in ,

Tahniah! Yus & Uchop Sertai Nadeera Mara Ke Pusingan Separuh Akhir

Minggu lalu menyaksikan Nadeera dan Mar melangkah maju ke pusingan seterusnya. Nampaknya kini tumpuan semua akan beralih pula kepada empat finalis lelaki yang terdiri daripada Yus, Abang, Uchop dan Adli berusaha keras untuk memastikan mereka bukanlah finalis yang bakal menduduki tangga paling bawah sekaligus menamatkan perjuangan di pentas VOKAL 2.

Namun hanya dua finalis lelaki yang berjaya meraih markah dan undian yang tinggi daripada para juri dan peminat dapat melayakkan diri untuk menyertai Nadeera dan Mar ke pusingan separuh akhir.

Bersiaran secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada setiap hari Rabu jam 9.30 – 10.30 malam, kehangatan VOKAL 2 diteruskan lagi dengan persembahan mantap daripada setiap finalis dari kumpulan lelaki.

Cabaran minggu ini menyaksikan finalis Yus, Abang, Uchop dan Adli menyampaikan sebuah lagu secara solo untuk menyerlahkan kehebatan vokal dan gaya masing-masing.

Abang Adli Eliminated

Abang & Adli Tersingkir

Tirai konsert VOKAL 2 minggu kelapan dimulakan dengan persembahan penuh tenaga oleh Adli yang menyampaikan sebuah lagu Inggeris iaitu ‘This Love’ yang dipopularkan oleh kumpulan Maroon 5. Seterusnya, tiba giliran Uchop mengambil alih pentas dengan lagu ‘Andaiku Bercinta Lagi’ oleh finalis Anugerah Juara Lagu 27, Mojo.

Tampil sebagai peserta ketiga, Abang mempersembahkan lagu duet popular iaitu ‘Ombak Rindu’ nyanyian asal Hafiz dan Adira dengan caranya tersendiri manakala finalis terakhir pada malam ini, Yus mempertaruhkan lagu Zainal Abidin berjudul ‘Puteri’ bagi membuktikan kemampuannya terus berada di pentas VOKAL 2.

Sebelum melabuhkan tirai konsert VOKAL minggu ini, tiga peserta yang mendapat markah terendah iaitu Abang, Adli dan Yus telah membuat persembahan dengan mendendangkan lagu ‘Madu Tiga’ yang dinyanyikan oleh Ahmad Dhani untuk merebut peluang terakhir mara ke pusingan separuh akhir.

Namun hanya finalis Yus yang berjaya mara ke pusingan seterusnya sekaligus menyingkirkan Adli dan Abang dari pentas VOKAL 2.

Penerbit VOKAL musim kedua, Ahmad Shaifullizam Arshad berkata:

“Kalau diimbas kembali persembahan finalis-finalis dari kumpulan lelaki malam ini, memperlihatkan persaingan sengit antara Yus, Abang, Uchop dan Adli untuk merebut tiket ke pusingan separuh akhir. Ternyata bukan mudah untuk membuat ramalan siapa yang akan tersingkir pada malam ini kerana semua finalis mempunyai peluang yang sama rata untuk mara ke peringkat separuh akhir. Bagi finalis Abang dan Adli yang gagal ke pusingan separuh akhir, jangan berputus asa dalam usaha memburu impian untuk bergelar penghibur versatil. Tempoh 2 bulan menimba ilmu bersama tenaga pengajar tidak akan tersia-sia begitu sahaja, teruskan berusaha dan Insya-Allah, anda akan berjaya di industri hiburan nanti.”

Musim kedua VOKAL menampilkan penyampai radio popular, Faizal Ismail sebagai pengacara program. Sementara itu sepanjang 10 episod, VOKAL 2 turut menampilkan dua nama yang tidak asing lagi di dalam industri tanah air, ikon yang cukup berpengalaman dan sememangnya ‘otai’ di dalam bidang nyanyian iaitu Ziana Zain dan Dato’ Hattan sebagai ketua juri untuk program ini.

Tenaga pengajar VOKAL musim ini terdiri daripada Azmeer dan Mas Idayu sebagai Penasihat Vokal dan Persembahan, Fidie Sani selaku Jurulatih Kecergasan dan Kesihatan manakala Profesor Izzi Haji Ali bertindak sebagai Penasihat Motivasi.

Sebelum konsert mingguan bermula, penonton berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat lagi kesemua peserta VOKAL menerusi program ‘Rutin Vokal’ yang disiarkan selama 30 minit pada setiap hari Rabu jam 6.00 petang. Menerusi ‘Rutin Vokal’, penonton dapat melihat gelagat peserta dan semua perkara menarik yang terjadi ketika mereka menghadiri sesi latihan dan semasa mereka membuat persiapan untuk persembahan pada malam konsert.

Seperti musim pertama, VOKAL 2 masih mengekalkan format pemarkahan kepada dua bahagian iaitu 50% daripada juri profesional dan 50% melalui undian SMS. Juara VOKAL musim kedua akan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM100,000 manakala naib juara wang tunai RM30,000.

Program realiti VOKAL musim ini juga memberi peluang kepada mereka yang terlepas menyertai program nyanyian ini dengan menyertai peraduan ‘JUARA VOKAL ONLINE’. Penyertaan yang dibuka kepada umum hanya memerlukan mereka menghantar URL video nyanyian mereka di laman sesawang rasmi VOKAL.

Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai peraduan ini, sila layari laman sesawang rasmi VOKAL di www.tv3.com.my/vokal2 untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut. Malah, pada musim ini juga, VOKAL memperkenalkan METER MANTAP di mana penonton di rumah atau di mana jua mereka berada boleh menilai persembahan peserta menerusi laman sesawang rasmi VOKAL.

Jangan lupa untuk temu janji anda besama Vokal..Bukan Sekadar Rupa musim kedua yang diterajui oleh Muhamad Sufian Isa selaku Penerbit Eksekutif dan Ahmad Shaifullizam Arshad selaku penerbit pada setiap hari Rabu, bermula jam 9.30 malam hingga 10.30 malam. Bagi peminat di luar sana, jangan lepaskan peluang untuk hadir beramai-ramai ke Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam untuk memberi sokongan peserta-peserta kegemaran anda.

Penonton yang terlepas menyaksikan Vokal..Bukan Sekadar Rupa boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan layari Facebook & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Penonton juga dialu-alukan berkongsi komen mereka di laman sosial Twitter dengan menggunakan hashtag #Vokal2.

Uchop Yus Semi Finalists-001
Uchop Yus Semi Finalists
Yus Uchop Semi Finalists

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Majlis Akad Nikah Zakiah Anas & Azmi

Siti Nurhaliza Batal Konsert Suami Kemalangan di New Zealand Datuk K Patah Tangan