baik untuk direnungkan ialah bagaimana kita akan bergerak ke hadapan selepas AIFFA.
“Bagaimanapun, persoalannya adakah Sarawak bersedia untuk mempunyai akademi filem untuk memulakan sesuatu,”

– Datuk Sebastian Ting

Selaras dengan aspirasi kemampanan global, Sarawak dan AIFFA 2023 akan buat pertama kalinya Pertandingan Filem Pendek (Asus) Universiti Sdg Asean Aiffa.

AIFFA telah diiktiraf oleh Menteri Pelancongan ASEAN pada 2012 sebagai satu acara untuk mengetengahkan filem-filem ASEAN.

Selain itu, objektifnya juga bertujuan mempromosikan Kuching sebagai hab Kebudayaan dan Seni Persembahan, sekali gus sebagai pusat Industri Kreatif dan membolehkan pembikin filem di sekitar ASEAN menjalinkan kerjasama.

Ia telah dianjurkan sebanyak 5 kali di Kuching, Sarawak dan pada tahun 2021 festival tersebut telah dianjurkan secara dalam talian.

Antara selebriti yang pernah menghadiri AIFFA termasuk Tan Sri Michelle Yeoh, Jackie Chan, Donnie Yen, Steven Seagal dan Nora Aunor.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Zeeta Letak Syarat Selebriti Perlu Bertudung Untuk Promosi Produk

Kempen Together for Tomorrow Sempena Ulang Tahun Kao Ke-50