in

ZOOM IN @ RTM BERSAMA HAFIZ HAMIDUN, FAR EAST & NICE

ZOOM IN @ RTM BERSAMA HAFIZ HAMIDUN, FAR EAST & NICE, 07 SEPTEMBER 2008 DI RTM1

Seiring bulan Ramadan yang sedang dijalani seluruh umat Islam, pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) seperti tahun-tahun yang sebelumnya mengambil kesempatan menghidangkan hiburan dalam genre nasyid yang pastinya mampu mengimarahkan bulan penuh keberkatan ini.

Istimewa hujung minggu ini penonton setia RTM diajak berhibur menerusi Zoom In @ RTM Bersama Hafiz Hamidun, Far East & Nice pada 07 September 2008 (Ahad), jam 9.00 malam di RTM1.

Kombinasi tiga artis yang sememangnya dikenali di kalangan penggemar industri nasyid ini dilihat mampu menghiburkan penonton yang ternanti-nantikan hiburan yang bukan sahaja mampu memenuhi halwa telinga sebaliknya menyumbang mesej berguna dengan lirik dan cara penyampaian mereka.

Pastinya nama Hafiz Hamidun tidak perlu diperkenalkan lagi kerana dia sememangnya dikenali di kalangan remaja terutamanya sebelum ini dengan penglibatannya mengendalikan program berbentuk agama termasuk Tilawah Interaktif dan perantara undangan menerusi Forum Perdana Ehwal Islam di RTM.

Pastinya peluang ini sama sekali tidak dilepaskan bekas anggota Kumpulan UNIC ini mendendangkan antara lagu popularnya, Melihat Bintang, Kau Yang Satu dan  Bilakah Damai yang tentunya mengubat kerinduan peminat-peminat setianya.

Menyusul Kumpulan Far East menampilkan empat anggota iaitu Ahmad Fadzli Bakar, Syairiman Badzli, Nabil Ahmad dan Azwan Ibrahim yang sudah tujuh tahun berkecimpung sebagai insan seni dengan mengeluarkan empat album Far East (2001), Far East (2003), Halawatul Iman (2006) terbaharu, Far East-Eksplorasi, sebuah album kompilasi.

Istimewanya Kumpulan Far East kerana lagu-lagu yang diperkenalkan mereka lebih berkonsepkan taranum Al-Quran hingga berjaya menaikkan nama Far East dalam industri nasyid tanah air dengan keunikan yang ditonjolkan.

Antara lagu-lagu yang dialunkan Far East seperti Ahla Bina dan Harga Sekuntum Cinta yang cukup popular di kalangan peminat mereka.

Manakala Kumpulan Nice pula yang mewakili generasi baru penyanyi nasyid dengan penampilan mereka yang lebih kontemporari menghiburkan penonton dengan seleksi lagu daripada album mereka iaitu Istimewa Tiada Dua, Syukurlah dan Bicara Hati.

Dianggotai Wan Mohd. Taqiuddin Wan Hussin, Afiq Bin Hamdan, Muhammad Safwan Bin Jahri dan Izwan Bin Mohd. Musai yang masih menuntut di Institusi Pengajian Tinggi, pastinya mereka dijadikan idola dalam menempa kejayaan dalam bidang nyanyian dan pelajaran dalam satu masa.
 
Antara lagu-lagu nasyid lain yang turut di nyanyikan mereka adalah Jawapan Rindu, Andaiku Tahu, Kekayaan Hati, Salam Mun Salam dan Meniti Titian Usang.

Kepada penonton, jangan lupa temu janji anda berhibur menerusi irama nasyid, Zoom In @ RTM Bersama Hafiz Hamidun, Far East & Nice pada 07 September 2008 (Ahad), jam 9.00 malam di RTM1 yang diterbitkan oleh Mohd Yusni Mohamed Ali.

Nice

Far East

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

PROMO: FASHA SANDHA JADI COVER GIRL MAJALAH MANJA

Fahrin Ahmad Dalam Drama Nostalgia Cinta Kita