in ,

Zahiril Adzim Bernasib Baik Belajar Muay Thai Masa Filem Bunohan

Pengalaman membintangi filem Bunohan membantu aktor terkenal, Zahiril Adzim, 38, melakukan babak pertarungan berikutan tiada asas dalam seni mempertahankan diri Muay Thai atau persilatan Melayu.

Menerusi filem terbaru, Siku 12: Langkah Derhaka, Zahiril atau nama sebenarnya, Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar yang bergandingan dengan Syafiq Kyle selaku teraju utama perlu beraksi sebagai peninju.

Zahiril berkata, dia terima tawaran berlakon kerana tertarik dengan jalan cerita filem terbitan Power Team Entertainment Sdn Bhd itu.

Bagaimanapun, kata Zahiril, dia perlu banyak berlatih dalam melakukan babak pertarungan kerana tiada asas seni mempertahankan diri.

“Mujur saya ada pengalaman belajar Muay Thai ketika berlakon dalam filem Bunohan. Sedikit sebanyak membantu saya di lokasi penggambaran filem Siku 12.

“Pada masa sama, saya menjalani latihan bersama ahli Kelab Pon Muay Thai, Kedah untuk menguasai babak bertinju dan pertarungan sebelum memulakan penggambaran.

“Saya tidak dapat boleh mengelak mengalami lebam di tangan, kaki atau sakit badan setiap kali berlakon dalam filem aksi.

“Ia perkara biasa apabila berlakon dalam filem aksi kerana perlu nampak seperti peninju sebenar beraksi di gelanggang,”

Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-33 (ABPBH 33) itu berkata, dia berdepan beberapa cabaran lain termasuklah perlu menguasai dialek Siam.

“Saya membawa watak lelaki keturunan Siam bernama A Wut.

“Sudah tentu saya perlu menguasai dialek Siam. Saya bernasib baik dibantu ahli kelab Pon Muay Thai yang berdarah kacukan Melayu-Siam ketika di lokasi penggambaran,” katanya.

Selain Zahiril dan Syafiq, filem arahan Azhari Zain turut membariskan pelakon seperti Moon, Lobak, Tuan Asmawi Tuan Umar, Pon Muay Thai, Anas Mentor, Shahmiey Odd, Pak Salleh, Chiang, Azman Ahmad dan Bai Chot.

Zahiril berkata, dia ditawarkan pengarah berlakon dalam filem Siku 12 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Azhari memberitahu watak pemuda keturunan Siam, A Wut dalam filem Siku 12 sesuai dengan saya kerana pernah menonton lakonan dalam filem Bunohan.

“Saya juga berminat dengan jalan cerita mengangkat seni mempertahankan seni silat Siku 12. Pada masa sama, saya melihat senarai barisan pelakon juga bagus dan berbakat besar,” katanya.

Mengenai gandingan bersama Syafiq, kata Zahiril, pelakon muda itu bagus dan mudah mendapat keserasian.

“Sebelum memasuki lokasi penggambaran, Syafiq membuat kajian mengenai watak. Syafiq akan berbincang dengan saya bagaimana mahu membangunkan karakter mengikut tuntutan skrip.

“Apapun, kami sudah berusaha memberikan lakonan terbaik mengikut kemampuan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kata Zahiril, dia gembira melihat sambutan penonton pada filem tempatan di pawagam ketika ini.

“Alhamdulillah, selepas kejayaan luar biasa filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan disusuli filem The Assistant dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, saya percaya filem Siku 12 akan mendapat sambutan peminat filem.

“Saya berharap filem Siku 12 membuka mata ramai pihak memperkenalkan seni mempertahankan diri yang ada di Malaysia,” katanya.

Filem Siku 12 mula ditayangkan di 66 pawagam seluruh Malaysia bermula 27 Oktober ini. Ia juga ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pasaraya Mydin Tidak Layan Tuntutan Permohonan Maaf Daripada Caprice?

RIUH BENOR! Dimeriahkan dengan Persembahan Ruffedge & Jaclyn Victor