in , ,

Zulin Aziz Dedah RAHSIA Cinta dalam Single Terbaharu

Nama Zulin Aziz bukan sahaja mekar sebagai pengacara, pelakon dan pelawak, tapi siapa sangka dia juga berbakat besar dalam bidang nyanyian. Dalam erti kata lain, Zulin adalah artis versatil yang berada di kelas tersendiri.

Malah, bidang nyanyian yang diceburi turut membuka ruang buat dirinya menghasilkan karya sendiri menerusi penciptaan lagu dan penulisan lirik. Maka, terhasillah empat single yang pernah dilancarkan sebelum ini iaitu Terbiar (2017), Keliru (2018), Dan Ketika Itu (2018) dan Jadikan Aku Yang Halal (2019).

Terbaharu, Zulin, 32, atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz menerusi syarikat rakaman 17 Eleven Music melancarkan single Rahsia juga dipilih menjadi lagu tema drama Penjara Janji yang ditayangkan di Slot Samarinda, TV3 sepanjang Ramadan lalu.

https://youtu.be/p43NLCsA09k

Menurut Zulin, lagu ciptaannya itu ditulis khas untuk drama terbitan JS Pictures dan tidak ada kaitan dengan dirinya seperti kebanyakan lagunya sebelum ini.

“Lagu Rahsia ini saya buat sepenuhnya sendiri. Ia juga adalah lagu tema untuk drama Penjara Janji yang ditayangkan pada Ramadan lalu. Tapi, lagu ini dilancarkan lambat sedikit disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Lagu ini mengisahkan hubungan yang belum pasti. Banyak perkara yang masih belum jelas dalam perhubungan itu sampai dia tak tahu hala tuju perhubungan itu, sama ada ke alam perkahwinan atau sampai tahap itu saja. Tapi dia pilih lelaki yang dia rasa selesa, sebab itu nama dia Rahsia.

“Kalau orang selalu dengar nanti, orang akan fikir lagu ini mengenai kekasih gelap. Tapi bukan. Ia ada kena mengena dengan drama Penjara Janji ini. Kalau lagu yang dulu memang dibuat khas untuk individu berkenaan, tapi lagu ini tak. Lagu ni sedih sangat nak ditujukan pada orang. Kiranya tak ada kena mengena dengan diri saya pun,” katanya.

ZULIN AZIZ

Biarpun ramai memuji bakat nyanyian dimiliki selain karya yang dihasilkan itu mendapat maklum balas positif peminat muzik tempatan, Zulin mengakui pembabitannya dalam bidang nyanyian sekadar suka-suka.

“Kalau ikutkan menyanyi bukanlah fokus saya, ia sekadar suka-suka. Tapi semua single yang saya hasilkan adalah untuk lagu tema drama. Ini mungkin rezeki saya menyanyi untuk lagu tema drama.

“Sejujurnya, tidak pernah terfikir untuk masuk Muzik Muzik atau Anugerah Juara Lagu (AJL), tak nak dan tak pernah terfikir sampai tahap itu pun. Dikakui memang pernah ada pihak ‘approach’ untuk ke depankan lagu saya, cuma saya memang tak hantar pun lagu ke radio dan sebagainya sebelum ini.

“Lagi pun syarikat rakaman saya 17 Eleven Music tahu yang saya menyanyi bukan sejenis serius. Saya memang buat lagu sekadar untuk lagu tema. Tak ada fikir dan rasa nak pergi jauh dalam bidang ini. Sebab saya bukan penyanyi profesional. Boleh menyanyi tapi tak sebagus penyanyi sedia ada,” katanya.

Mengenai lagu Rahsia, Zulin berkongsi yang mana lagu itu dihasilkan tahun lalu sebelum penggambaran drama dibuat.

ZULIN AZIZ

Dalam masa sama, Zulin berkata projek lagu lain mengikut perancangan yang sudah diatur pihak syarikat rakaman.

“Lagu ini saya buat tahun lepas, sebelum penggambaran drama Penjara Janji. Saya ambil masa seminggu nak siapkan. Sebab lagu ini bukan berat dan susah. Ia mesra pendengar.

“Projek lagu lain selepas ini, perancangannya belum ada lagi. Cuma, disebabkan saya di bawah label syarikat rakaman, jadi akan ada lagi lagu lain bergantung pada projek drama. 

ZULIN AZIZ

Jadi, sekarang ini fokus pada bisnes dalam talian dulu sebab masih tak boleh ‘shooting’.

“Tarikh penggambaran pula ditangguhkan dan tak tahu sampai bila. Mungkin sampai selepas habis PKP. Kalau masih tak boleh ‘shooting’, jadi teruskan berniaga saja,” katanya.

Lagu Rahsia sudah boleh distrim di semua pelantar muzik digital bermula 25 Jun lalu dan serentak itu video muzik rasmi lagu Rahsia ditayangkan di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lazada Dedah 7 Rahsia Penghantaran Percuma ‘RM 0′, Baucar ‘Durian Runtuh’, & Tawaran Mid-Year Sale

Sinopsis Drama RATU TEN PIN Lakonan Elisya Sandha, Syaidatul Afifah & Fify Azmi